Apabila seseorang itu sudah diperlihatkan pada dirinya,rahmat dan nikmat Tuhan,yang seolah-olah di depan matanya, nikmat dan rahmat Tuhan itu seperti salji yang turun,maka indahlah bila dia menyebut alhamdulillah.
Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak pula terasa oleh hatinya, lebih-lebih lagi pada nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, kalau dia membaca alhamdulillah, ia sekadar untuk mencari fadhilat sahaja.
Ia tidak dapat membangunkan syahsiah dan akhlak pada diri orang itu. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya. Tidak terasa apa-apa. Maka patut sekali Tuhan meletakkan Alhamdulillah itu selepas Bismillahirrahmanirrahim.Jadi kalau kita faham Bismillah itu seperti yang pernah kita ceritakan sebelum ini, maka kita pun akan berkata alhamdulillah...
Ia akan menjadi sangat indah, sangat memberi kesan dan sangat memberi erti.Jika tidak, kita tidak akan terasa apa-apa pun daripada bacaan alhamdulillah itu..
Maha Besar Tuhan.
Mari pula kita terokai pula isi atau intipati alhamdulillah. sama ada yang boleh dilihat oleh mata, akal atau yang rohani.
Segala puji bagi Tuhan.
Apakah 'puji' itu?
Erti Puji:
- Ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan pada seseorang (sekiranya pada orang), atau pada Zat (kalau kepada Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau yang layak bagi Zat itu.
Bagaimanakah untuk memuji Tuhan mengikut takrif itu?
- baiknya Tuhan,
- hebatnya Tuhan,
- maha kuasanya Tuhan,
- pemurahnya Tuhan
- maha agungnya Tuhan.
Ini adalah kerana sifat kesempurnaan bagi Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batasnya.
Sekiranya Tuhan mengizinkan kita untuk hidup sejuta tahun, yang mana kita sentiasa memuji-muji Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu pun tidak cukup lagi, kerana kehebatan Tuhan itu tidak ada kesudahannya.
Maha Besar nya Tuhan.
Maka selayaknyalah selepas ayat Bismillah, ialah ayat Alhamdulillah, sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak berkesudahan. Jadi sekiranya kita hendak memuji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan.
Oleh kerana umur kita sangat-sangat terhad maka tidak mungkin kita boleh berbuat sesuatu yang sempurna.Dan sekiranya dipanjangkan umur kita, sehingga berjuta-juta tahun sekali pun, dan Tuhan memperlihatkan pada kita kesempurnaan Nya, masih lagi kita tidak akan mampu untuk menyempurnakan maksud alhamdulillah itu pada yang selayaknya bagi Tuhan.
Jadi kalau inilah yang kita faham, maka barulah 'sedap' kita hendak menyebut alhamdulillah, sebab kita nampak, mengapa sepatutnya kita memuji-muji Tuhan itu.Ini adalah kerana sifat-sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha Bijaksana Tuhan yang meletakkan perkataan Bismillah, kemudiannya Alhamdulillah.
Memuji Tuhan ini ada 3 peringkat:
- Memuji-muji perkara yang ada hubungan dengan zatNya.
- Memuji-muji perkara yang ada hubungan dengan sifat-sifat Nya.
- Memuji-muji keatas rahmat dan nikmat Nya
Rahmat dan nikmat itu sudah kita perkatakan,iaitu ada yang bersifat boleh dilihat dengan mata, yang bersifat akal dan bersifat rohaniah.
Contoh kita memuji Tuhan di atas Zat Nya:
"Wahai Tuhan, Engkaulah yang maha kekal. Wahai Tuhan, Engkau maha esa, Engkau tidak memerlukan ruang, Zat Engkau tidak menyerupai segala yang baharu. Wahai Tuhan maha suci Engkau dari mengambil tempat, sama ada berada didalam masa dunia atau masa akhirat".
Contoh pujian kita ke atas Tuhan berkait dengan sifat-sifat Nya:
"Engkau Maha pengasih, Maha penyayang. Engkau maha pengampun. Engkau maha lembut. Engkau maha qahhar (keras) dan jabbar. Engkau maha bersyukur, Engkau maha lemah lembut. Engkau maha agung, Engkau maha tinggi, Engkau maha pemarah (Tuhan memang layak)". Itulah pujian yang memang layak ke atas Tuhan.
Contoh memuji-muji Tuhan di atas rahmat dan nikmat Nya:
"Pemurahnya Engkau, wahai Tuhan, Engkau memberi aku makan, memberi aku ilmu (ada hubungan dengan nikmat aqli). Terima kasih Tuhan kerana memperkenalkan Diri Mu kepada ku. Terima kasih Tuhan kerana Engkau jadikan Engkau Tuhan ku. Terima kasih kerana memberi aku kesenangan, anak-anak, pakaian, kesihatan, memberi pemandangan yang indah dan macam-macam lagi."
Jadi memuji Tuhan itu, adakalanya pada Zat Nya, adakala pada sifat-sifatNya, adakala pada nikmat dan rahmat Nya.
PEMBAHAGIAN PUJIAN ITU PULA ADA 5 PERKARA:
1 -
- Puji Tuhan pada diri Nya.
Apakah hujah untuk membenarkan Tuhan memuji diri Nya? Sebab Tuhan memang layak. Lagipun mana ada yang lebih atas dari Tuhan. Kalau dia hendak puji diri Nya, siapa yang hendak menghukum Tuhan. Kalau kita hendak puji diri kita sendiri,tentu ada yang lebih atas, yang akan menegur kita, sebab ada lagi orang yang lebih layak dari kita.
Kalau Tuhan memuji diri Nya. Dia pun memang tiada tandingan.Ada amalan-amalan khusus, kerana kita sememangnya tidak mampu untuk memuji Tuhan dengan sebanyak-banyaknya, maka kita berkata:
"Aku memuji Engkau wahai Tuhan sebanyak mana Engkau memuji diri Engkau sendiri. dan anggaplah ini juga pujianku untuk Mu, wahai Tuhan".
Ini adalah termasuk didalam rahmat Tuhan. Kerana ini adalah cara mudah yang ringkas, kerana kita tidak mampu hendak memuji Tuhan dengan sebanyak-banyaknya.
2 -
- .Pujian Tuhan pada hamba Nya:
- "Aku suka pada orang yang bertaubat."
- "Aku suka pada orang yang bertaqwa"
- "Aku suka pada orang yang pemurah"
- "Aku suka pada orang yang telah berdosa dan kemudian bertaubat diatas dosa-dosanya"
- "Aku lebih suka pada orang yang merintih atas dosa-dosanya daripada tasbih para aulia"
- Pujian seorang hamba pada Tuhannya. Itu mudah untuk kita faham. Selemah-lemah kita, kita mesti pernah ada memuji-muji Tuhan.
4 -
- Puji hamba kepada hamba.
- Si A mengatakan Si B ini pandai dan sabar. (tetapi seeloknya puji lah dibelakangnya, kerana takut-takut orang itu tak mampu hendak menanggung pujian tersebut. Sebab memuji di depan orang itu ibarat meletakan kayu balak di atas bahunya.Tidak mungkin ada orang yang mampu memikul kayu balak atas bahunya?
5 -
- Pujian seseorang atas dirinya sendiri. ( Ini tidak dibolehkan kecuali diatas dasar hendak menyebut nikmat-nikmat Tuhan yang ada pada dirinya. Perlu berhati-hati.)
- Para nabi dan para rasul terpaksa memuji dirinya.Seperti Rasulullah SAW berkata," Saya adalah seorang yang paling takut dengan Tuhan."
Rasulullah juga pernah mengatakan,"Saya adalah orang yang paling fasih menyebut (huruf) dhad." Ini adalah kerana menyebut huruf dhad itu susah.
Memuji diri itu tidak digalakkan kecuali atas dasar hendak menyebut nikmat-nikmat Tuhan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah itu.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment