Friday, July 10, 2009

MANUSIA YANG ADA KEMANUSIAAN

aku adalah kesedaran untuk mereka
yang tidak sedarkan diri..
aku adalah kaki untuk mereka yang mengalami paralysis
aku adalah mata untuk mereka yang tidak boleh melihat..
aku adalah nyawa untuk mereka yang ingin membunuh diri
aku adalah pergerakkan untuk bayi yang baru lahir..
aku adalah pengetahuan dan keyakinan diri untuk ibu-ibu muda..
aku adalah suara untuk mereka yang terlalu lemah untuk berkata-kata..

dan setiap anggotaku juga adalah untuk beribadah...
mata ku begitu alert untuk melihat dan mengesan sesuatu yang berlaku
telinga ku bagaikan telinga lintah yang mampu mendengar bunyi-bunyi yang di keluarkan oleh clientku..
telinga ku juga tidak loket untuk mendengar setiap luahan yang diluahkan oleh mereka..
hatiku mudah berasa simpati dengan keadaan yang menimpa client ku..
hatiku penuh dengan kasih sayang terhadap mereka...
seolah-olah aku berada pada situasi itu.

Tanganku adalah kudratku..anugerah tuhan yang paling besar buatku..
Dengan tangan ini aku membersihkan mereka.
Tiada istilah kotor, jijik, loya dan mual dalam kamus hidup ku..
Najis, nanah, darah sudah sebati dengan diriku..
Dengan tangan ini aku menyuapkan makanan ke mulut mereka yang tidak mampu..
Dengan tangan ini lah aku memberi segala perawatan kepada mereka...
Betapa aku simpati melihat keadaan mereka...
Betapa tuhan itu maha berkuasa ke atas sesuatu...
Aku memberi penjagaan seolah-olah aku menjaga ahli keluarga ku sendiri...
Kakiku pula pantas bergerak ke sana sini menjaga kebaikan mereka..
semoga aku diberkati...

inilah aku..

http://zieawana.blogspot.com

Thursday, July 9, 2009

AL FATIHAH: AYAT ALHAMDULILLAH BHG 2



Apabila seseorang itu sudah diperlihatkan pada dirinya,rahmat dan nikmat Tuhan,yang seolah-olah di depan matanya, nikmat dan rahmat Tuhan itu seperti salji yang turun,maka indahlah bila dia menyebut
alhamdulillah.

Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak pula terasa oleh hatinya, lebih-lebih lagi pada nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, kalau dia membaca alhamdulillah, ia sekadar untuk mencari fadhilat sahaja.

Ia tidak dapat membangunkan syahsiah dan akhlak pada diri orang itu. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya. Tidak terasa apa-apa. Maka patut sekali Tuhan meletakkan Alhamdulillah itu selepas Bismillahirrahmanirrahim.Jadi kalau kita faham Bismillah itu seperti yang pernah kita ceritakan sebelum ini, maka kita pun akan berkata alhamdulillah...

Ia akan menjadi sangat indah, sangat memberi kesan dan sangat memberi erti.Jika tidak, kita tidak akan terasa apa-apa pun daripada bacaan alhamdulillah itu..

Maha Besar Tuhan.

Mari pula kita terokai pula isi atau intipati alhamdulillah. sama ada yang boleh dilihat oleh mata, akal atau yang rohani.

Segala puji bagi Tuhan.

Apakah 'puji' itu?


Erti Puji:
  • Ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan pada seseorang (sekiranya pada orang), atau pada Zat (kalau kepada Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau yang layak bagi Zat itu.
Kalau itulah takrif pujian atau itulah isi pujian, kalau kita berkata Alhamdulillah, maka bagaimanakah segala puji bagi Tuhan itu berdasarkan takrif tadi?

Bagaimanakah untuk memuji Tuhan mengikut takrif itu?
  • baiknya Tuhan,
  • hebatnya Tuhan,
  • maha kuasanya Tuhan,
  • pemurahnya Tuhan
  • maha agungnya Tuhan.
Semua itu layak bagi Tuhan. Kalau kita hendak memuji Tuhan atas dasar kelayakannya, ia bukan sekadar itu.Sekiranya Tuhan mengizinkan, katalah kita boleh hidup sampai sejuta tahun sekalipun, sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak memuji Tuhan, ianya tidak akan habis. Mengapa?
Ini adalah kerana sifat kesempurnaan bagi Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batasnya.

Sekiranya Tuhan mengizinkan kita untuk hidup sejuta tahun, yang mana kita sentiasa memuji-muji Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu pun tidak cukup lagi, kerana kehebatan Tuhan itu tidak ada kesudahannya.

Maha Besar nya Tuhan.

Maka selayaknyalah selepas ayat Bismillah, ialah ayat Alhamdulillah, sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak berkesudahan. Jadi sekiranya kita hendak memuji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan.

Oleh kerana umur kita sangat-sangat terhad maka tidak mungkin kita boleh berbuat sesuatu yang sempurna.Dan sekiranya dipanjangkan umur kita, sehingga berjuta-juta tahun sekali pun, dan Tuhan memperlihatkan pada kita kesempurnaan Nya, masih lagi kita tidak akan mampu untuk menyempurnakan maksud alhamdulillah itu pada yang selayaknya bagi Tuhan.

Jadi kalau inilah yang kita faham, maka barulah 'sedap' kita hendak menyebut alhamdulillah, sebab kita nampak, mengapa sepatutnya kita memuji-muji Tuhan itu.Ini adalah kerana sifat-sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha Bijaksana Tuhan yang meletakkan perkataan Bismillah, kemudiannya Alhamdulillah.

Memuji Tuhan ini ada 3 peringkat:
  • Memuji-muji perkara yang ada hubungan dengan zatNya.
  • Memuji-muji perkara yang ada hubungan dengan sifat-sifat Nya.
  • Memuji-muji keatas rahmat dan nikmat Nya
Jadi memuji-muji Tuhan itu, adakalanya berhubung dengan zat Nya, adakalanya berhubung dengan sifat-sifat Nya dan adakalanya diatas rahmat dan nikmat Nya.

Rahmat dan nikmat itu sudah kita perkatakan,iaitu ada yang bersifat boleh dilihat dengan mata, yang bersifat akal dan bersifat rohaniah.


Contoh kita memuji Tuhan di atas Zat Nya:


"Wahai Tuhan, Engkaulah yang maha kekal. Wahai Tuhan, Engkau maha esa, Engkau tidak memerlukan ruang, Zat Engkau tidak menyerupai segala yang baharu. Wahai Tuhan maha suci Engkau dari mengambil tempat, sama ada berada didalam masa dunia atau masa akhirat".

Contoh pujian kita ke atas Tuhan berkait dengan sifat-sifat Nya:

"Engkau Maha pengasih, Maha penyayang. Engkau maha pengampun. Engkau maha lembut. Engkau maha qahhar (keras) dan jabbar. Engkau maha bersyukur, Engkau maha lemah lembut. Engkau maha agung, Engkau maha tinggi, Engkau maha pemarah (Tuhan memang layak)". Itulah pujian yang memang layak ke atas Tuhan.

Contoh memuji-muji Tuhan di atas rahmat dan nikmat Nya:

"Pemurahnya Engkau, wahai Tuhan, Engkau memberi aku makan, memberi aku ilmu (ada hubungan dengan nikmat aqli). Terima kasih Tuhan kerana memperkenalkan Diri Mu kepada ku. Terima kasih Tuhan kerana Engkau jadikan Engkau Tuhan ku. Terima kasih kerana memberi aku kesenangan, anak-anak, pakaian, kesihatan, memberi pemandangan yang indah dan macam-macam lagi."

Jadi memuji Tuhan itu, adakalanya pada Zat Nya, adakala pada sifat-sifatNya, adakala pada nikmat dan rahmat Nya.


PEMBAHAGIAN PUJIAN ITU PULA ADA 5 PERKARA:


1 -
  • Puji Tuhan pada diri Nya.
Tuhan memuji diriNya. Ini banyak terdapat dalam Al Quran dan Hadis. Contohnya: "Aku Tuhan, sembahlah Aku. Tidak ada Tuhan selain Aku. Aku adalah qahhar. Aku jabbar. Aku pengasih dan penyayang." Tuhan memuji diri Nya. Ada Hadis mengatakan, "Aku kasih pada hamba Ku, lebih dari seorang ibu mengasihi anaknya."

Apakah hujah untuk membenarkan Tuhan memuji diri Nya? Sebab Tuhan memang layak. Lagipun mana ada yang lebih atas dari Tuhan. Kalau dia hendak puji diri Nya, siapa yang hendak menghukum Tuhan. Kalau kita hendak puji diri kita sendiri,tentu ada yang lebih atas, yang akan menegur kita, sebab ada lagi orang yang lebih layak dari kita.

Kalau Tuhan memuji diri Nya. Dia pun memang tiada tandingan.Ada amalan-amalan khusus, kerana kita sememangnya tidak mampu untuk memuji Tuhan dengan sebanyak-banyaknya, maka kita berkata:

"Aku memuji Engkau wahai Tuhan sebanyak mana Engkau memuji diri Engkau sendiri. dan anggaplah ini juga pujianku untuk Mu, wahai Tuhan".

Ini adalah termasuk didalam rahmat Tuhan. Kerana ini adalah cara mudah yang ringkas, kerana kita tidak mampu hendak memuji Tuhan dengan sebanyak-banyaknya.


2 -

  • .Pujian Tuhan pada hamba Nya:
Contohnya:
  • "Aku suka pada orang yang bertaubat."
  • "Aku suka pada orang yang bertaqwa"
  • "Aku suka pada orang yang pemurah"
  • "Aku suka pada orang yang telah berdosa dan kemudian bertaubat diatas dosa-dosanya"
  • "Aku lebih suka pada orang yang merintih atas dosa-dosanya daripada tasbih para aulia"
3 -
  • Pujian seorang hamba pada Tuhannya. Itu mudah untuk kita faham. Selemah-lemah kita, kita mesti pernah ada memuji-muji Tuhan.

4 -
  • Puji hamba kepada hamba.
Contohnya:
  • Si A mengatakan Si B ini pandai dan sabar. (tetapi seeloknya puji lah dibelakangnya, kerana takut-takut orang itu tak mampu hendak menanggung pujian tersebut. Sebab memuji di depan orang itu ibarat meletakan kayu balak di atas bahunya.Tidak mungkin ada orang yang mampu memikul kayu balak atas bahunya?
Pujian dibolehkan kerana hakikatnya kita memuji Tuhan. (Barangsiapa yang tidak bersyukur pada manusia, hakikatnya dia tidak bersyukur kepada Tuhan). Kalau kita memuji manusia, hakikatnya kita memuji Tuhan. Sebab orang yang mendapat nikmat dari Tuhan. Nikmat itu bukan lah yang hakiki.


5 -

  • Pujian seseorang atas dirinya sendiri. ( Ini tidak dibolehkan kecuali diatas dasar hendak menyebut nikmat-nikmat Tuhan yang ada pada dirinya. Perlu berhati-hati.)
Contohnya:
  • Para nabi dan para rasul terpaksa memuji dirinya.Seperti Rasulullah SAW berkata," Saya adalah seorang yang paling takut dengan Tuhan."
Sekiranya Rasulullah tidak menyebut demikian,dikhuatiri umatnya akan terkeliru. Kerana kemungkinan ada orang yang menganggap, ada orang lain lagi yang lebih takut kepada Tuhan selain Rasulullah.Rasulullah ceritakan nikmat Tuhan pada dirinya itu bukan kerana megah tetapi kerana takut dengan sikap umatnya dimasa akan datang.

Rasulullah juga pernah mengatakan,"Saya adalah orang yang paling fasih menyebut (huruf) dhad." Ini adalah kerana menyebut huruf dhad itu susah.

Memuji diri itu tidak digalakkan kecuali atas dasar hendak menyebut nikmat-nikmat Tuhan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah itu.



Wallahua'lam.

Tuesday, July 7, 2009

AL FATIHAH: AYAT ALHAMDULILLAH BHG 1



Setelah kita menghuraikan Bismillah, membahas dan menilai-nilai, barulah kita terasa munasabah yang selepas itu kita kena pulak memuji-muji Tuhan. Yakni selepas bismillah, alhamdulillah...

  • setelah kita terasa begitu banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan,
  • setelah kita sudah terasa kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan,
  • setelah kita terasa kita ini hamba yang patutnya merendahkan diri pada Nya, sebab pada Tuhan ada segala-segalanya, yang mana pada Dia lah keselamatan kita,
  • setelah kita rasa patut yang kita perlu cinta dan takut denganNya.

Maka barulah kita terasa 'sedap' hendak menyebut alhamdulillah itu. Bila menyebut alhamdulillah , kita sudah terbayang begitu banyaknya rahmat dan nikmat Tuhan yang sangat melimpah ruah. Kalau tidak, bila kita menyebut alhamdulillah, kita tidak terasa apa-apa.


Kadang-kadang alhamdulillah menjadi wirid pula. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... hanya sekadar tidak prejudis, berbaik sangka, merasakan ia perkataan yang baik yang patut disebut selalu tetapi kita tidak terasa apa-apa.

Kalau tidak terasa apa-apa, yang berlaku ialah, ia tidak membangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Lain sekali dengan orang yang memuji-muji dan dapat merasakan kehebatan Tuhan. Akal serta perasaannya terus dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan.


Sama ada yang mata boleh lihat, yang tangan boleh sentuh, yang boleh difikirkan dan yang ada dalam perasaan. Bila dia memuji Tuhan,
  • dia sangat terasa,
  • sangat terhibur,
  • sangat bahagia,
  • sangat terbangun perasaannya.
Orang yang begitu bila dia memuji Tuhan, terutama bila alhamdulillah dijadikan zikir, sangat indah, sangat lazat, sangat terhibur dan sangat bahagia rasanya sebab ada satu rasa yang tidak boleh dan tidak mampu hendak digambarkan.


Bersambung.....


Sunday, July 5, 2009

AL FATIHAH:BISMILLAH BHG AKHIR



  • Untuk membuatkan hati manusia sampai dapat dimanfaatkan, itu bukanlah satu kerja yang mudah.
  • Didalam pendidikan yang sekular, orang mengasah akal untuk sampai dapat dimanfaatkan, itu juga bukan mudah.
  • Ternyata, hati itu adalah simpulan, yang kalau kita tidak pandai membuka simpulan itu, menyebabkan hati itu buta. Butanya hati itu, menyebabkan manusia tidak lagi nampak sebesar-besar perkara.

Apakah program untuk membuka semula hati yang tertutup?

Dalam ajaran Islam, Rasulullah SAW sudah ingatkan kepada kita betapa pentingnya, "awaludin ma'rifatullah".

Mula-mula sekali didalam Islam itu, ialah mengenal Allah,sejak dari kecil atau bermula dari tadika-tadika atau taman-taman didikan kanak-kanak (kindergarten).

Itu asas untuk menggerakkan hati dan mencelikkan hati.

  • Kalau hendak mencelikkan hati, mesti diketuk dengan Tuhan.
  • Kalau diketuk dengan harta, maka nafsu lah yang akan tercelik.

Asas mencelikkan hati ialah mengenalkan Tuhan dari peringkat tadika lagi. Kalau dari tadika hati sudah selalu terhubung dengan Tuhan, bila dewasa, ia sudah menjadi mudah kerana sudah ada asasnya.
Bila tidak ada asas, setelah berusia 30 tahun baru tersedar maka bukan satu perkara yang mudah untuk berubah. Tapaknya sudah lama terbiar.Gersang.Baru hendak kenal Tuhan.

Sistem inilah yang tidak berlaku di dalam masyarakat dan kehidupan hari ini.

Orang sekarang mengajar diatas dasar ilmu, mengajar secara sepintas lalu, Tuhan tidak diperkenalkan secara `serious', maka roh tidak terdidik dan tidak ter`canai'.

Anak-anak lebih banyak diajar tentang syariat sedangkan Tuhan belum diperkenalkan.

Kita ada bermacam-macam programmer untuk menjayakan pelbagai projek, tetapi sayang, tidak ada programmer hati yang menyusun hati-hati manusia sehingga hati diprogramkan untuk terhubung dengan tuhan.

Kita mengharapkan ia hidup sendiri sedangkan hatilah yang paling susah untuk dihidupkan.

Macam hendak mendapatkan sagu, kena tebang rumbia, kena dipecahkan ruyung.Ruyung tidak dipecahkan tetapi kita harap untuk dapatkan sagunya.

Bismillah adalah sebahagian dari Al Fatihah,maka hakikatnya, dari Bismillah itu, Allah hendak menghadiahkan kita sebesar-besar hadiah. Kalau kita faham ini, kita tidak akan pernah terputus hati dengan Allah. Kunci keselamatan dunia dan akhirat iaitu Al Fatihah yang di dalamnya ada Bismillah, inilah kemuncak kebesaran yang diperolehi dari Bismillah itu.

Didalam Bismillah itu, ada Allah yang Maha Baik, yang sangat mencintai kita, dan dari sana lah kita akan dapat mengenal diri bahawa kita ini rupanya hamba yang amat memerlukan Tuhan pada setiap detik dan saat. Bila itu berlaku, maka manusia akan mendapat kebahagiaan yang sebenarnya, iaitu rahmat dan berkat.

Istana yang besar iaitu Al Fatihah, yang pintunya adalah Bismillah.

Ibu bapa mengalami ketandusan kasih sayang dari anak-anak, walhal ibubapa sangat melimpahkan kasih sayang mereka kepada anak-anak, kenapa ini berlaku?

Kerana kebanyakan ibubapa hari ini tidak menunaikan salah satu daripada tanggungjawab mereka iaitu memahamkan anak-anak bahawa Tuhan adalah sebesar-besar kasih sayang.
Ibu bapa memberikan anak-anaknya nasi setiap hari, mengapa anak-anak tidak diberikan iman pada setiap hari?

"Orang yang mendidik anak-anaknya dengan Tuhan, roh anak-anak akan hidup tetapi orang yang mendidik anak-anak dengan wang dan dunia, roh anak-anak akan mati."

Satu pengkhianatan besar oleh seorang ibu atau bapa, bilamana mendidik anak-anaknya dengan wang dan dunia. Sedangkan mendidik mengenal Tuhan itu adalah ketepatan untuk menghidupkan roh dan kemanusiaan anak itu.

Secara tak sedar kita sebagai ibu bapalah yang membunuh kemanusiaan anak kita sendiri.

Wallahua'lam.

AL FATIHAH: BISMILLAH BHG 3


Dengan nama Allah yang Maha Sempurna marilah kita menyambung cerita tentang Al Fatihah, yang bermula dengan ayat Bismillahirrahmanirrahim ini.Semoga dengan mengetahui hikmah dan pengajaran yang terkandung didalam UmmulKitab ini dapat kita manafaatkan apa yang kita baca itu didalam kehidupan kita.

Tuhan menyuruh kita,

Setiap kebajikan itu,mulakanlah dengan Bismillah. Ertinya didalam satu hari, berapa ratus kali kita membaca Bismillah. Ketika hendak makan, minum, berpakaian, hendak berjalan, kita mulakan dengan Bismillah.


Apakah maksudnya?

Ini adalah supaya kita dapat mempunyai rasa kehambaan. Rupa-rupanya kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan. Rasa kehambaan itu sifat tawadhuk yang wajib. Tuhan sangat suka seorang hamba itu dapat merasakan rasa hamba. Bagi yang prihatin, dia menjadi tawadhuk, merasa perlunya dia dengan Tuhan, dia merasakan kalau tidak kerana Tuhan, dia tidak boleh hidup. Disini akan lahirlah pula rasa berTuhan. Akhirnya hati kita akan sentiasa berhubung dengan Tuhan.

Hari ini kita membaca Bismillah, tetapi tidak mencapai matlamat Bismillah itu kerana kita membaca Bismillah sekadar untuk mendapat pahala dari bacaan Bismillah itu sahaja..

Sekiranya kita tidak baca Bismillah didalam berpakaian, makan, minum dan lain-lain perbuatan atau amalan ertinya apa yang kita buat tidak mendapat keberkatan. Kalau tidak berkat,ertnya Tuhan tidak bersama-sama kita. Bila Tuhan tidak bersama-sama kita, itulah yang menjadi punca pada masalah manusia.
  • Bila makan minum, penyakit pun banyak.
  • Bila kita berpakaian, hati jadi lalai, rasa diri cantik dan hebat.
  • Lalai itu adalah satu bala dari Tuhan.
  • Buatlah apa sahaja kalau tidak membaca Bismillah, walaupun kita berjaya, Tuhan memberi kejayaan itu dengan cara istidraj.
  • Maju di satu sudut tetapi negatif di sudut yang lain.
  • Berniaga maju tetapi orang benci,
  • Anak isteri dan keluarga tidak harmoni.
Oleh kerana Tuhan marah, diberinya secara istidraj, untung disatu sudut, di sudut yang lain Tuhan
  • tarik kasih sayang,
  • bila makan banyak datang penyakit dan lain-lain lagi.
Apabila kita membaca ayat-ayat yang lain,dan kita mulakan dengan membaca Bismillah, selain daripada kita hendak mendapatkan keberkatan, kedudukannya adalah sunat sahaja.

Tetapi bagi Al Fatihah diwajibkan membaca bismillah kerana ia adalah salah satu ayat daripada
surah itu.

Ketika solat sekiranya kita tidak membaca Bismillah, maka batal lah Fatihah itu dan maka batal lah solat kita.


Bila kita membaca Bismillah ini kasih sayang Tuhan.

Al Quran yang isinya ada terkandung di dalam Al Fatihah itu, kalau kita ada ilmunya, boleh memahami, menghayati dan dapat pula meng`apply'kannya dalam kehidupan kita, itulah rahmat dan nikmat Tuhan yang paling besar, yang mana kita akan selamat di dunia dan akhirat. Begitulah kasih sayangnya Tuhan pada kita.

Patutlah Tuhan mewajibkan kita membaca Bismillah di awal Al Fatihah tidak seperti disurah-surah yang lain.

Inilah yang sebenarnya kemuncak hikmah Rahman dan Rahim Tuhan.

Kita membincangkan ini supaya kita nampak, sebab nikmat yang lahir itu mudah untuk kita faham dan cepat terasa. Nikmat yang bersifat rohaniah perlu dikaji dan dibahaskan baru terasa. Begitu juga rahmat dan nikmat Tuhan yang bersifat akliah lebih mudah kita rasa daripada yang bersifat ruhiyyah atau maknawiyah.

Nikmat-nikmat Tuhan itu ada 3 iaitu

  • bersifat lahiriah
  • bersifat akal
  • dan bersifat roh.

Mata cepat nampak nikmat-nikmat yang berbentuk lahiriah tetapi itu pun payah untuk terasa kebesaran Allah.

Yang bersifat akliah, mungkin lambat sedikit untuk terasa manakala yang bersifat ruhiyyah itu lagilah lambat. Perlu dikaji, dicungkil dan diulaskan baru terasa.


Bersambung......