Monday, June 22, 2009

PENGERTIAN ZUHUD

Didalam ajaran Islam,kalau kita mengambil dunia sekadar untuk keperluan dan untuk kemudahan atau paling tidak untuk keselesaan,kemudian selepas itu kita tidak mahu lagi mengusahakan dunia, kerana kurang yakin yang kita boleh beramanah dalam menggunakan dunia itu untuk Allah dan untuk masyarakat, maka tidak salah kalau kita tidak mengambil dunia tersebut.

Demikianlah sebaliknya, sekiranya kita yakin yang kita dapat berlaku amanah pada diri kita atau dapat mengendalikan dunia untuk Allah dan masyarakat dengan sebaik-baiknya,yakni kita yakin kita boleh berbuat kebajikan dan kebaikan yang banyak serta boleh bersyukur dengan dunia tadi, maka tidak mengapa sekiranya kita berusaha mencari kekayaan selagi halal.Padanya ada keharusan untuk berbuat demikian.Ini tidak menafikan zuhud.

Sebagai contoh:

  • Katalah dunia itu ialah jawatan yang tinggi.Kemudian kita tidak yakin dengan jawatan itu kita boleh berlaku amanah terhadap Allah dan masyarakat, maka tidak salah kalau kita menolak jawatan tersebut. Sebaliknya,kalau kita yakin dengan jawatan itu,kita dapat beramanah dengan Allah dan masyarakat,maka tidak salah pula sekiranya kita mengambil jawatan itu.

Kalau dengan harta,kita diharuskan untuk mencari sebanyak mana sekalipun.Oleh itu kenalah kita hadapi dunia ini dengan iman dan taqwa agar kita dapat menguruskan dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Perlu ingatkan juga,jika berlaku dalam satu masa atau satu zaman,secara umumnya masyarakat Islam tidak dapat melaksanakan tuntutan-tuntutan fardhu kifayah sebagai contoh:

  • dalam menyediakan keperluan makan minum yang halal,
  • dalam membangunkan tempat-tempat pendidikan,
  • untuk membeli alat-alat senjata bagi melawan musuh-musuh,
  • menyediakan biasiswa pada anggota-anggota masyarakat yang cerdik supaya berilmu di berbagai-bagai bidang yang menjadikan masyarakatnya tidak bergantung lagi kepada orang lain,

maka diwaktu ini,bagi orang yang mampu,menjadi satu kewajipan (wajib aradhi) bagi nya untuk mengusahakan sesuatu hingga terlaksananya fardhu kifayah tadi.Sekiranya fardhu kifayah tadi tidak dapat dilaksanakan,maka menjadi satu kesalahan pula pada mereka yang mampu tadi, sekiranya mereka tidak berusaha sehingga terlaksananya tuntutan fardhu kifayah tersebut.

Juga diingatkan, apabila berzuhud,jangan sampai kita atau agama Islam menjadi terhina.Ini dilarang kecuali kita memang tidak mampu walaupun sudah berusaha untuk mengadakan keperluan-keperluan yang asas.Di waktu itu kenalah kita bersabar dan redho dengan ketentuan tuhan.Jadi, kita kena faham sungguh-sungguh akan pengertian zuhud ini. Kalau tidak, jadilah kita orang yang mewah tidak bertempat atau miskin sampai terhina atau bermewah-mewah di sebarang tempat.

  • Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita bermewah-mewah lauk-pauknya.Tetapi kalau kita makan seorang, eloklah berzuhud.

  • Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai tidak mencukupi keperluan-keperluan asas.Jadi dibenarkan miskin asal cukup keperluan asas.

  • Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni di waktu orang semuanya miskin,tidak dibenarkan kita bermewah-mewah.Agar kekayaan itu dapat disalurkan kepada orang miskin.

Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini,tetapi perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu atau jemaah atau kumpulan atau peranan atau mengikut tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang dan lain-lain lagi.

Contoh-contoh tidak menafikan zuhud mengikut ukuran semasa:

  • Di zaman ini untuk menjimatkan masa,tenaga dan lain-lain.Perlulah menggunakan kapal terbang untuk perjalanan yang jauh, bukan pakai kereta lembu atau kuda atau kereta.

  • Di zaman moden ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh,kenalah kita gunakan senjata-senjata canggih bukan lagi menggunakan keris.

Contoh-contoh tidak menafikan zuhud mengikut ukuran peranan atau tugas:

  • Tidak salah bagi orang yang berjuang dan berdakwah yang sentiasa sibuk,demi menjimatkan masa, tenaga serta selalu didatangi tetamu, maka rumahnya dilengkapkan dengan peti ais,dapur gas,mesin basuh dan lain-lain kemudahan.Tidak salah pula menyediakan permaidani di rumah,di pejabat dan di masjid selagi halal dengan tujuan menghormati tetamu atau kepentingan umum.Bahkan di negeri-negeri sejuk, menyediakan permaidani di rumah dan di masjid sudah menjadi wajib aradhi ( wajib tambahan ) pula.

Bahkan melengkapkan alat-alat kemudahan ini sudah jadi perlu bagi orang yang berjuang dan berdakwah yang masanya terbatas.Kalau terlalu lama masa dihabiskan untuk membasuh misalnya,ini dikira termasuk pembaziran masa,tenaga dan lain-lain lagi.Sedangkan waktu itu sepatutnya boleh digunakan untuk pengurusan hal-hal yang lebih perlu.

  • Ukuran bagi pemimpin yang tidak menafikan zuhud. Bagi seorang pemimpin, penting padanya keperluan alat-alat kemudahan yang canggih seperti kereta, telefon, faks, komputer, perbelanjaan perjalanan dan lain-lain lagi. Kalau tidak ada kemudahan alat-alat tadi, sudah tentu tergendala perjuangannya.

Juga diingatkan, kalau duit kita terbatas, tidak perlu kita habiskan untuk membeli barang-barang untuk kemudahan.Dikhuatiri nanti tidak ada langsung bahagian untuk kita berbelanja pada perkara-perkara yang asas atau terabai kewajipan fardhu kifayah.Ini akan jadi satu kesalahan,kerana perkara yang asas,wajib ditunaikan dan membangunkan masyarakat itu adalah lebih perlu supaya terlaksananya fardhu kifayah.Itu lebih patut kita utamakan.

Biarlah kita susah sedikit asalkan kewajipan dapat ditunaikan.

Wallahua’lam.

Saturday, June 20, 2009

BERILAH KASIH SAYANG YANG TEPAT

Untuk mendidik rakyat,anak-anak dan murid-murid,sememang kita tidak boleh terlepas dari memberi kasih sayang.Ini adalah kerana kasih sayang adalah merupakan keperluan dan fitrah setiap insan.Bagaimanapun kasih sayang yang hendak diberi itu semestinya bukan diatas dasar akal,nafsu atau perasaan.
  • Pendapat akal itu mesti ditapis oleh syariat.
  • Kehendak atas dasar nafsu itu perlu ditapis oleh syariat.
  • Begitu juga perasaan itu mesti disensor oleh syariat.
Setelah disahkan oleh syariat,maka itulah kaedah yang boleh digunapakai.Itulah cara atau pendidikan yang perlu digunakan untuk murid-murid dan rakyat didalam sesebuah negara.

Syariat sahaja tidak cukup kalau tidak ditunjangi oleh iman.Walau pun atas dasar ilmunya ia berdasarkan syariat tetapi kalau Tuhan tidak wujud di situ,maka secara automatik syariat itu sudah jadi ideologi atau jadi isme.Mana mungkin ideologi dapat membaiki kehidupan manusia walaupun secara kebetulan ia sama dengan syariat Tuhan.

Bila mana Tuhan tidak dibawa bersama, yakni kalau syariat itu tidak dididik bersama pendidikan yang membesarkan dan mengagungkan Tuhan,maka manusia tidak akan boleh dididik.

Jikalau begitu,didalam mendidik manusia,samada ibu bapa hendak mendidik anak-anak, guru-guru hendak mendidik murid-muridnya atau pemimpin hendak mendidik rakyatnya,mesti dirujuk pada Tuhan dan syariat Nya.

Cara mendidik berpandukan iman dan syariat ini buah atau hasilnya tidak dapat dirasakan dalam jangka masa yang pendek.Tetapi didalam jangka masapanjang,bila seseorang murid sudah dewasa dan sudah boleh berfikir, dia akan dapat merasakan betapa bijaknya orang-orang yang sudah mendidiknya.Samada ibu bapanya, gurunya atau pemimpinnya.

Mereka akan rasakan kemuncak kasih sayang ibubapa,guru atau pemimpin itu adalah untuk menyelamatkan orang yang dididik itu dari kesusahan akhirat dan siksa api neraka.Hingga dapat masuk syurga yang nikmatnya kekal abadi.Sebab itu pendidikan pada anak-anak perlu bermula seawal usianya kerana masa yang diambil agak panjang.

Inilah pendidik yang baik, yang sangat memberi kasih sayang, yang tidak dapat dirasakan peringkat awalnya.Mendidik manusia dengan nikmat dunia yang tidak kekal ini,hasilnya tidak sampai kemana.Jangka masa pendek akan merosakkan manusia dan jangka masa panjang nanti akan merugikan manusia dan kehidupannya.Pada jangka masa panjang manusia menyesal yang tidak berkesudahan di akhirat yang kekal abadi.

Pemimpin,ibubapa atau guru yang mendidik,yang mengatakan nikmat dunia ini, termasuk makan,minum,kenderaan dan rumah adalah segala-galanya,walaupun niatnya baik dan orang yang dididiknya cepat terasa,tetapi pada hakikatnya inilah para-para pendidik yang paling khianat pada bangsanya kerana boleh di ibaratkan untungnya seguni, ruginya segunung.
Orang yang dididik itu tidak terasa,sebab hasilnya cepat.Dia fikir, “Baiknya mak dan ayah aku.” Tetapi bagi orang yang faham, dia akan berkata ini pengkhianat bangsa.Bagi Allah dan Rasul, pendidik sebegini dianggap pengkhianat kepada amanah-amanah Allah.

Pemberian kasih sayang mengikut usia anak

Kasih sayang yang hendak kita beri itu perlu diberi berperingkat-peringkat :
  • Anak yang baru lahir hingga darjah satu. Anak-anak di usia ini, dia akan rasa disayangi dengan sentuhan-sentuhan pada dirinya.Walaupun kita tidak bercakap,tidak memberi ilmu,dari sentuhan-sentuhan dia akan faham yang kita sayang padanya.Pada golongan ini, kasih sayang dapat ditunjukkan dengan didukung,dicium juga dengan cara bergurau.
  • Anak yang sekolah rendah hingga remaja. Ayah dan ibu tidak perlu menunjukan sayang atau benci. Kecuali guru atau pendidik akan menghukum atau memarahinya bilamana ' dia buat kesalahan yang berat '.Diwaktu ini pendidik boleh bercakap sedikit perkataan yang memberitahu,yang kita kasih kepadanya.Sekadarnya,nanti kalau banyak takut dia riak pulak. Selain itu berilah dia hadiah atau cenderahati.
  • Golongan anak yang sudah dewasa. Pendidik boleh menunjukkan kasih sayang dengan dijadikan kawan.Kadang kita mendengar ilmu dan pengalamannya,bertanya khabar dan mengajak orang-orang yang kita didik itu berbincang dan berbual-bual.

Itulah peringkat-peringkat dalam cara memberi kasih sayang.Cara memberi kasih sayang dengan bertunjangkan Tuhan dan syariat memang agak menyusahkan sedikit bagi para-para pendidik,tapi untungnya untuk jangka masa panjang sangat besar.

Macamlah kita hendak makan durian yang manis,maka kita akan letak baja tahi ayam dan tahi lembu pada pokok durian itu.Nanti insyAllah hasilnya akan dapat buah durian yang manis.Tetapi sekira diberikan gula yang manis pada pokok itu,insyAllah pokok itu akan mati.

Rasulullah adalah orang yang paling menyayangi umatnya.Semoga ibu bapa, guru-guru,pemimpin-pemimpin dapat berusaha bersungguh-sungguh dalam memberikan kasih sayang pada orang-orang yang dibawah tanggung jawabnya,dengan cara yang telah Rasulullah SAW contohkan.


Wallahua'lam.

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN

Solat atau sembahyang, Tuhan lah yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu sangat hebat dan kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya.

  • Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi dapat dirasakan kebesaran-Nya
  • Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi dapat dirasa kewujudan-Nya.
  • Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi dapat dirasakan kekuasaan-Nya.

Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayan kita.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia.Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya,faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.


PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH

Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang mudah.Perlu ada pemimpin yang mendidik ke arah itu.Kalau tidak ada pemimpin yang mendidik, ianya mustahil boleh berlaku.Pemimpin itu pula mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia hendak mendidik bangsanya supaya mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung.

  • Dia mesti mempunyai mandat dari Tuhan.
  • Dia juga mesti mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik.
  • Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia.
  • Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi.
  • Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.
Pendidikan bangsa mestilah melalui ibadah. Sebab itu Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat.Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa.

Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat atau sembahyang lima waktu.Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat.Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada.Ia menjadi syarat.Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain.Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
  • 1. Ilmu
  • 2. Kefahaman
  • 3. Penghayatan
Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini.
  • Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu.
  • Kefahaman lebih penting.Faham itulah hikmahnya.Faham itu ialah ilmu dalam ilmu.Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan:
“Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)

Didalam berdoa pun selalu kita meminta kepada Tuhan begini: Maksudnya:

“Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”


  • Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan.Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita.
Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya,difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan.


KENAPA SELAMA INI IBADAH TIDAK MENDIDIK KITA

1-
  • Ibadah tanpa penghayatan tidak memberi kesan.Kita diberi ilmu tentang ibadah,sama ada ibadah asas mahupun ibadah sunat,hanya setakat yang bersangkut paut dengan hukum-hakam iaitu tentang syaratnya,rukunnya,sah dan batalnya sahaja.Oleh itu dalam beribadah,itulah yang kita jaga iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja.Tidak lebih dari itu.
  • Dalam solat,itulah juga empat perkara yang ditekankan.Begitulah juga dalam ibadah puasa dan haji.
  • Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar.Kefahaman dan penghayatan pun tidak diajarkan.
  • Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah itu dapat dihayati.
  • Kalau ibadah penting seperti solat yang menjadi tiang agama dan ibu kepada segala ibadah itu pun hanya diajar syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja tanpa diajar atau diberitahu tentang falsafah,kefahaman dan penghayatannya,maka bagaimana kah hasil dari solat atau ibadah seorang hamba itu akan mencapai hasil yang maksima sebagaimana yang dikehendaki.
  • Fenomena ini sudah berlaku selama tujuh ratus tahun semenjak jatuhnya empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini sangat terbatas.Ilmu ibadah yang diajar tidak langsung menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah dalam ibadah.Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak bersolat pun,ianya tidak memberi apa-apa kesan pada diri dan hati mereka.Akhlak tidak banyak berubah.Bahkan orang yang banyak ibadah menjadi lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif.
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya:

“Barangsiapa yang sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran maka tidak bertambah dekat dia dengan Allah, melainkan bertambah jauh daripada Allah.” (Riwayat At Tabrani)

Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan.Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi yang agung.

Dalam ibadah itu terkandung ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang dapat menguasai dunia.Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersolat atau tidak bersolat, kita beribadah atau tidak beribadah, sama sahaja kesannya kepada kita.

2-
  • Tidak tahu tujuan solat atau sembahyang itu.
  • Di antara tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Bukan untuk mengajar manusia tentang Tuhan tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan.
  • Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang. Cuma, manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa.Walaupun manusia ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah dari istilah `ins' dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.
  • Solat atau sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan.
  • Maka dalam sembahyang, dia hanya diingat-ingatkan dan disedarkan lagi.
  • Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Tuhan untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa.
  • Itulah rahmat dan kasih sayang Tuhan.
  • Sembahyang hanya boleh menyedarkan orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan.
  • Tetapi bagi kebanyakan umat Islam, di luar sembahyang dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan.
  • Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham,bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang.Bagaimana dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham. Ini perkara mustahil.
  • Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan sangat susah untuk disedarkan.
  • Orang yang sebegini,sembahyang tidak ada makna baginya.
  • Inilah diantara sebab mengapa ibadah terutama solat atau sembahyang itu tidak mendidik kita lagi.
  • Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan.
  • Kalau begini sembahyang tidak membawa kita kepada Tuhan. Jauh sekali mengingatkan kita tentang Tuhan.

Wallahua'lam.

FORMULA KEKUATAN UMAT ISLAM

Apabila Rasulullah s.a.w berjaya mendidik umat Islam menjadi satu bangsa yang berakhlak, bertamaddun, kuat berpegang kepada Tuhan, gagah, mampu menumbangkan kerajaan Rom dan Parsi dan mampu memimpin tiga suku dunia, semua manusia kagum. Sedangkan, umat Arab yang dididik dan dipimpin oleh Rasulullah itu,asalnya hanyalah pengembala-pengembala kambing yang hidup berkabilah-kabilah di padang-padang pasir,tidak berilmu,tidak pandai membaca dan menulis,tidak bertamaddun dan tidak bijak seperti bangsa-bangsa lain.

Berbeza dengan bangsa Yahudi.Di samping mereka adalah bangsa yang tertua di dunia dan mempunyai banyak ilmu pengetahuan dan banyak pengalaman, mereka juga merasakan mereka adalah bangsa yang terpilih,kerana kebanyakan para nabi dan rasul datangnya dari kalangan bangsa mereka sendiri.Sebab itu lah apabila Rasulullah s.a.w. diutuskan dari kalangan bangsa Arab,maka bangsa Yahudi menjadi sangat cemburu dan sangat iri hati.

Mereka mencari apakah jalan dan formula yang digunakan oleh Rasulullah dalam mendidik bangsa Arab yang sebegitu jahil dan lemah itu sehingga boleh menjadi satu bangsa yang sebegitu gigih dan hebat.

Rahsianya Rasulullah telah mendidik bangsa Arab itu dengan menghayati rasa bertuhan dan rasa hamba. Mereka dikenalkan kepada Allah dan Akhirat. Hati-hati mereka di bersihkan daripada dunia dan dari segala sifat-sifat yang keji hingga bangsa Arab yang dipimpin dan dididik oleh Rasulullah itu menjadi bangsa yang sangat cinta dan takut dengan Tuhan, sangat cinta akhirat dan sangat berkasih sayang di antara satu sama lain.

Orang-orang Yahudi juga tahu bahawa kekuatan umat Islam ketika itu bertolak daripada empat perkara seperti berikut:
  • Taqwa
  • Perpaduan
  • Taat kepada Rasulullah
  • Tawassul

Keempat-empat perkara diatas adalah yang menjadi perkara-perkara asas,kekuatan umat islam diwaktu itu.Para sahabat sangat menghayati dan sangat mengamalkannya.Kerana itulah para sahabat jadi hebat dan kuat dan digeruni oleh musuh-musuh terutama Yahudi dan Nasrani. Mari kita lihat bagaimana Yahudi berusaha untuk memisahkan dan menjauhkan umat Islam dari asas-asas kekuatan ini.


Taqwa

  • Dilalaikan umat Islam dengan amalan-amalan lahir semata-mata.
  • Dicegah dan diharamkan hal-hal dan amalan-amalan yang berbentuk rohaniah, malahan disesatkan.
  • Amalan-amalan tareqat yang banyak menjurus kepada membina roh manusia, memperbaiki hati dan mendidik nafsu manusia tidak digalakkan malahan dikatakan bukan dari ajaran Islam. Dikatakan semua itu hanya ciptaan orang-orang terkemudian dan dianggap bida'ah.
  • Fahaman Wahabi banyak membawa isu ini.Mereka sangat merosakkan ketaqwaan umat Islam.Fahaman Wahabi ini sangat menguntungkan pihak musuh-musuh Islam.
  • Disamping Wahabi, inilah juga kerja para-para ulama yang dididik dan mendapat ijazah dan Ph.d dari pusat-pusat pengajian di Barat dan Amerika.
Justeru itu lah banyak ibadah dan amalan umat Islam hanya tinggal yang lahirnya sahaja tanpa kita sedar.Tidak ada lagi roh ibadah.Solatnya tidak ada roh. Puasanya tidak ada roh. Hajinya pun tidak ada roh.Membaca Quran juga tidak ada roh.Sebab itu walau pun ibadah kita banyak tapi kurang mendatangkan hasil sebagaimana para-para sahabat dan orang-orang soleh zaman dahulu.

  • Ibadah kita tidak dapat membina keagungan Islam.Ibadah hanya untuk mengejar pahala dan fadhilat.
  • Ibadah bukan lagi untuk mendapat rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan.
Kesannya dapat kita lihat hari ini umat islam tidak lagi mampu untuk bangun memerdekakan diri,keluarga,masyarakatnya dari ancaman Yahudi dan musuh-musuh islam yang semakin hari semakin rakus untuk menghancurkan umat islam.


Perpaduan



Untuk memusnahkan kekuatan ini, bangsa Yahudi melahirkan berbagai ideologi dan isme-isme. Oleh itu, di kalangan umat Islam, ada orang Islam yang berfahaman sosialis, nasionalis, kapitalis, demokrasi, bahkan ada orang Islam yang berfahaman komunis.Dengan fahaman yang berbeza-beza ini, maka umat Islam berpecah kepada berbagai-bagai puak, kumpulan dan parti mengikut fahaman mereka masing-masing.

Fahaman-fahaman ini lebih kuat mencengkam individu-individu tersebut dari agama Islam itu sendiri sehingga agama Islam yang mereka sama-sama anuti menjadi kecil dan lemah dan tidak mampu untuk menyatupadukan mereka.Umat Islam lebih berideologi daripada beragama. Ideologi mereka mengatasi agama mereka.Dalam sistem demokrasi pula, diwujudkan sistem politik kepartian.

Maka umat Islam berpecah ke dalam berbagai-bagai parti mengikut fahaman mereka masing-masing. Atas landasan demokrasi, mereka merebut kuasa pemerintahan.Mereka terus berpecah kerana tidak sehaluan dan demi untuk menjaga kepentingan parti masing-masing. Ada parti yang bersifat nasionalis, sosialis, liberalis, buruh dan sebagainya.

Orang Islam yang ada semangat untuk memperjuangkan Islam juga turut terpedaya dan terlibat dalam sistem demokrasi dan politik kepartian anjuran Yahudi ini,yang tidak ada lain hanya bertujuan untuk melemah,memecah dan memusnahkan perpaduan umat Islam dengan membentuk parti demokrasi Islam.


Taat kepada Rasulullah s.a.w.



Di zaman ini,Rasulullah sudah tidak ada lagi bersama kita,maka dapatlah kita salurkan ketaatan ini kepada guru.Terutama guru mursyid iaitu guru yang mengajar, mendidik, membimbing dan memimpin.Dalam Islam, perlu ada guru mursyid yang memimpin.

Allah berfirman di dalam Al Quran:

Maksudnya: “
"Selamatkan dirimu dan keluargamu dari api Neraka.” (Tahrim: 6)

Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada
Rasul dan kepada pemimpin dari kalangan kamu.” (An Nisa: 59)

Allah berfirman
lagi:

Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada
Allah dan hendaklah kamu berserta golongan yang benar (siddiqin).” (At Taubah:
119)

Imam Al Ghazali dalam Ihya Ulumiddin, Jilid 3 menegaskan tentang betapa pentingnya mencari pemimpin yang memandu kepada Tuhan (mursyid) iaitu:
  • Seorang murid memerlukan seorang syeikh yang boleh diikutinya,agar syeikh itu akan menunjukkannya arah jalan yang benar.
  • Sesungguhnya jalan agama itu adalah samar dan jalan-jalan syaitan terlalu banyak dan mudah.
  • Sesiapa yang tidak ada syeikh yang memimpinnya maka syaitanlah yang memimpinnya
  • Sesiapa yang berjalan di lembah-lembah yang bahaya tanpa orang menjaga keselamatannya sesungguhnya dia telah membahayakan dan membinasakan dirinya.
  • Orang yang bersendiri (tanpa syeikh) adalah seperti pokok yang tumbuh sendiri dan mudah mati; jika pokok itu terus hidup ia takkan berbuah.
  • Orang yang mengawasi seorang murid ialah syeikhnya. Maka hendaklah murid itu berpegang teguh terhadap syeikhnya. ”

Sehubungan dengan kata-kata Imam Ghazali itu, Allah juga ada
berfirman:Maksudnya:

“Sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka kamu tidak
akan dapati padanya seorang pemimpin yang memberi petunjuk padanya.” (Al
Kahfi: 17)

Imam Fakhruddin Ar Razi dalam Mafatih al Ghayib berkata:

Dalam Al Fatehah bila disebut:

“Tunjukkan kami jalan yang lurus".

Tidak memadai setakat itu sahaja.Allah menyambung,

"iaitu jalan orang-orang yang Engkau bagi nikmat ke atas mereka
(goiongan rasul-rasul, nabi-nabi dan para siddiqin) ".

Ertinya seseorang itu memerlukan pemimpin yang memandunya ke arah jalan yang benar dan
menjauhkannya dari jatuh ke lembah kesalahan dan kesesatan.”

Imam Fakhrurrazi menggunakan kaedah usul fiqhnya didalam ayat ini
iaitu:

  • Tidak sempurna yang wajib itu melainkan dengan kewujudannya,maka perkara itu juga wajib.

Di dalam menghuraikan Surah Al Fatehah,Imam Fakhrurrazi mengatakan
hukum untuk mendapatkan jalan yang lurus,yakni jalan kebenaran dari Tuhan adalah wajib. Jalan kebenaran ini tidak akan sempurna kita kecapi dan miliki melainkan dengan sesuatu yang akan sampaikan kita kepada-Nya.

Ertinya di sini,mendapatkan pemimpin kebenaran itu hukumnya juga adalah wajib agar kita berada di jalan yang lurus dan benar.


Allah berfirman: Maksudnya:


“Bolehkah aku mengikuti tuan supaya tuan dapat mengajarkan aku ilmu yang benar dari ilmu-ilmu yang diajarkan-Nya kepada tuan.” (AI Kahfi: 66)

  • Kata-kata Nabi Musa a.s. kepada Nabi Khidir a.s. di.dalam ayat di atas meyakinkan lagi kepada kita tentang pentingnya mencari pemimpin kebenaran walau di taraf mana kita berada.

Syeikh Abdul Wahab Asy-Sya’arani mengulas dengan berkata bahawa:
  • Imam Ahmad Hanbal meminta pimpinan Abu Hamzah Al Baghdadi.
  • Imam Ahmad Suraij meminta pimpinan Abu Qasim Al Junaid.
  • Imam Al Ghazali yang kedudukannya adalah Hujjatul Islam juga mencari pimpinan.
  • Syeikh Izzudin Abdul Salam yang digelar sultanul ulama di waktunya juga meminta pimpinan Syeikh Abu Hassan Asy Syazili.
Begitu sekali keadaannya para nabi, para ulama muktabar dan para kekasih Allah
mewajibkan diri mereka mencari mursyid dan pemimpin kebenaran untuk
mendapatkan keselamatan hidup di dunia dan di Akhirat. Masakan kita orang
awam akhir zaman yang sudah jauh dari Rasulullah merasakan sudah cukup
belajar sendiri melalui kitab-kitab dan buku-buku agama?

Apakah boleh hijab hati kita dibuka dan selamat menuju Allah tanpa pimpinan mursyid dan
pemimpin kebenaran? Justeru itulah kita wajib mencari mursyid.

  • Guru dan pemimpin perlu untuk mengikat murid-murid.
  • Islam pula mewajibkan murid taat kepada guru.
Yahudi sangat berusaha memusnahkan hubungan murid dengan guru ini. Mereka cuba putuskan apa yang diistilahkan sebagai ketaatan oleh Islam, mereka namakan taksub atau taksub membuta tuli.

Ketaatan yang dituntut oleh Islam dengan tujuan supaya hubungan antara murid dan guru menjadi kuat dan mudah untuk murid dididik dan dipimpin, diselewengkan dan dikatakan taksub yang bahaya kerana guru mungkin menyalahgunakan murid untuk tujuan peribadi dan duniawi.

Mereka cuba mencacatkan akhlak dan peribadi guru. Mereka guna lidah ulama-ulama yang berkepentingan dan yang gila dunia. Ulama-ulama inilah yang membuat bising di dada-dada akhbar dan media massa.


Tawassul



Tawassul adalah kelebihan yang Allah kurniakan kepada umat Islam. Orang awam boleh berdoa dengan perantaraan orang-orang yang soleh dan bertaqwa. Doa seperti ini cepat dimakbulkan.


Menurut hadis-hadis, ada beberapa perkara yang dapat dijadikan wasilah untuk tawasul:

  • amal soleh
  • orang yang masih hidup
  • orang yang sudah mati
  • orang yang belum lahir


Tawasul dengan amal soleh


Dan Ibnu 'Umar Rdhn, dari Nabi Muhammad Saw. beliau menceritakan :


Adalah tiga orang berjalan ke luar kota, tiba-tiba hujan turun, maka mereka ketiganya masuk berlindung ke dalam sebuah gua pada suatu bukit. Kebetulan kemudian batu besar jatuh menutupi pintu gua mereka. Salah seorang di antara mereka berkata kepada kawannya :

"Berdo'alah kepada Tuhan dengan berkat amal soleh yang engkau telah kerjakan."

Lalu salah seorang daripada mereka pun berdo'a :

"Ya Allah, dahulu ada dua orang ibu-bapa saya yang sudah tua.Saya keluar menggembala dan saya perah susu gembalaanku,lalu saya bawa susunya pulang. Saya beri minum kepada ibu-bapa, anak-anakku dan keluargaku dari sebelah isteriku dengan susu itu.
Pada suatu hari saya terlambat pulang,saya dapati ibu-bapaku sudah tidur,saya tidak suka mengganggu mereka padahal anak-anak menangis minta susu.Begitulah saya sehingga sampai pagi.

"Ya Allah, kalau Engkau tahu bahwasanya saya membuat amal itu,semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Engkau,maka bukalah pintu gua ini sehingga kami dapat melihat langit. Maka pintu gua dibukakan oleh Tuhan sepertiganya".
(Hadits sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim - lihat Sahih Bukhari II hal 17- 18).


Tawasul dengan orang yang masih hidup


Sayidina Umar bertawasul kepada Sayyidina Abbas. Hal ini termasuk karamah Sayidina Abbas .

Dari Anas (bin Malik), bahwasanya 'Umar bin Khatab Rdhn. adalah apabila terjadi kemarau, beliau meminta minta hujan dengan Abas bin Abdul Muthalib, maka beliau berkata :

"Ya Allah bahwasanya kami telah tawassul kepada Engkau dengan Nabi kami, maka Engkau turunkan hujan, dan sekarang kami tawassul kepada Engkau dengan paman Nabi kami, maka turunkanlah hujan itu."

(Hadits ini dirawikan oleh Imam Bukhari dan Baihaqi - lihat Sahih Bukhari I hal. 128 dan Baihaqi (Sunan al Kubra) II hal. 352).


Tawasul dengan orang yang sudah mati


Rasulullah bertawasul kepada nabi-nabi yang sudah wafat sebelum beliau:

Dan sahabat Nabi,Anas bin Malik, bahwasanya Nabi Muhammad Saw. berkata dalam do'a beliau begini :

"Ya Allah, ampunilah Fatimah binti Asad dan lapangkanlah tempat masuknya (ke kubur) dengan hak Nabi Engkau dan Nabi-nabi sebelum saya. Engkau yang paling kekal dari sekalian yang kekal". (Hadith riwayat Imam Thabrani - lihat kitab Syawahidul haq hal. 154).


Tawasul dengan orang yang belum lahir


Potongan hadis (lengkapnya silakan lihat di dalil-berdoa-tawasul, dalil ke sebelas):

Berkata Rasulullah Saw. : Pada ketika Nabi Adam telah membuat kesilapan ia bertaubat dan berkata :

" Wahai Tuhan, saya mohon kepada-Mu dengan hak Muhammad supaya Kamu ampuni saya."

Nabi Adam a.s sudah pun bertaubat dengan bertawasul dengan nabi Muhammad s.a.w, padahal nabi Muhammad s.a.w diwaktu itu belum lagi dilahir ke dunia.

Selain itu dalam surat Al Baqarah ayat 89, juga dinyatakan bahwa orang Yahudi ada bertawasul dengan nabi Muhammad.

Amalan tawasul itu sendiri tidak dianggap perbuatan keliru oleh orang Yahudi.


Tawassul satu dari kekuatan umat Islam.Yahudi sangat-sangat berusaha menyesatkan tawassul ini. Dikatakan tawassul itu syirik kerana meminta kepada makhluk dan tidak meminta terus kepada Allah. Ini supaya umat Islam takut dengan tawassul padahal ia adalah sumber kekuatan umat Islam.

Mereka menyorokkan hakikat bahawa, tawassul itu tetap kita memintanya dari Tuhan,cuma diperkuatkan permintaan itu dengan berkat orang-orang soleh dan bertaqwa yang mereka itu sangat hampir dengan Tuhan.

Yahudi tidak berusaha secara terus menerus atau terang-terangan.Ini kerana secara terus-menerus dan terang-terangan tidak akan mendatangkan apa-apa kesan pada umat islam malah umat Islam akan terus curiga dan berwaspada terhadap angkara Yahudi ini. Mereka melakukannya secara halus iaitu mereka gunakan orang-orang Islam itu sendiri yang sudah mereka pengaruhi untuk membuat kerja-kerja ini terutama yang mempunyai ilmu dan kuasa.

Bak kata pepatah Melayu:
"hendak tebang pokok kayu, kenalah minta tolong pada kayu"
Walaupun mata kapak itu besi tetapi hulunya kayu.


Hendak musnahkan umat Islam, mesti menggunakan orang Islam itu sendiri.



Friday, June 19, 2009

PERIHAL SEBUAH BANGSA

Di dalam sejarah tamadun manusia, ada bangsa-bangsa yang telah menempa sejarah yang agung. Bangsa-bangsa itu dianggap agung kerana kedudukan dan martabat mereka yang jauh lebih tinggi dari bangsa-bangsa lain yang sezaman dengan mereka.Mereka itu agung kerana mereka:

  • 1. Bangsa yang berjiwa besar
  • 2. Berwibawa
  • 3. Bertamadun
  • 4. Disegani
  • 5. Dihormati
  • 6. Maju
  • 7. Mengatur
  • 8. Banyak memberi khidmat kepada bangsa lain

Bangsa-bangsa yang lemah dan mundur mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat negatif yang menyebabkan mereka itu tidak boleh maju dan ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Di antara ciri-ciri dan sifat-sifat tersebut adalah:

  • 1. Pemalas
  • 2. Berjiwa kecil
  • 3. Penakut
  • 4. Suka meminta-minta (bantuan dan subsidi)
  • 5. Lemah jiwa. Mudah putus asa dan kecewa
  • 6. Tidak ada keyakinan diri
  • 7. Tidak ada cita-cita untuk bangsanya.

Mereka hanya ada cita-cita peribadi, untuk hidup senang dan untuk makan sendiri sama ada pemimpin dan orang besarnya ataupun rakyatnya.

Bangsa-bangsa yang kuat dan agung pula mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang jauh berbeza. Mereka sebaliknya mempunyai berbagai-bagai sifat positif yang dapat memberi kekuatan kepada mereka. Sifat-sifat itu termasuklah:

  • 1. Rajin
  • 2. Berjiwa besar
  • 3. Berani
  • 4. Tidak suka meminta-minta dan sangat berdikari
  • 5. Kuat jiwa. Tidak mudah putus asa atau kecewa
  • 6. Yakin diri
  • 7. Ada cita-cita untuk bangsanya, sama ada cita-cita itu pada pemimpin, pada orang besarnya atau pada rakyatnya.

Di samping sifat-sifat di atas, ada lagi sifat-sifat positif yang sangat meneguhkan dan menguatkan peribadi mereka. Ini termasuklah sifat-sifat:

  • 1. Berdisiplin
  • 2. Sabar

Agungnya peribadi itu pula dapat dilihat pada:

  • 1. Akhlaknya
  • 2. Imannya
  • 3. Keyakinannya
  • 4. Disiplin hidupnya
  • 5. Kebersihan hatinya
  • 6. Jauhnya mereka daripada melakukan maksiat dan dosa
  • 7. Kemas syariatnya

Bukan mudah untuk mengubah bangsa yang lemah dan mundur supaya menjadi bangsa yang kuat dan agung. Segala ciri dan sifat-sifat mereka itu perlu diubah.

  • Sifat pemalas mesti diubah menjadi rajin.
  • Jiwa yang kecil mesti diubah menjadi jiwa yang besar.
  • Sifat suka meminta-minta dan sentiasa mengharapkan bantuan dan subsidi, mesti dikikis dan dibuang.
  • Mesti ditanam dengan sifat berdikari.
  • Jiwa yang lemah mesti dikuatkan.
  • Tidak boleh mudah kecewa dan berputus asa.
  • Sifat penakut mesti ditukar kepada sifat berani.
  • Mereka mesti kuat keyakinan.
  • Cita-cita bangsa perlu ditanam di dalam hati sanubari setiap anak bangsa.
  • Sifat suka mementingkan diri dan bekerja hanya untuk kesenangan diri sendiri mesti dihapuskan.

Ini sesuai dengan firman Allah SWT: Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri (hati atau jiwa) mereka.”

(Ar Ra’d: 11)

Wallahua’lam.

MARI MENGENAL NABI KITA

  • Mari kita teruskan cerita tentang nabi kita, Supaya lebih terperinci lagi cerita dan beritanya,
  • Dia manusia luarbiasa kekasih Tuhannya,
  • Agar lebih nampak dia manusia istimewa, Dia tidak akan makan sebelum lapar, Dia akan berhenti sebelum kenyang, Tidak macam manusia biasa,
  • Dia tidak suka makanan banyak jenis lauknya,
  • Kalau dia suka kerana Tuhannya, Kalau dia marah pun kerana Tuhannya, Bukan kerana peribadinya,
  • Dia wafat, boleh dikatakan tidak meninggalkan harta,
  • Dia tidak meninggalkan sembahyang jemaah, Kecuali sekali saja didalam hidupnya, Yaitu waktu sakit hingga membawa wafatnya,
  • Makan minumnya bukan diusahakannya, Tetapi setiap kali hendak makan, ada rezekinya,
  • Tapi pengikutnya disuruh berusaha, Terutama yang ada keluarga,
  • Dia tidak menerima upah, Lebih-lebih lagi meminta upah, Kerana usaha perjuangannya, Tetapi ulama dihari ini, memakan upah dari usaha dakwahnya, Seperti yang dibuat oleh kebanyakan ulama-ulama yang cinta dunia, Bahkan ada ulama yang meminta upah dari dakwah dan pengajiannya,
  • Takut dengan Tuhan ketara dimukanya,
  • Dia beristerikan janda kaya, Khadijah namanya, Harta Khadijahnya diserahkan habis kepadanya, Tetapi nabi korbankan harta itu semuanya,
  • Dan nabi, kalau dia berkawan, sebaik-baik kawan,
  • Kalau dia dirumah, sebaik-baik bapa,
  • Kalau dia bersama isteri, sebaik-baik suami,
  • Kalau dia memimpin, sebaik-baik pemimpin,
  • Kalau dia bercakap lantang suaranya, Tegang urat nadinya,
  • Kalau dia bercakap bak mutiara, Sangat berkesan pada jiwa orang yang mendengarnya,
  • Kalau dia berucap atau berpidato, tidak ada gelak ketawa. manusia yang mendengar insaf dibuatnya, Tidak seperti ulama-ulama hari ini, Kalau bercakap gelak ketawa orang yang mendengarnya, Kerana yang dicakapkan itu dari lidahnya, Bukan dari hatinya,
  • Nabi kalau bercakap singkat-singkat sahaja, tidak meleret, Tidak seperti kebanyakan manusia,
  • Dia bercakap pendek sahaja, Tapi terhimpun berbagai-bagai ilmu didalamnya, Dikatakan oleh hadis ‘jawa miul kalim’ Kata-katanya singkat tapi padat, Kata-katanya singkat tapi maksudnya luas, Kata-katanya singkat tapi puas dan menggetarkan jiwa, Tidak seperti kita bercakap berjela-jela, isinya tiada, Masa terbuang. Cakap kita tidak menggetarkan jiwa,
  • Kita sambung lagi cerita nabi kita, Nabi tidak suka berjalan-jalan membuang masa,
  • Juga tidak akan bercakap yang sia-sia, Sekalipun tidak berdosa,
  • Kalau dia ketawa tidak berbunyi,
  • Insafnya dapat dilihat dimukanya, Takutnya kepada Tuhan ketara dimukanya ,
  • Dia melahirkan kegembiraan bila kawan-kawannya gembira,
  • Dia melahirkan kesedihan diatas kesedihan kawan-kawannya,
  • Rasulullah mudah menangis kerana takutkan Tuhannya,
  • Rasulullah tahu Tuhan kasih kepadanya,
  • Akhlaknya sungguh agung,Tuhan memujinya,
  • Bahkan Tuhan mengatakan dia yang paling bertaqwa dikalangan manusia sebelum dan sesudahnya,
  • Seolah-olah dia tidak mendengar apa yang Tuhan kata terhadap dirinya, Tuhan berkata “Akhlaknya, sungguh agungnya, tidak ada siapa boleh menandinginya, tetapi dia tidak merasa bangga, dia tetap merasa hamba” Dia tetap dapat mengekalkan rasa takut dengan Tuhannya,
  • Rasa kehambaan sentiasa didalam hatinya, Bahkan tidak pernah putus daripada perasaannya,
  • Soal Tuhan memujinya itu hak Tuhannya, Tapi dia tetap merasa hamba kepada Tuhannya, Tawadhu’ dengan Tuhannya, sentiasa ada, Sangat ketara, didalam hidupnya,
  • Dia berpakaian jubah dan serban,
  • Warna yang dia suka kebanyakannya putih dan hijau, Warna lain ada juga dipakainya, Tapi sekali sekala,
  • Makanan yang dia suka, susu dan kurma,
  • Daging sebagai lauknya, Itulah penguat badannya,
  • Demikianlah secara ringkas yang global tentang cerita nabi kita, yang tidak disebut berusahalah untuk mempelajarinya,
  • Didalam sejarah nabi kita ada dicerita, mukjizat banyak berlaku ditangannya, Yang lahir dan yang batin, Yang besar ialah Al Quran dan Al Hadith, Yang kekal sampai keakhir zaman, Untuk pengajaran dan panduan kepada manusia, Demi keselamatan manusia dunia dan akhiratnya,
  • Tetapi apa yang disebutkan diatas sudah memada, bagi orang yang tiada masa mengkajinya,
  • Kalau peribadi seseorang itu dapat menggambarkan bayangan nabi kita, Orang itu boleh menjadi ikutan manusia, Kalau dia memimpin, Tuhan memberkatinya, Betapalah kalau dia pemimpin yang Tuhan janjikan untuk manusia.

Wallahua’lam.

Thursday, June 18, 2009

mari mengenal nabi kita

mari mengenal nabi kita

By hafiz09

MARI KITA BERCERITA TENTANG NABI KITA

  • Rasulullah SAW, penyelamat manusia didunia dan diakhirat. Walaupun sebelum ini kita telah bercerita banyak tentangnya, Mungkin kali ini kita ceritakan disudut-sudut yang lain yang belum diceritakan lagi, Kalau pun sudah diceritakan, lagi banyak kali pun tidak mengapa,supaya yang lupa dingat kembali dan bertambah ingat lagi.
  • Nabi Muhammad SAW seorang yang luar biasa yang tidak ada taranya di kalangan manusia, walaupun manusia yang sebelum dan sesudahnya.Sekalipun dikalangan para rasul dan para nabi yang telah diberita.
  • Rohnya bersih umpama malaikat dan jasadnya manusia.
  • Orang paling cerdik dan paling bersih rohnya dikalangan manusia yang sebelum dan sesudahnya. Maka itu dia diberi julukan ‘fathonah’oleh tuhan. Bahkan yang paling ‘Fathonah’ dikalangan rasul-rasul Nya,
  • Ilmunya bukan didapati dari akalnya, Walaupun dia orang yang paling tajam akalnya, Dia mendapat ilmu dijatuhkan Tuhan kedalam hatinya, Wahyu namanya, dia belajar langsung dari Tuhannya, Kerana inilah dia tidak perlu menulis dan membaca seperti manusia biasa, Kerana itulah ilmunya tidak dilupa sepanjang masa, Kalau dari akal mungkin ada yang dilupakannya.
  • Ilmunya menceritakan dunia dan akhirat,
  • Tawakalnya luarbiasa, Sebab itulah dimalamnya, makanan tidak disimpan untuk esok harinya, dan diberi kepada manusia yang memerlukannya Kerana dia yakin, kalau esoknya dia hidup. Tuhan akan merezekikannya lagi.
  • Dia tidak membunuh orang.Walaupun disetengah-setengah waktu dia boleh membunuhnya.Tapi dia tidak membunuhnya, Dia mengambil jalan yang utama, iaitu memaafkannya. Kerana itu,orang tersebut Islam ditangannya.
  • Beraninya luarbiasa yang tiada tandingan, Dia sanggup berjalan dihadapan musuhnya seorang diri, Musuh tidak akan mengapa-apakannya bahkan terpinga-pinga,
  • Kasih sayangnya sangat ketara, Terutama kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda, Orang yang bersalah dimaafkannya, Sekalipun orang itu tidak meminta. Pernah hamba sahaya yang hendak dihukum oleh tuannya, dia membuka bajunya untuk disebat,sebagai menggantikan hamba sahaya itu.Tuan hamba sahaya itu malu, lalu memerdekakan hamba itu,
  • Pernah Rasulullah SAW membeli hamba sahaya kemudian dimerdekakannya,
  • Pemurahnya tidak ada taranya, Macam angin kencang lajunya, Tiada siapa yang dapat menandinginya, Dan tidak pernah menghampakan orang yang meminta, Sekalipun dia terpaksa berhutang buat sementara,
  • Kalau ada orang mengata dan menghinanya, Dia diam saja, tidak menjawabnya,
  • Gembiranya tidak ketawa, hanya senyum sahaja, Cuma ketara pada mukanya sahaja.
  • Bahkan tidak pernah menghina orang atau mengata aib orang, Sekalipun musuhnya,
  • Rasulullah makannya sedikit sekadar mengalas perutnya Dia tidak pernah makan seorang, sekalipun lapar, Paling tidak, dia makan berdua, Tapi kalau dia tidak suka setengah jenis makanan itu, Dia tidak pula mencercanya,
  • Kalau dia marah dengan orang, disembunyikan marahnya sehingga orang tidak tahu kemarahannya,
  • Dia tidak pernah melahirkan jijik kepada manusia, Sebab itu dia sanggup makan dengan orang berkudis-kudis badannya,
  • Sabarnya luarbiasa, Tentang ujian yang Tuhan timpakan kepadanya berbagai-bagai bentuknya, Dia redha, Lantaran itu Tuhan beri dia gelaran ‘Ulul Azmi’ Yang tiada bandingannya, Bahkan dia ketua ‘Ulul Azmi’, dikalangan rasul-rasul,
  • Ditangannya lahirlah murid-murid yang luarbiasa, Diberi gelaran sahabat namanya, Ratusan ribu banyaknya, lebih seratus ribu bilangannya, Ini tidak pernah berlaku dikalangan rasul-rasul sebelumnya, Semua sahabat-sahabatnya masuk syurga, Kerana dosa-dosa mereka diampunkan oleh Tuhan, Kerana menjadi sahabat-sahabatnya,
  • Sahabat-sahabatnya laksana bintang-bintang dilangit,
  • Rasul adalah ibarat bulan purnama,
  • Hatinya tidak tidur sekalipun matanya tidur, Menunjukkan hatinya sentiasa jaga, Sebab itulah kalau dia tidur tidak membatalkan wudhu’nya,
  • Dia menghormati manusia sesuai dengan darjatnya, Sekalipun orang itu kafir,
  • Kadang-kadang dibentangkan serbannya untuk tempat duduk tetamunya Kerana menghormati tetamunya,
  • Dia tidak mengutuk dan melaknat makhluk Tuhan, Sekalipun binatang yang melata,
  • Begitu juga tidak pernah melakukan kesalahan, Sekalipun kesalahan yang utama,
  • Kalau dia melihat perempuan, matanya ditundukannya, Dia orang paling pemalu, Malunya kalah anak dara yang paling pemalu,
  • Sebab itu seumur hidup dia tidak pernah melihat kemaluannya dan kemaluan isterinya,
  • Kalau dia berjalan, tidak diizinkan perempuan dihadapannya,
  • Ibadahnya banyak, terutama diwaktu malam.Hingga bengkak-bengkak kakinya,
  • Dia suka berkhidmat dengan isteri-isteri dan keluarga, Bukan diarah-arahkan oleh isteri-isterinya, Tapi dia buat dengan sukarela, Kerana mencari redha Tuhannya,
  • Dia sebaik-baik suami, Tidak mampu orang lain membuatnya,
  • Bahkan dia berkhidmat dengan musuhnya.Satu cerita yang menyayat hati kita: Seorang buta yang benci kepada Rasulullah. Rasulullah berkhidmat tanpa diketahuinya.Hingga sampai waktu wafatnya.Diganti pula oleh Saidina Abu Bakar untuk berkhidmat kepada sibuta itu. Tapi dirasakan oleh si buta ada kelainan dari sebelumnya. “Kamu ini siapa? tanya si buta. Saidina Abu Bakar berkata “Saya Abu Bakar Pengganti Rasul yang berkhidmat kepada kamu, yang Rasul itu sudah wafat” Sibuta itu terkejut! Rupanya yang berkhidmat padanya adalah orang yang paling dibencinya, Kerana terkejut.Menjadikan si buta mati, Tapi sempat dia mengucap dua kalimah syahadat.Islamlah si buta sebelum matinya.
  • Kalau dia bersahabat atau berkawan Mengutamakan kawannya, Bahkan berkhidmat kepada sahabatnya,
  • Setiap orang yang bergaul, berpuas hati dengannya,
  • Setiap orang merasa dia dihormatinya,walaupun berbagai-bagai peringkat kedudukannya.
  • Bersambung………….