BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,
AL FATIHAH...
Hari ini kita melangkah lagi kaki, memijak di bumi Tuhan.Kalaulah Tuhan jerluskan kita, bukankah ianya sangat dahsyat. Hari ini kita masih boleh berpijak lagi dengan baik di bumi Tuhan. Masih boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah,
“Rupanya mata aku tidak buta. Masih boleh lagi aku melihat".
Ini adalah Rahman dan Rahim nya Tuhan.”
Dengan Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan ini, kita seperti di lambak-lambakkan dengan nikmat Tuhan. Kalau dihayati lah lambakan-lambakan nikmat-nikmat Tuhan ini,seseorang itu boleh `mabuk ' (sakr) dengan Tuhan. Itulah istilah-istilah yang biasa digunapakai didalam kitab-kitab dan buku-buku agama.Kita akan seperti orang gila kerana tidak tahan dengan rahmat dan nikmat yang bukan sahaja mata dapat melihat bahkan hati juga boleh melihat. Kalau Rasulullah SAW itu bukan pemimpin, mungkin Rasulullah pun sudah `mabuk' dan fana. Kalau sudah `mabuk ', sudah tidak boleh memimpin lagi.
Itu lah hikmahnya,pemimpin-pemimpin itu di kawal oleh Tuhan perasaannya, supaya mereka tidak sampai ke peringkat `mabuk'. Setakat hatinya sahaja yang mabuk.
Sebab itu kalau kita lihat ahli-ahli sufi yang bukan pemimpin, mereka ramai yang aneh-aneh.Ramai yang pelik-pelik wataknya. Kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka sebab takut perhubungannya dengan Tuhan terganggu kerana kita.
- Sebab itu Sayidina Ali RA dan Sayidina Umar RA , ketika bertemu Uwais Al Qarni, Uwais Al Qarni tidak mahu bercakap panjang dengan mereka. Tentulah Sayidina Umar dan Sayidina Ali lebih tinggi pangkat dan darjatnya dari Uwais Al Qarni yang hanya afdhol tabiin iaitu tabiin yang paling utama.
- Akan tetapi orang yang telah menghubungkan hati nya dengan Tuhan ini, dia tidak lagi `seronok' untuk berhubung dengan manusia sekiranya dia bukan seorang pemimpin. Uwais hanya menjaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama yang berwatak nabi,yang hanya jaga dirinya sahaja dan beliau bukan dari kalangan orang -orang di beri tugas untuk memimpin atau mentadbir.
- Sebab itu dia `mabuk' dengan Allah. Biasanya orang kalau berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, orang hendak berlama-lama kerana mereka rasa itulah ibadah mereka. Iaitu apabila melihat wajah atau muka para-para wali atau orang-orang yang soleh ini,boleh membuat hati pun terasa terhubung dengan Tuhan.Tetapi orang macam Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan, dia menjadi seperti `mabuk bersendirian'.
Jadi itu lah hikmah yang pertama mengapa Allah menonjolkan diriNya dengan dua sifat ini. Kalau orang yang prihatin dalam kehidupannya, mata, akal dan rohnya juga turut prihatin. Memang sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan itu sangat menonjol.
Sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang yang berada di sebuah padang pasir dan tiba-tiba didatangkan salji yang tidak berhenti-henti.
Jadi munasabahlah kalau dua sifat ini tertonjol. Tetapi pelik, walau begitu sekali pun tertonjolnya Ar Rahman dan Ar Rahim itu didalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan pun selalu mengingatkan kita dengan disebut Ar Rahman dan Ar Rahim itu melalui Bismillahi rahmanir rahim.
Namun kita buat tidak faham dan kita tidak mampu untuk merasai kebesaran Ar Rahman dab Ar Rahim itu.
Sedangkan daripada bangun tidur, di bilik air, didepan rumah walaupun belum jauh lagi kita melangkah, telah begitu banyak nikmat-nikmat Tuhan yang boleh kita lihat dan kecapi. Jadi munasabahlah Tuhan suruh kita menyebut namaNya ini pada setiap perbuatan yang baik.
Tetapi sifat yang tertonjol ini jarang diperhatikan oleh manusia. Menunjukkan hati sudah terlalu lalai. Kalau kita bukan orang Islam,tidak lah menjadi satu yang menghairankan. Tapi kita yang masih bersolat, berpuasa dan sudah berkali-kali naik haji ini pun susah dan sering tidak mampu untuk merasai kehebatan ArRahman dan ArRahim.
Seolah-olahnya Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan itu sekadar kebetulan-kebetulan sahaja.
Ini samalah dengan satu cerita yang dapat kita kongsi bersama:
- Kita ada kawan, orangnya kaya dan pemurah. Dia pun mengajak kita bersiar-siar sekali sekala. Dia memberi kita pakaian, memberi kita hadiah untuk dibawa balik kepada anak-anak. Dua bulan kemudian , kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita berjalan-jalan,ronda-ronda dengan keretanya.Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itupun kita sudah mula bercakap, “ Baiknya orang itu, pemurah dan berkasih sayang.”
Tapi aneh anak kita atau kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan ibu dan ayah, diberi buku sekolah, diberi pakaian, sekali sekala dibawa keluar, jarang kita hendak merasakan yang ibu dan ayah sangat-sangat sayangkan kita.
Malah ada yang berfikir dan bersangka buruk ,” Sayang ke ibu aku ni dekat aku? Jangan-jangan dia benci.Jangan-jangan dia tak suka dekat aku.”
Kita mudah terikat hati dengan orang luar yang padahal dia sekali sekala sahaja berbuat baik pada kita. Itupun kita sudah sayang dengan orang itu. Padahal ibu dan ayah yang hari-hari berbuat baik pada kita, menanggung makan dan minum, susah kita hendak merasakan yang ibu dan ayah sayang pada kita.
Ini samalah dengan apa yang kita buat pada Tuhan.
Tuhan yang sangat-sangat pemurah, sehingga pada setiap detik dan setiap saat mencurahkan rahmat dan nikmat Nya pun jarang kita hendak menyebut-nyebut dan jarang kita hendak bercerita tentang kasih sayang Tuhan.Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi jarang kita terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan.
Kalau mengikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan logik atau tidak logiknya, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita, bukan dengan orang yang belanja sebulan sekali.
Tetapi yang tidak logik ini lah yang sedang berlaku. Begitulah apa yang sedang berlaku dan apa yang kita sedang buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak mampu untuk melihat nikmat-nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan.
Waktu sihat ini manusia sering lupa. Termasuklah kita yang berjuang, bersolat, puasa dan naik haji, sukar untuk kita mengenang-ngenang rahmat dan nikmat Tuhan.
Ini menunjukkan, hendak meng`hidup'kan hati itu sangat susah padahal kita sudah pun dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari.
Jadi Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah itu, kerana Tuhan hendak isytiharkan 2 sifat yang sangat-sangat menonjol ini. Sifat-sifat yang lain berlaku juga sekali sekala untuk kesedaran dan untuk menginsafkan manusia.
HIKMAH KEDUA:
Supaya berkat setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang bersifat maddi atau maknawi atau yang rohani, jangan lupa membaca Bismillah. Supaya lahir cinta kepada Tuhan.
Apa rahsianya?
Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap. Ia tidak berubah sama ada kita cinta atau membenci Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita apabila kita membaca Bismillah, kita tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin betapa banyaknya nikmat-nikmat Tuhan. Supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan.
Faedahnya bukan untuk Tuhan.
Kalau orang cintakan Tuhan automatik dia akan berkasihsayang sesama manusia.Bila kasihsayang sudah terjalin sesama manusia, tiada lagi pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada lagi peperangan.
Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Didalam ArRahman dan ArRahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, didalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam ArRahman ada Rahman. Dalam Ar Rahim ada Rahim.
Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan.
Didalam menghayati perkara-perkara yang berbentuk lahiriah ini pun susah kita hendak sedar, yang mata boleh nampak dan lihat pun kita tidak perasan, betapalah yang tersirat. Kerana manusia ini, walaupun kita sembahyang tetapi hatinya sudah buta. Kalau Tuhan tidak ingatkan dengan Bismillah, teruslah buta hati kita.
- Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik memberi kita rahmat, jarang kita puji atau `mempromosikan' Nya.
- Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak terfikir macam mana hendak membalas nikmat Tuhan.
- Khusyuk atau tidak kusyuk kita didalam solat ,jauh sekali hendak kita fikirkan, sebagai tanda syukurnya kita pada Tuhan.
Jadi patut lah Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah.Kerana besar peranannya, yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu maha berkasih sayang. Agar dengan itu manusia cinta Tuhan.Hasil cinta Tuhan, maka akan berkasihsayanglah pula sesama manusia.Maka akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan didunia.
Selama ini kita belajar Bismillah, ” Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah, ya.Ikut sunnah ya, dapat pahala.” Setakat itu sahaja.
Tidak perasannya kita:
- betapa besarnya Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan itu.
- tidak terasa besarnya Tuhan,
- tidak terasa begitu besar peranan Ar Rahman dan Ar Rahim itu.
- Tidak nampak hikmahnya tersangat-sangat besar.
- Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan.
- Tidak nampak yang sepatutnya kita cinta Tuhan supaya dapat pula selepas itu kita berkasihsayang sesama manusia.
Bersambung.....