Tuesday, June 23, 2009

AL-FATIHAH :MUQADIMAH 1


Kawan - kawan yang dikasihi


Alhamdulillah dimalam 1 rejab ini, semoga dengan izin dari Allah yang Maha Kaya lagi Maha Bijaksana kita cuba untuk membincangkan kebesaran tentang salah satu surah daripada surah didalam Al Quran iaitu Surah Al Fatihah.


Surah Al Fatihah itu adalah suratul Makiyyah.Ia turun 2 kali iaitu di Mekah dan Madinah.

Maksud ayat Makiyyah,ialah setiap ayat yang turun semasa atau sebelum Rasulullah berpindah ke Madinah.

Yang disebut surah Madaniyah ini pula ialah setiap surah yang turun selepas berhijrahnya Rasulullah ke Madinah,sekalipun ayat itu tidak turun di Madinah.Mungkin turun di Mekah,mungkin turun di Thaif atau mungkin didalam perjalanan.


Ia dikatakan surah Al-Fatihah atau surah pembukaan.Boleh juga dikatakan surah Al-Fatihah itu ‘yang mendapat kemenangan’ kerana didalam bahasa Arab, kemenangan itu datang dari perkataan ` fath ', seperti Futuh Mekah misalnya.Satu contoh lagi, Sultan Muhammad Al Fateh (Muhammad yang dapat kemenangan).

Mengapa disebut surah yang mendapat kemenangan? Kerana ia adalah ibu kitab. Ibu kitab yang tertulis di luh mahfuz ada di dalam Al Fatihah. Jadi kandungan Al Fatihah itu meliputi seluruh isi Al Quran dan sekiranya surah Al Fatihah dapat difahami dan dihayati intipatinya, itu pun sudah cukup untuk kita memahami intipati Al Quran tersebut.Bila ia menjadi ilmu lalu dihayati dan di' apply' kan, pasti akan mendapat kemenangan.

Maksud yang biasa, yang selalu dibahas ulama ialah “Surah Pembukaan” kerana ia diletak di bahagian hadapan iaitu di pintu Al Quran.Ertinya surah nombor 1.Tetapi aneh kerana ia bukanlah ayat yang mula-mula diturunkan.Ayat Al-Quran yang mula-mula turun ialah dari surah Al Alaq sebanyak 5 ayat. Sepatutnya surah pembukaan itu ialah Surah Al Alaq tetapi ia tidak terjadi begitu. Mengapa?


Di sini lah kita akan mendapat rahsia-rahsianya.


Hikmahnya ialah kerana Al Fatihah itu merangkumi semua aspek sama ada disudut:

  • aqidah
  • syariat
  • akhlaq
  • dan terutamanya syariah
Kalau diperluaskan lagi, syariah itu ialah peraturan atau undang-undang sistem hidup.

Hikmahnya diturunkan Surah Al Alaq terlebih dahulu ialah kerana Tuhan hendak menanamkan aqidah dahulu.Kalau aqidah belum ada, belum kenal Tuhan, tidak tahu kemampuan dan kuasa Tuhan, maka apa perlunya syariah.Oleh itu walaupun Surah Al Alaq diturunkan awal, ia tidak disebut sebagai surah pembukaan atau surah kemenangan kerana ianya hanya menyebut satu juzuk sahaja iaitu berkenaan aqidah sahaja. Al Alaq tidak mewakili seluruh Al Quran. Sebab itu surah Al Fatihah dijadikan surah pertama walaupun ia bukan surah yang pertama diturunkan.

Surah Al Fatihah ada 2 maksud:

1. Surah Pembukaan

2. Surah Kemenangan


Al Fatihah mempunyai tujuh ayat.Termasuk ayat Bismillah. Bismillahi rahmaanir rahim itu adalah ayat dari Al Fatihah tetapi fahaman wahabi tidak memasukkan bismillah dalam Al Fatihah (ayatul min ayatilfatihah).

Orang berfahaman Wahabi atau yang tidak bermazhab,mereka tidak membaca Bismillah bersama Al-Fatihah. Mereka terus sahaja membaca alhamdulillahi rabbil alamin.Sekiranya kita bersembahyang dengan orang-orang berfahaman Wahabi kita akan menjadi was-was kerana bagi kita Al Fatihah itu wajib iaitu salah satu rukun didalam solat.

Sepatutnya kalau imam itu seorang yang bijaksana, berhikmah dan menghormati mazhab yang lain dan juga kalau seorang imam itu berfikir mengenai masyarakat umum maka membaca Bismillah itu lebih baik, jika pada keyakinannya Bismillah itu sunat.Lagi pun bukan Bismillah itu sesuatu yang haram hukumnya.

Kalau dia membacanya pun dia akan mendapat pahala sunat. Kalau pada keyakinan makmum Bismillah itu wajib dibaca seperti mazhab Syafie misalnya,maka batallah sembahyang makmum tersebut.

Bagi mereka (imam fahaman Wahabi ) pula,membaca Bismillah ianya hanya sunat. Kalau imam itu bijak dan cerdik, jika dia membaca Bismillah, selain mereka mendapat pahala sunat dan menghormati mazhab lain selain mazhab mereka, ia juga menyelamatkan orang lain dari terbatalnya sembahyang.


Al Fatihah mempunyai tujuh ayat. Mengapa 7 ? Ini ada hikmahnya (akan di ceritakan kemudian ). Intipati Al Quran yang 30 juz itu ada di dalam Al Fatihah.Katalah ada seorang pakar, yang Tuhan berikan dia ilmu dan dia tidak membaca seluruh Al Quran tetapi dia berkata:

Mari kita huraikan Al Fatihah.”

Mungkin dia akan syarahkan Al-Fatihah itu selama satu tahun kerana ibarat orang hendak menggali lombong untuk mengeluarkan emas daripada Al Quran !!

Selepas setahun dia memberi kuliah,bila kita lihat Al Quran,kita akan dapati apa yang disyarahkan dari huraian Al Fatihah itu akan sama dengan seluruh isi Al Quran.Tetapi tidak pernah ada orang yang hendak berbuat demikian kerana tidak ada yang pakar didalam bidang ini.


bersambung..........


2 comments: