Saturday, June 20, 2009

BAGAIMANA SOLAT BOLEH MEMBINA KEKUATAN

Solat atau sembahyang, Tuhan lah yang menetapkan rukun-rukunnya. Ia bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu adalah sesuatu yang sangat hebat. Kita akan dapat merasakan bahawa Tuhan itu sangat hebat dan kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya.

  • Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi dapat dirasakan kebesaran-Nya
  • Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan bagaimana wujud-Nya tetapi dapat dirasa kewujudan-Nya.
  • Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi dapat dirasakan kekuasaan-Nya.

Terasa oleh kita akan kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayan kita.

Solat itu adalah satu modul yang lengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia.Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya,faham dan solat itu benar-benar dijiwai serta dihayati.


PENDIDIKAN ITU MELALUI IBADAH

Untuk mendapatkan sifat-sifat yang agung ini bukanlah sesuatu yang mudah.Perlu ada pemimpin yang mendidik ke arah itu.Kalau tidak ada pemimpin yang mendidik, ianya mustahil boleh berlaku.Pemimpin itu pula mestilah mempunyai segala ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung pada dirinya terlebih dahulu. Kalau tidak, bagaimana dia hendak mendidik bangsanya supaya mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang agung.

  • Dia mesti mempunyai mandat dari Tuhan.
  • Dia juga mesti mampu mendidik hati-hati manusia sepertimana para nabi dan rasul mendidik.
  • Dia mesti faham perjalanan hati dan roh manusia.
  • Dia mestilah orang yang sangat bertaqwa dan mempunyai wibawa yang tinggi.
  • Manusia mudah memberi hati, mencintai dan taat kepadanya.
Pendidikan bangsa mestilah melalui ibadah. Sebab itu Tuhan memerintahkan kita supaya beribadah kepada-Nya sama ada ibadah pokok mahupun ibadah sampingan atau sunat.Kalau ibadah yang Tuhan perintahkan itu kita laksanakan dengan bersungguh-sungguh maka dari situ akan lahirlah kekuatan sesuatu bangsa.

Ibadah pokok atau ibadah asas ialah solat atau sembahyang lima waktu.Ibadah-ibadah lain adalah sampingan atau sunat.Ibadah pokok atau ibadah asas mesti ada.Ia menjadi syarat.Kalau ibadah pokok atau asas ini tidak cukup untuk memberi kekuatan, ia boleh ditampung dan dicukupkan oleh ibadah-ibadah sampingan yang lain.Kekuatan yang timbul atau yang boleh diperolehi dari setiap ibadah itu pula tertakluk dan berkait rapat dengan tiga perkara iaitu:
  • 1. Ilmu
  • 2. Kefahaman
  • 3. Penghayatan
Setiap ibadah yang dibuat mesti mempunyai ketiga-tiga perkara ini.
  • Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu kita tidak tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu.
  • Kefahaman lebih penting.Faham itulah hikmahnya.Faham itu ialah ilmu dalam ilmu.Sebab itulah ada Hadis yang mengatakan:
“Barangsiapa yang hendak dijadikan baik, maka dia diberi faham tentang agama.” (Riwayat Muawiyah)

Didalam berdoa pun selalu kita meminta kepada Tuhan begini: Maksudnya:

“Ya Tuhanku, berikanlah aku ilmu dan rezekikanlah aku kefahaman.”


  • Kemuncak daripada ilmu dan faham itulah penghayatan.Penghayatan itu ialah apabila ilmu dan kefahaman itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita.
Apabila sesuatu ibadah itu ada ilmunya,difaham dan dihayati maka akan jadilah ibadah itu satu sumber kekuatan.


KENAPA SELAMA INI IBADAH TIDAK MENDIDIK KITA

1-
  • Ibadah tanpa penghayatan tidak memberi kesan.Kita diberi ilmu tentang ibadah,sama ada ibadah asas mahupun ibadah sunat,hanya setakat yang bersangkut paut dengan hukum-hakam iaitu tentang syaratnya,rukunnya,sah dan batalnya sahaja.Oleh itu dalam beribadah,itulah yang kita jaga iaitu syaratnya, rukunnya, sah dan batalnya sahaja.Tidak lebih dari itu.
  • Dalam solat,itulah juga empat perkara yang ditekankan.Begitulah juga dalam ibadah puasa dan haji.
  • Ilmu lain termasuk falsafahnya tidak diajar.Kefahaman dan penghayatan pun tidak diajarkan.
  • Kalau begitu keadaannya bagaimanalah ibadah itu dapat dihayati.
  • Kalau ibadah penting seperti solat yang menjadi tiang agama dan ibu kepada segala ibadah itu pun hanya diajar syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja tanpa diajar atau diberitahu tentang falsafah,kefahaman dan penghayatannya,maka bagaimana kah hasil dari solat atau ibadah seorang hamba itu akan mencapai hasil yang maksima sebagaimana yang dikehendaki.
  • Fenomena ini sudah berlaku selama tujuh ratus tahun semenjak jatuhnya empayar Islam. Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini sangat terbatas.Ilmu ibadah yang diajar tidak langsung menyentuh tentang roh ibadah atau hikmah dalam ibadah.Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak bersolat pun,ianya tidak memberi apa-apa kesan pada diri dan hati mereka.Akhlak tidak banyak berubah.Bahkan orang yang banyak ibadah menjadi lebih beku, tidak aktif, tidak produktif dan sangat pasif.
Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya:

“Barangsiapa yang sembahyangnya tidak dapat mencegahnya daripada maksiat dan kemungkaran maka tidak bertambah dekat dia dengan Allah, melainkan bertambah jauh daripada Allah.” (Riwayat At Tabrani)

Ibadah tanpa penghayatan dan penjiwaan ini tidak memberi apa-apa kekuatan.Ibadah seperti ini tidak dapat melahirkan bangsa yang kuat dan yang mempunyai peribadi yang agung.

Dalam ibadah itu terkandung ubat untuk bagaimana kita boleh melahirkan bangsa yang gagah dan agung, yang dapat menguasai dunia.Tetapi disebabkan ibadah kita itu hanya ibadah lahir, tidak ada jiwa, tidak ada roh dan tidak dihayati, kita bersolat atau tidak bersolat, kita beribadah atau tidak beribadah, sama sahaja kesannya kepada kita.

2-
  • Tidak tahu tujuan solat atau sembahyang itu.
  • Di antara tujuannya ialah untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan. Bukan untuk mengajar manusia tentang Tuhan tetapi untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan.
  • Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang. Cuma, manusia atau insan itu sifatnya adalah pelupa.Walaupun manusia ada ilmu dan faham tentang Tuhan di luar sembahyang tetapi mereka tetap akan lupa. Itulah sifat manusia. Istilah insan adalah dari istilah `ins' dalam bahasa Arab yang maksudnya pelupa.
  • Solat atau sembahyang akan hanya memberi kesan pada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan.
  • Maka dalam sembahyang, dia hanya diingat-ingatkan dan disedarkan lagi.
  • Lima kali sehari semalam, Allah ingat-ingatkan dia tentang Tuhan untuk menampung sifat pelupanya itu supaya dia jangan terus lupa.
  • Itulah rahmat dan kasih sayang Tuhan.
  • Sembahyang hanya boleh menyedarkan orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan.
  • Tetapi bagi kebanyakan umat Islam, di luar sembahyang dan dalam kehidupan seharian, mereka memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan.
  • Kalau di luar sembahyang sudah jahil, tidak ada ilmu dan tidak faham,bagaimana untuk mengingat Tuhan dalam sembahyang.Bagaimana dapat mengingat perkara yang kita tidak pernah tahu dan tidak pernah faham. Ini perkara mustahil.
  • Orang yang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan sangat susah untuk disedarkan.
  • Orang yang sebegini,sembahyang tidak ada makna baginya.
  • Inilah diantara sebab mengapa ibadah terutama solat atau sembahyang itu tidak mendidik kita lagi.
  • Umat Islam rata-rata memang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan dan sifat-sifat Tuhan.
  • Kalau begini sembahyang tidak membawa kita kepada Tuhan. Jauh sekali mengingatkan kita tentang Tuhan.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment