Alhamdulillah hari sekali lagi kita diberi peluang dan ruang oleh Tuhan Yang Maha Luas IlmuNya untuk kita menikmati lagi khazanah ilmu-ilmu Yang Maha Hebat yang mana ilmu-ilmu Tuhan itu sangatlah luas sehingga tiada penghujungnya.
AL-FATIHAH...
Mengapa Al Fatihah ada 7 ayat?
Ini ada hikmahnya yang sangat besar.Ia ada hubungan dengan manusia dan dengan segala ciptaan Tuhan, secara isyarat.
- Tujuh Ayat menggambarkan 7 hari dalam seminggu. Dalam 7 hari itulah manusia hendak menjadi jahat atau baik. Hendak mendapat rahmat atau mendapat laknat. Hendak bahagia atau celaka. Hendak menjadi kafir atau mukmin. Hendak kaya atau susah. Hendak sakit atau sihat. Ertinya dalam masa seminggu, kalau Al Quran yang intipatinya ada dalam Al Fatihah itu berperanan, maka dalam seminggu itu manusia boleh selamat. Kalau Fatihah tidak berperanan dalam masa seminggu itu, maka akan kena laknatlah manusia. Huru hara dan celaka.
- Begitu juga dalam seminggu itu sama ada manusia hendak menjadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu, selain solat itu adalah rukun Islam yang kedua, di dalam solat itulah segala anggota yang 7 itu digunakan.
- Didalam agama lain, bila menyembah Tuhan, mereka tidak melibatkan semua anggota.Tetapi didalam agama Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh.
- Kegunaan kepala ada bermacam-macam jenis peranannya.
- Tangan itu ada berapa banyak peranannya. Boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh membunuh orang, boleh menyelamatkan atau mencelakakan orang.
- Begitu juga dengan kedua lutut dan dua kaki.Inilah anggota-anggota sujud,yang merupakan 7 anggota penting manusia,yang terlibat didalam solat.
- Sebab itu didalam doa iftitah kita menyebut, “ hidup matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini sudah berikrar bahawa kita akan menyerah pada Allah. Apa yang disebut oleh bacaan, melibatkan juga anggota dalam perbuatan. Itu, kalau kita sedar dan menghayati.
Al Fatihah ini ada 7 ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu lah yang akan menentukan nasib manusia nanti,sama ada neraka yang 7 atau syurga yang 7. Semuanya ditentukan oleh intipati Al Fatihah. Kalau Al Fatihah berperanan didalam hidup manusia, manusia akan mendapat salah satu dari 7 peringkat syurga. Kalau Al Fatihah tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, manusia akan masuk kedalam salah satu dari 7 peringkat neraka.
- Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada 7 lapis langit dan 7 lapis bumi. Di langit ada bermacam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungannya dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan 7 lapis bumi yang ada hubungannya dengan kehidupan manusia.
Ramai ahli-ahli Sains yang telah membuat kajian, sudah mengesahkannya tetapi setakat yang lahir-lahir sahaja. Sebenarnya ia bukan berhubungan dengan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja.
Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat. Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia kepada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia.
Tetapi perkara-perkara ini tidak dapat dikesan oleh ahli-ahli sains.Yang ghaib tidak dapat dikesan. Mereka hanya mampu mengesan yang lahir sahaja seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia.
Tentang malaikat, mereka tidak tahu. Padahal malaikat juga turut ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kedurhakaan manusia. Yang ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi Saintis tidak boleh.
Jadi 7 langit dan 7 bumi ada hubungannya dengan manusia sama ada bersifat dunia atau akhirat.
Jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli Sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani.
Apa maksud jin-jin juga terlibat?
- Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia.
- Sebab itu, bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalau di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, ertinya jin itu dari Indonesia. Jin di Arab berbahasa Arab.
- Jadi jin menumpang bahasa manusia supaya nampaklah manusia itu lebih mulia dari jin.
- Jin belajar menumpang dengan manusia. Sekarang pun mereka menumpang belajar dengan kita.
- Begitu juga soal makan. Kalau jin kafir, mereka makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang kafir.
- Begitu juga jin Islam, mereka menumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam.
- Sebab itu hati-hati bila membuang tulang. Biarlah pada tempatnya.
- Kalau bersepah-sepah , jin makan, jin terlanggar anak-anak kita, jadi masalah pulak.
Jadi Al Fatihah yang ada 7 ayat ini sangat berhubungan dengan kehidupan.
- Yang terpenting dari itu, 7 ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh mendidik nafsu kita yang 7.
- Semakin kita hayati, semakin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita.
Isi Al Quran itu terkandung di dalam Al Fatihah. Kalau dihayati, nafsu boleh menjadi baik sebab nafsu itu yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatihah atau isi Al Quran dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat Mulhamah. Itu pun sudah agak OK. Itu ertinya nafsu orang soleh. Kalau mutmainah, itu nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap. Kalau mulhamah masih lagi goyang. Tidak mantap lagi. Nafsu ada 7 dan ayat ini ada 7 itu bukanlah ianya kebetulan.
Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Al Fatihah padahal baru bercakap mengenai kulitnya sahaja. Baru muqaddimah sahaja. Baru di pintu Al Fatihah. Belum lagi masuk ke dalam, tetapi sudah nampak kebesaran dan kehebatan isi kandungan Al Fatihah tersebut.
Sebab itu lebih suka dinyatakan Al Fatihah itu surah untuk mendapat kemenangan daripada dikatakan surah pembukaan Al Quran. Kalau ada ulama mahsyurkan, dikatanya Al Fatihah itu surah pembukaan kerana diletak di depan Al Quran, itu tidak pula menjadi satu kesalahan.Tetapi elok dimahsyurkan peranan yang kedua, yakni surah kemenangan kerana pengertiannya lebih luas. Kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti syurga, neraka, nafsu dan lain-lain.
Bila disebut Surah Fatihah, bagi orang yang ada ilmu, tergambarlah rangka Fatihah secara umum. Kalau dikatakan Al Fatihah hanya pembukaan Al Quran, bukan lah menjadi satu kesalahan tetapi peranan surah Fatihah itu menjadi kecil dan sedikit sangat hikmahnya.
Tetapi bila disebut Al Fatihah itu surah kemenangan, ini adalah intipati atau ibu. Baru muqaddimah sahaja tetapi sudah pun nampak kebesaran surah Fatihah itu.
Maha BesarNya Tuhan.
Cuba lihat, Allah gunakan `ism fiil ', yang telah mendapat kemenangan.
Oleh itu lebih baik makna yang sebegini kita mahsyurkan kerana Surah Fatihah itu yang menentukan seseorang itu akan menang atau tidak.
No comments:
Post a Comment