Wednesday, June 24, 2009

AL FATIHAH : MUQADDIMAH 2 ( TUJUH AYAT )

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,

Kawan-kawan yang dikasihi,

Alhamdulillah,hari ini dapat lagi kita meneruskan pengembaraan kita bersama surah Al Fatihah. Moga-moga Allah memberi kita ilmu sebagai dijadikan panduan, bagi menyelesaikan berbagai-bagai masalah yang kita sering hadapi didalam kehidupan kita.Moga-moga hati kita telah pun kita jadikan sebuah wadah yang boleh menerima ilmu-ilmu Tuhan.

Benarkah Bismillah sebagai ayat pertama Fatihah itu ikhtilaf ?

Ia bukan ikhtilaf.

Bismillah itu sangat besar maksudnya, tidak boleh dikatakan ikhtilaf. Sekiranya kita mempelajari ilmu tafsir, tujuh ayat dalam Al Fatihah itu dirangkapkan 2-2. Bentuknya seperti bentuk sajak. Hujungnya disamakan,mim dengan nun, akhirnya dipasang-pasangkan.

Tujuh ayat Fatihah itu jangan kita anggap sebagai kebetulan.Agar hidup ini tidak disia-siakan, janganlah dianggap semua ini kebetulan.

  • Tawaf
  • Perjalanan antara Safa dan Marwah juga 7 kali.
  • Kebanyakan hal-hal yang berhubungkait dengan manusia, Tuhan ciptakan dengan bilangan tujuh.

Maha Suci Tuhan mentakdirkan Al Quran yang mempunyai 6,666 ayat itu, diringkaskan kepada 7 ayat yang menjadi satu matan. Yang mana Allah menetapkan bahawa 7 ayat itu sama dengan 6,666 ayat-ayat Al Quran.

Maha Hebat Allah. Mengapa Allah berbuat begitu adalah diluar kemampuan kita untuk memahaminya.


Apa istimewanya angka 7 itu ?

Mari kita fokus kepada 7 ciptaan Tuhan yang lain, yang mana ia bukan merupakan huruf atau ayat tetapi bersifat `maddi ‘ dan`maknawi ‘.

  • 7 anggota badan, 7 langit, 7 syurga, 7 neraka, 7 hari dan 7 nafsu.
  • Hari juga diciptakan 7, tidak 8 atau 9.


Mengapa tujuh?


Allah yang Maha Tahu akan rahsianya. Manusia tidak mampu menjawabnya.


Allah juga memilih untuk membuat anggota badan itu tujuh. Banyak ciptaan-ciptaan yang berkait rapat dengan pengendalian hidup manusia, Tuhan samakan dengan Al Fatihah, ummul Kitab ini.


Mari lihat nafsu yang ada 7 peringkat:


Manusia akan bermula dengan paling jahat kepada paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya.Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk `study ‘ dan mempraktikan hal-hal yang berkaitan dengan nafsu, manusia akan mampu membawa dirinya dari tahap ke tahap.

Dia akan pernah menjadi seorang yang bernafsu amarrah, pernah mencapai tahap nafsu lauwamah, mulhamah, mutmainnah,radhiah dan paling tinggi akan sampai ke mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai ke nafsu kamilah yakni nafsu yang paling atas.( iaitu para nabi dan rasul-rasul )

Manusia biasa boleh menjangkau sampai ketahap mardhiah kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Setakat peringkat kita ini, jika kita mampu mencapai tahap mulhamah pun sudah dikira OK, kalau kita boleh pergi sampai ke tahap mutmainnah, itulah yang terbaik untuk kita.


Bagaimana untuk kita mengendalikan nafsu kita supaya sampai menjadi taraf malaikat

Semua itu mesti dirujuk kepada Al Quran. Ianya tidak boleh dirujuk kepada ilmu-ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan dapat merasai bagaimana dia merangkak dari satu tahap ke satu tahap.

Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia itu, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi sangat-sangat berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya. Tetapi untuk itu mesti dirujuk kepada Al Quran. Ayat Al Quran terlalu banyak namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita tumpukan kepada tujuh ayat sahaja.

Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini, untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya, maka dengan cara itu sahajalah kita boleh mengendalikan nafsu kita.

Yang sebenarnya kalau manusia boleh menguasai 7 ayat ini,manusia boleh sampai ke peringkat nafsu ketujuh,yang mana nafsu itu boleh ditadbir dan dikuasai.

Para nabi-nabi dan rasul-rasul boleh berbuat demikian sehingga mereka sampai keperingkat yang ke tujuh itu. Rasulullah SAW tentu sahaja boleh tetapi kalau setakat kita yang hari ini,makna dan maksud Al Fatihah itu pun belum boleh kita faham, rasanya tidak sempat untuk kita sampai ke peringkat itu. Jika dapat peringkat mulhamah pun sudah cukup untuk kita sebagai manusia biasa.

Allah menciptakan nafsu itu tujuh peringkat dan memadankannya dengan 7 ayat dari surah Al Fatihah itu. Allah menetapkan kekuatan 7 ayat Al Fatihah itu boleh mengendalikan 7 peringkat nafsu walaupun sifatnya tidak sama.

Maha Besar Tuhan yang mencipta 7 ayat yang dengan kekuatannya, mampu berhadapan dengan 7 peringkat nafsu.

Para saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah wujudkan nafsu itu sehingga 7 peringkat.

Kita lihatlah keajaiban Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam 7 ayat sahaja, yang mana ia boleh digunapakai untuk mengendalikan 7 peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan.


Seseorang yang dhaif dalam memahami 7 ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan 7 tahap nafsu itu.


Allah menciptakan 7 ayat untuk menghadapi 7 neraka. Kalau kita jahat, kita menolak terus falsafah ini, maka neraka paling bawahlah, yang paling dahsyat yang akan kita hadapi.Wali’yyazubllah.

Sayangnya didalam sistem pendidikan, kita tidak menetapkan ini untuk dikuasai.Hari ini orang banyak belajar bagaimana untuk menguasai lombong-lombong bijih dan telaga-telaga minyak. Kita tidak fikir untuk menggali dan melombong surah Al Fatihah itu untuk kita dapatkan satu kekuatan sehingga kita mendapat syurga Allah dan untuk menghindarkan kita dari neraka Allah yang sangat dahsyat itu.

  • Seorang yang inginkan syurga Allah maka kuasailah Fatihah itu.


Menyentuh tentang hari yang 7 pula, rupanya Allah menjadikan hari-hari itu tidak sama.

  • Seseorang boleh menguasai harinya dengan baik apabila dia menguasai kekuatan Suratul Fatihah.


Wallahua'lam.



1 comment: