Saturday, July 11, 2009

AL FATIHAH: AYAT RABBIL'ALAMIN BHG 2



Assalamualaikum wr wb.


Segala puji bagi Tuhan yang mentadbir sekelian alam. Di sini ada sifat rubbubiyah. Tidak dikaitkan dengan sifat uluhiyah. Tuhan bukan sahaja menjadikan alam, bahkan mentadbirnya. Dia lah yang menentukan samada hendak menyelamatkan atau menghancurkan.


Perlu diingat, bila Tuhan menjadikan suatu makhluk, kemudian Tuhan akan mentadbirnya pula. Bukan sahaja makhluk yang Tuhan hendak jadikan itu, sudah Tuhan tentukan sejak dari azali lagi, tetapi, bagaimana Tuhan hendak mentadbirnya itu pun, sudah ditentukan sejak dari azali lagi. Ertinya sejak belum terjadi lagi makhluk itu, Tuhan telah tentukan.

Itupun tidak ada permulaan.

Yang ada permulaan itu, adalah bila sesuatu itu sudah wujudtetapi rancangan tuhan itu, tidak ada permulaan.


Apa maksud dari azali?


Ertinya bukan Tuhan merancang. Kalau Tuhan merancang, ada tempoh bermulanya.Apa sahaja yang Tuhan hendak jadikan, hendak tadbirkan, itu adalah sejak azali lagi.

Bila Tuhan hendak menjadikan sesuatu, bila sudah terjadi, kejadian itulah yang ada permulaan. Tetapi rancangan untuk menjadikan sesuatu itu, tidak ada permulaan. Kalau ada permulaan, sudah tentulah sama kerja itu dengan kerja-kerja makhluk.

Maha Suci Tuhan dari ada permulaan

Begitu juga setiap makhluk yang Tuhan jadikan, samada manusia, malaikat, langit, bumi, planet, bukan sahaja Tuhan merancang itu tidak ada permulaan, bahkan dalam menentukan besar atau kecilnya itu pun tidak ada permulaan.

Bila satu perkara itu Tuhan jadikan, Tuhan lah yang bersifat Rabb tadi, Dia lah 'rabbil'alamin'.


Bila dikatakan alam.Bermakna, yang selain dari Tuhan itu adalah alam. Samada alam akhirat atau alam dunia. Kalau hendak dipecahkan lagi, ada alam jin, alam malaikat, alam manusia, alam jamadat, alam kayu kayan dan lain-lain. 'Alamin itu perkataan jamak, global. Bila sebut 'alamin, semua sudah terangkum didalamnya samada yang berkait dengan dunia dan akhirat.


Apa yang hendak dimaksudkan ialah, bila Tuhan menjadikan makhluk Nya, alam dunia atau alam akhirat, malaikat atau manusia, Tuhanlah yang bersifat Rabb itu.

Dia akan mentadbir berdasarkan ketentuan Nya sejak azali lagi.


Apakah ketentuan Nya?

Iaitu sunnah yang akan berlaku pada makhluk-makhluk itu, atau sistem yang hendak dilakukan,Tuhanlah yang menciptakan.

Setiap makhluk, Tuhan telah tentukan sejak azali lagi dengan tiada permulaan. Bila Tuhan sudah wujudkan sesuatu, Tuhan lah yang akan mentadbir makhluk itu, sebab Tuhan adalah Rabb.

Tuhan akan didik, (kerana Dia adalah Rabb) berdasarkan sistem yang Tuhan tentukan sejak azali lagi, berdasarkan kepada sunnatullah makhluk yang hendak ditadbir itu.

Contohnya

  • manusia ada sistemnya yang tersendiri.Ianya sunnah, yang mana kalau manusia hendak hidup, Tuhan telah tentukan.Iaitu diberiNya nafas, makan, minum, ada darah. Ini sunnatullah, sistem yang Tuhan jadikan pada diri manusia. Itupun Tuhan sudah tentukan sejak azali.

Bila manusia dijadikan atas dasar ketentuan Tuhan itu, Tuhan tidak akan ubah. Padahal bila kita bahas tentang kuasa Tuhan, boleh tak manusia hidup dengan air, bukan dengan darah? Tentu saja boleh, tetapi Tuhan tidak berbuat begitu. Tuhan menyebut dalam Al Quran,

"Sekali-kali Tuhan tidak akan mengubah sunnah Nya."


Jadi kalau manusia itu hidup dengan nafas, makan, minum dan dengan darah maka Tuhan akan mentadbir secara yang begitu. Kalau Tuhan hendak matikan pun, Dia akan rosakkan sistem tersebut tetapi Dia tidak mengubah. Padahal dengan kuasa Tuhan, Tuhan boleh masukkan air digantikan dengan darah.Atau menukar oksigen dengan benda-benda lain.


Atas dasar kuasa, Tuhan boleh buat, tetapi atas dasar Tuhan sudah berjanji, Tuhan tidak akan ubah sistem Nya atau sunnah Nya. Tuhan tidak akan mungkir janji walaupun Dia berkuasa. Walaupun sebesar habuk.

Kalau habuk itu Tuhan janjikan ia akan jatuh ke laut, ia tidak akan jatuh di sungai.

Maha Besar Tuhan.

Kerana Tuhan sudah berjanji maka Tuhan akan tunaikan janji Nya seolah-olah Tuhan mewajibkan diri Nya,"Aku tidak akan mungkir janji" itu terhadap makhluk (yang hanya sebesar habuk itu ).


Fokus di sini ialah, 'rabbil 'alamin' itu,


Tuhan mentadbir bukan sesuka hati. Dia sudah menentukan sistem Nya dan mentadbir berdasarkan sistem itu. Kalau Tuhan rosakkan pun, atas dasar sistem itu juga. Tuhan tidak akan berbuat dengan cara lain. Walaupun Tuhan ada kuasa dan boleh mengubah apa-apa sahaja diatas kuasaNya, tetapi Tuhan sudah berjanji, setiap makhluk ada sistemnya, ada sunnahnya, maka Tuhan mentadbir setakat itu. Tidak akan terkeluar dari sistem itu. Disini nampaklah kekuasaan Tuhan itu.

Itulah yang dimaksudkan 'rabbil'alamin'. Di sinilah tauhid. Allah tidak mentadbir sesuka-suka Nya. Bagaimana Dia akan mentadbir ?

Tuhan telah tentukan yang Dia akan mentadbir diatas sistem sejak azali lagi. Tuhan sudah berjanji dan tidak akan mungkir janji. Walaupun sebesar habuk itu jatuh ke laut, ia tidak akan jatuh ke sungai.


Hebatnya Tuhan.


Dia hendak menjadikan suatu perkara itu sejak azali lagi, tanpa dirancang Dia sudah tahu. Apabila diwujudkan dengan sistemnya sekali, walaupun sebesar habuk, ia tidak perlu diubah lagi. Tanpa silap dan tidak perlu di 'repair'. Kalau hendak diubah ertinya ada yang tidak kena. Sebab itu Tuhan beritahu,"Apa yang Aku buat, Aku tidak akan ubah lagi," kerana begitu kemasnya sistem Tuhan itu.

Tidakkah kita nampak akan kebesaran Tuhan? Kita hendak buat sebuah kereta pun, beberapa kali sistemnya ditukar. Sedangkan sistem Tuhan itu Maha Sempurna.


Itulah antara kebesaran Tuhan. Kita lihat langit itu sangat besar tetapi melihat langit yang besar itu tidak terasa kebesaran Tuhan. Kenapa?

Kita membiarkan mata kita sahaja yang melihat. Tidak dikaji dengan rohani. Kalau kita mendapat apa hikmahnya pada rohani, barulah kita terasa betapa besarnya langit itu, kerana itu adalah kebesaran Tuhan.


Tuhan berkata, "Tidakkah engkau melihat kebesaran Ku pada penciptaan langit dan bumi ini."


Melihat itu bukan dengan mata tetapi mesti dengan roh, iaitu dengan hati.


"Didalam penciptaan langit dan bumi dan perubahan malam dan siang, itulah tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mempunyai hati."


Itulah yang dimaksudkan 'rabbil'alamin', Pentadbir seluruh alam.



Wallahu'lam.




1 comment:

  1. Salam

    Tuan mengatakan sunah Allah tidak berubah seperti utk hidup, manusia mesti makan...bagaimana pula dgn kesah ashabul kahfi yg mengisahkan tentang pemuda2 beriman yg tidur di gua selama 300 tahun? Mereka tidak makan tetapi mereka telah hidup. Disini adakah Allah telah mengubah sunahnya atau sunah itu tidak berubah tetapi perkara makan untuk hidup itu bukan sunah?

    ReplyDelete