Sunday, March 14, 2010

MASAALAH EGO

MASAALAH EGO

Selalunya orang yang pandai lagi cerdik pintar pula, bercakap payah merendah diri

Kalau bercakap dengan orang payah mahu mengalah

Pantang tercabar lebih-lebih lagi kalau dicabar egonya datang terserlah

Payah mahu menerima kebenaran dari orang

Bercakap berpanjang-panjangan bertegang urat tidak sudah,

berbahas tidak selesai, tidak ada keputusan

Orang yang begini susah hendak kekal kawan

Kawan selalu sahaja pecah hati, tersinggung perasaan


Orang ini kasihan, kerana hendak pertahankan ego hilang kawan

Ingin berkawan, suka berkawan tapi kawan tidak tahan

Akhirnya ramai kenalan, tapi keseorangan, kawan tidak berkekalan

Begitulah orang yang suka bangga diri

Ego sayang hendak dibuang padahal ia merugikan diri


Bijak, pandai tapi kehilangan kawan

Ramai kenalan tapi sekadar kenalan, kasih sayang hilang

Sungguh sayang, diri terasa pandai tapi tidak ada orang hendak ikut

Kerana sikapnya kasih sayang renggang, kepercayaan orang hilang

Begitulah nasib orang yang sombong

Pandai, bijak tapi orang tidak hendak


Perangilah ego, ia sangat merugikan

Sayang sekali kalau kita pandai namun orang tidak akan ikut juga

Sifat ego itulah orang renggang dari kita

Rendahkanlah diri kita tidak rugi

CARILAH PENILAIAN TUHAN


CARILAH PENILAIAN TUHAN

Untuk menjadi orang yang berilmu dan pandai mudah,

Bertanggungjawab dengan ilmu tidak semudah

Hanya orang yang takutkan Tuhan sahaja yang boleh.


Menjadi orang yang kaya pun tidak susah, berkorban dengan kekayaan tidak mudah

Biasanya apabila kaya jadi megah, sombong pun datang, bakhil pun menyerang


Untuk mencari kemegahan secara dunia mudah,

menjadi orang Tuhan tidak semudah

Sebagai orang Tuhan, dia beribadah, berakhlak, berkorban, berkasih sayang,

pemurah, merendah diri, pemaaf, berkhidmat


Mencari nama dan glamor secara dunia ramai yang boleh, kerana ramai penyokongnya

Tapi ada orang dia patut diberi nama, sebaliknya dihina,

kerana dia beragama, banyak pihak tidak suka


Oleh itu di dunia ini tidak boleh menjadi ukuran menilainya

Ada orang baik dianggap jahat kerana dia orang Tuhan,

ada orang jahat dianggap baik kerana dia disukai orang ramai.


Penilaian di Akhirat, tepat yang sebenarnya

Yang akan patut dibela akan dibela, yang akan patut dihina akan dihina

Semuanya berlaku dengan adil dan saksama

Carilah penilaian Tuhan, janganlah mencari penilaian insan

Apalah ertinya dapat sanjungan manusia di dunia hanya sementara

Carilah sanjungan Tuhan, ia kekal abadi di Akhirat sana


Kalau kita dianggap jahat oleh manusia tidak mengapa, jangan Tuhan yang menganggap begitu.

Janganlah terpesona dengan anggapan baik dari manusia, ia menipu daya

Di Akhirat kelak kecewa, tempatnya Neraka

Carilah kebaikan mengikut tanggapan Tuhan, sekalipun semua makhluk menghina

Penghinaan itu hanya sementara, tanggapan baik dari Tuhan itu sepanjang masa

Carilah redha Tuhan, jangan cari redha manusia


MANUSIA SAMA


MANUSIA SAMA

Pernah kah kepada orang-orang besar lagi berkuasa, sesuatu bala itu akan takut dengannya?

Yang kena timpa hanya pada orang-orang kecil sahaja?

Apakah kepada orang-orang kaya, bala bencana akan lari daripadanya?

Kerana bala malu dengannya.

Apakah mereka tidak pernah dan tidak akan ditimpa bala?

Yang kena hanya pada orang-orang miskin sahaja?

Apakah raja-raja tidak ditimpa bala?!

Kerana bala malu dan hormat kepadanya?!

Yang kena hanya pada rakyat jelata sahaja


Semua manusia akan ditimpa bala,tidak ada yang berkecuali.

Itulah dia keadilan Tuhan terhadap manusia

Agar manusia sedar bahawa ada yang Maha Berkuasa yang menentukan nasib manusia

Cuma bala bencana yang menimpa manusia itu tidak sama antara satu sama lain

Juga agar manusia itu sedar bahawa besar dan kaya macam mana sekalipun, hakikatnya tidak ada kuasa

Ini menyedarkan manusia walau tinggi kedudukannya agar tawaduk dan merendah diri

Manusia,siapa pun dia, tetap hamba

Hamba itu kehidupannya tertakluk kepada Tuhan yang Maha Kuasa

Supaya tidak sombong dengan status kedudukannya