Monday, June 22, 2009

PENGERTIAN ZUHUD

Didalam ajaran Islam,kalau kita mengambil dunia sekadar untuk keperluan dan untuk kemudahan atau paling tidak untuk keselesaan,kemudian selepas itu kita tidak mahu lagi mengusahakan dunia, kerana kurang yakin yang kita boleh beramanah dalam menggunakan dunia itu untuk Allah dan untuk masyarakat, maka tidak salah kalau kita tidak mengambil dunia tersebut.

Demikianlah sebaliknya, sekiranya kita yakin yang kita dapat berlaku amanah pada diri kita atau dapat mengendalikan dunia untuk Allah dan masyarakat dengan sebaik-baiknya,yakni kita yakin kita boleh berbuat kebajikan dan kebaikan yang banyak serta boleh bersyukur dengan dunia tadi, maka tidak mengapa sekiranya kita berusaha mencari kekayaan selagi halal.Padanya ada keharusan untuk berbuat demikian.Ini tidak menafikan zuhud.

Sebagai contoh:

  • Katalah dunia itu ialah jawatan yang tinggi.Kemudian kita tidak yakin dengan jawatan itu kita boleh berlaku amanah terhadap Allah dan masyarakat, maka tidak salah kalau kita menolak jawatan tersebut. Sebaliknya,kalau kita yakin dengan jawatan itu,kita dapat beramanah dengan Allah dan masyarakat,maka tidak salah pula sekiranya kita mengambil jawatan itu.

Kalau dengan harta,kita diharuskan untuk mencari sebanyak mana sekalipun.Oleh itu kenalah kita hadapi dunia ini dengan iman dan taqwa agar kita dapat menguruskan dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Perlu ingatkan juga,jika berlaku dalam satu masa atau satu zaman,secara umumnya masyarakat Islam tidak dapat melaksanakan tuntutan-tuntutan fardhu kifayah sebagai contoh:

  • dalam menyediakan keperluan makan minum yang halal,
  • dalam membangunkan tempat-tempat pendidikan,
  • untuk membeli alat-alat senjata bagi melawan musuh-musuh,
  • menyediakan biasiswa pada anggota-anggota masyarakat yang cerdik supaya berilmu di berbagai-bagai bidang yang menjadikan masyarakatnya tidak bergantung lagi kepada orang lain,

maka diwaktu ini,bagi orang yang mampu,menjadi satu kewajipan (wajib aradhi) bagi nya untuk mengusahakan sesuatu hingga terlaksananya fardhu kifayah tadi.Sekiranya fardhu kifayah tadi tidak dapat dilaksanakan,maka menjadi satu kesalahan pula pada mereka yang mampu tadi, sekiranya mereka tidak berusaha sehingga terlaksananya tuntutan fardhu kifayah tersebut.

Juga diingatkan, apabila berzuhud,jangan sampai kita atau agama Islam menjadi terhina.Ini dilarang kecuali kita memang tidak mampu walaupun sudah berusaha untuk mengadakan keperluan-keperluan yang asas.Di waktu itu kenalah kita bersabar dan redho dengan ketentuan tuhan.Jadi, kita kena faham sungguh-sungguh akan pengertian zuhud ini. Kalau tidak, jadilah kita orang yang mewah tidak bertempat atau miskin sampai terhina atau bermewah-mewah di sebarang tempat.

  • Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita bermewah-mewah lauk-pauknya.Tetapi kalau kita makan seorang, eloklah berzuhud.

  • Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai tidak mencukupi keperluan-keperluan asas.Jadi dibenarkan miskin asal cukup keperluan asas.

  • Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni di waktu orang semuanya miskin,tidak dibenarkan kita bermewah-mewah.Agar kekayaan itu dapat disalurkan kepada orang miskin.

Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini,tetapi perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu atau jemaah atau kumpulan atau peranan atau mengikut tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang dan lain-lain lagi.

Contoh-contoh tidak menafikan zuhud mengikut ukuran semasa:

  • Di zaman ini untuk menjimatkan masa,tenaga dan lain-lain.Perlulah menggunakan kapal terbang untuk perjalanan yang jauh, bukan pakai kereta lembu atau kuda atau kereta.

  • Di zaman moden ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh,kenalah kita gunakan senjata-senjata canggih bukan lagi menggunakan keris.

Contoh-contoh tidak menafikan zuhud mengikut ukuran peranan atau tugas:

  • Tidak salah bagi orang yang berjuang dan berdakwah yang sentiasa sibuk,demi menjimatkan masa, tenaga serta selalu didatangi tetamu, maka rumahnya dilengkapkan dengan peti ais,dapur gas,mesin basuh dan lain-lain kemudahan.Tidak salah pula menyediakan permaidani di rumah,di pejabat dan di masjid selagi halal dengan tujuan menghormati tetamu atau kepentingan umum.Bahkan di negeri-negeri sejuk, menyediakan permaidani di rumah dan di masjid sudah menjadi wajib aradhi ( wajib tambahan ) pula.

Bahkan melengkapkan alat-alat kemudahan ini sudah jadi perlu bagi orang yang berjuang dan berdakwah yang masanya terbatas.Kalau terlalu lama masa dihabiskan untuk membasuh misalnya,ini dikira termasuk pembaziran masa,tenaga dan lain-lain lagi.Sedangkan waktu itu sepatutnya boleh digunakan untuk pengurusan hal-hal yang lebih perlu.

  • Ukuran bagi pemimpin yang tidak menafikan zuhud. Bagi seorang pemimpin, penting padanya keperluan alat-alat kemudahan yang canggih seperti kereta, telefon, faks, komputer, perbelanjaan perjalanan dan lain-lain lagi. Kalau tidak ada kemudahan alat-alat tadi, sudah tentu tergendala perjuangannya.

Juga diingatkan, kalau duit kita terbatas, tidak perlu kita habiskan untuk membeli barang-barang untuk kemudahan.Dikhuatiri nanti tidak ada langsung bahagian untuk kita berbelanja pada perkara-perkara yang asas atau terabai kewajipan fardhu kifayah.Ini akan jadi satu kesalahan,kerana perkara yang asas,wajib ditunaikan dan membangunkan masyarakat itu adalah lebih perlu supaya terlaksananya fardhu kifayah.Itu lebih patut kita utamakan.

Biarlah kita susah sedikit asalkan kewajipan dapat ditunaikan.

Wallahua’lam.