Saturday, October 31, 2009

IHDINASHIRATOLMUSTAQIM BGN 2


sambungan maksud-maksud Al-Fatihah...

Kawan-kawan yang dikasihi,

Kalaulah diatas jalan raya yang bersifat `maddi ' itu pun ada peraturan-peraturannya yang tersendiri, cukuplah hanya dengan sekali jika seseorang itu belajar peraturan-peraturan tersebut. Setiap orang telah boleh menjadi mursyid (pemimpin)bagi dirinya didalam hal-hal jalanraya. Tidak perlu bertanya kepada orang lain pun dia masih boleh selamat.

Tetapi diatas jalan Tuhan ianya bersifat maknawi (tidak nampak pada pandangan zahir). Maka bukan setiap orang mampu menjadi mursyid bagi dirinya. Mesti ada seorang mursyid yang menjadi pemimpinnya.

Sesiapa yang hendak menempuh jalan Tuhan, mesti ada seorang mursyid. Seolah-olahnya semasa kita berjalan,mursyid berada di hadapan kita. Jika mursyid tidak ada di hadapan kita,dikhuatiri kita akan termasuk ke dalam jurang yang sangat dalam dan sangat bahaya.

Maha Besar Tuhan.

Jalan-jalan Tuhan itu ada tiga:

  • maknawi,

  • rohani

  • zahir.

Ia adalah satu pakej. Ketiga-tiga ini mesti selaras.

Ertinya ketiga-tiga jalan ini adalah jalan para-para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang soleh. Ketiga-tiga jalan ini mesti terdapat dalam satu pakej yang tidak boleh terpisah antara satu sama lain.

Jalan-jalan ini adalah yang pernah dilalui oleh para-para Rasul,nabi-nabi dan para-para wali.Setelah mengetahui ilmunya, nanti kita akan melihat sejauh mana ibadah, akhlak, perjuangan dan pengorbanan yang telah mereka lahirkan.

Ianya berkaitan dengan bagaimanakah perasaan yang Tuhan kehendaki pada seseorang hamba itu.Rasa-rasa itu adalah:

  • rasa berTuhan,

  • rasa takut dengan Tuhan,

  • rasa cinta dengan Tuhan,

  • rasa kehambaan,

  • rendah diri,

  • sabar,

  • rasa berdosa,

  • rasa sensitif dengan dosa,

  • rasa bertimbang rasa,

  • berkasih sayang sesama manusia,

  • rasa susah dengan kesusahan manusia,

  • senang dengan kesenangan mereka

  • dan lain-lain rasa yang boleh dikaitkan dengan sifat-sifat mahmudah.

Itulah jalan-jalan Tuhan yang bersifat rohani yang ada pada para-para Rasul,nabi-nabi dan para wali-wali Allah itu.

Ilmu adalah jalan maknawi tuhan.Ilmu yang dimiliki mestilah yang berdasarkan Al Quran dan Hadis.Samada dari segi ibadah, akhlak, perjuangan,ekonomi,pendidikan,pentadbiran dan lain-lain.

Al Quran memberitahu hukum halal, haram, wajib, sunat, harus dan ilmu ini mesti berjalan dalam semua aspek.

Dalam ibadah , ada yang wajib dan ada yang sunat,ada fardhu ain dan fardhu kifayah, ada yang haram,yang makruh juga yang harus.

Begitulah juga dalam aspek lain seperti kebudayaan, politik, ekonomi dan lain-lain. Yang disuruh, wajib dibuat dan yang dilarang, wajib ditinggalkan. Itulah yang dikatakan jalan Tuhan yang bersifat maknawi. Bila dilaksanakan, itulah yang dinamakan amal .

Inilah satu pakej yang selari, yang datang dari Tuhan yang telah ditempuh oleh para-para Rasul, nabi-nabi dan wali-wali.

Hendak menempuh jalan ini, alangkah sulitnya.

Ilmunya sudah kita belajar,perjalanan maknawi sudah pun kita tahu tetapi contohnya pula tidak ada. Rasul, Nabi dan wali sudah tiada. Alangkah sulitnya. Sebab itu bila kita berjalan,hujungnya neraka. 95% ke neraka. Sedikit yang ke syurga.

Inilah yang Tuhan maksudkan, yang diberitahu di dalam Al Quran,'' Sesungguhnya jalan Aku ini adalah jalan yang lurus maka hendaklah engkau tempuh. Jangan tempuh jalan-jalan yang banyak kerana kamu akan berpecah belah dari jalan Tuhan.''

Apakah maksudnya jalan Tuhan yang lurus?

Iaitu satu jalan yang bersumberkan Quran dan Sunnah, yang diturunkan Tuhan kepada Rasul, kemudian kepada umatnya.Samada bersifat maknawi, rohani atau lahir, ia hanya satu jalan.

Itulah yang dikatakan lurus. Jalan lurus inilah yang hendak ditempuh.Tuhan memberi amaran,''Jangan tempuh jalan yang banyak kerana kamu akan berpecah belah dari jalan Tuhan.

Apakah jalan yang banyak itu?

Jalan yang banyak itu juga ada yang bersifat rohani, maknawi dan lahir


bersambung........






Wednesday, October 14, 2009

AYAT IHDINASHIRATALMUSTAQIM BHG 1


Bismillahir rahmanir rahim.


Kawan-kawan yang dikasihi,


Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka,bukannya jalan yang Engkau murkai dan bukan pula jalan yang sesat.

Kabulkanlah permintaan kami Ya Allah.''

Bila kita merujuk semula pada ayat-ayat yang sebelumnya,setelah Allah memperkenalkan diriNya dan kita benar-benar yakin dengan Nya,barulah Allah menyuruh kita menyembah dan meminta kepada Nya.Bagaimana untuk meminta itu pun Tuhan lah yang ajarkan kerana jikaTuhan tidak ajar,manusia hendak meminta pun tidak pandai.

Bagaimana Tuhan suruh meminta ?

Tuhan menyuruh kita meminta jalan yang lurus,iaitu jalan yang telah diberikan kepada para-para Rasul dan para-para Nabi. Walaupun Tuhan tidak menyebut di situ jalan-jalan para Rasul ,Nabi atau wali-wali tetapi jika kita lihat kepada hadis, hadis ada menyebutnya.

Hadislah yang mentafsirkan ayat itu. Ayat-ayat Al Quran kadang-kadang ditafsir oleh Al Quran itu sendiri,kadang-kadang ditafsir oleh hadis atau oleh athar (pendapat sahabat).

Kalau tidak ada jalan lagi,maka orang akan bersandar dengan ulama-ulama yang ilmunya mantap dan orang-orang yang bertaqwa.

Jadi kalau ada orang berkata, tidak ada didalam ayat itu,menyebut nama-nama Rasul,nabi-nabi atau wali-wali, tetapi ada ditafsirkan oleh hadis yang memaksudkan begitu. Sebab ayat tersebut adalah ayat yang berbentuk umum.

Sebenarnya, mengikut ahli tafsir berdasarkan hadis, ada menyebut jalan itu adalah jalan para Rasul,nabi-nabi dan wali-wali.

Tuhan menyuruh kita meminta pada Nya,yakni meminta kita mencontohi cara hidup para-para Rasul, nabi-nabi atau paling tidak cara orang-orang soleh. Samada kehidupan orang soleh itu disudut akhlaknya,ibadahnya dan lain-lain. Itu pun masih umum.

Bagaimanakah yang dikatakan jalan para Rasul, Nabi atau orang soleh itu?

Sebab itu,didalam mentafsirkan ayat-ayat Quran,yang mana Al Quran tidak mentafsirkannya, terpaksa dicari pula pada hadis.

Di sini tidak dikhususkan,kehidupan para nabi-nabi itu,di sudut yang bagaimana.

Adakah dimaksudkan itu pada ibadahnya, ilmunya dan akhlaknya? Itu tidak ditetapkan. Ia memerlukan huraian. Kalau Al Quran tidak menyebut maka kenalah kita melihat kepada hadis pula.

Jalanraya di dunia ini kita tempuh untuk matlamat dunia. Mungkin dengan tujuan ekonomi, politik atau lain-lain hal yang berkaitan dengan dunia.

Bila dikatakan jalan, ia ada panduan jalanraya,ada papan tanda yang ada maksud-maksudnya,ada disiplin jalanraya. Bila orang menggunakan jalanraya itu,apa yang berlaku?

Kadang-kadang kita lihat ada orang 'accident',masuk kedalam gaung dan ramai juga yang selamat.

Itulah sifat jalanraya. Oleh kerana jalanraya di dunia ini bersifat 'maddi', maka matalah yang melihat.

Oleh kerana ia boleh dilihat oleh mata maka ia mudah dibantu oleh akal fikiran.

Yang selamat lebih banyak dari tidak selamat.Walaupun surat khabar melapurkan kemalangan yang menakutkan tetapi peratus mereka yang selamat dan tidak accident lebih banyak daripada yang tidak selamat.

Begitulah jalan Tuhan. Adakalanya mata dan akal tidak boleh melihatnya.Yang boleh melihat jalan Tuhan ialah roh. Cuma kadang-kadang akal membantu juga. Cuma akal itu boleh membantu hati atau roh tadi.

Ia bersifat rohaniah dan maknawyiah. Sedikit sahaja yang bersifat rohaniah, yang mata boleh melihat.

Sudah kita katakan tadi, bila dikatakan jalan,samada jalan lahir atau jalan maknawiyah ,ia ada peraturan dan syarat-syaratnya.

Kalau jalan di dunia yang bersifat lahiriah, yang mata boleh melihat, dan boleh dipandu oleh akal itupun berapa masih banyak 'accident' dan orang masuk kedalam gaung.

Apatah lagi jalan menuju Tuhan yaitu jalan menuju akhirat yang bersifat rohaniah, yang tidak dapat dilihat oleh mata,bahkan adakalanya akal pun tidak dapat melihat,maka tentu lebih banyak orang yang akan tersasar.

Kalau jalanraya dunia orang yang selamat itu seramai 95% dan tidak selamat 5%.

Jalan Tuhan itu pula adalah sebaliknya.Iaitu sebanyak 5% orang yang selamat dan 95% yang tidak selamat. Kenapa?

Ini kerana jalan Tuhan itu perlu kita tempuh pada setiap detik.Maka sudah tentu halangan nya terlalu banyak dan tidak mampu untuk kita berwaspada pada setiap detik.Jalanraya dunia yang bukan selalu kita tempuh dan yang boleh kita lihat dengan mata kepala itu pun sudah banyak berlaku kemalangan-kemalangan.Inikan pula jalan Tuhan yang berbentuk maknawi dan hanya sedikit sahaja yang boleh dilihat dengan mata kepala.

Apakah kita boleh selamat atau pun tidak?

Maka kalau kita tidak faham peraturan jalanraya Tuhan.Kalau kita tidak faham di mana tempat-tempat yang hendak dituju.Ada kemungkinan kita akan tersesat jalan dan tersasar dari apa yang Tuhan kehendaki.Kerana ia bersifat rohani atau maknawi.

Bersambung.......



Saturday, October 10, 2009

Ayat - Iyyakana'budu waiyya kanasta'in



Kawan-kawan yang di kasihi,

Bismillahi rahmanir rahim

Alhamdulillah,dapat lagi kita menyambung memahami maksud-maksud Al Fatihah. Moga-moga Tuhan beri kita ilmu supaya kita dapat menghurai intipati dalam Surah Fatihah ini.

''Akan Engkaulah yang kami sembah dan akan Engkau lah yang kami meminta pertolongan.''

Di sini ada dua perkara iaitu:

1) Tuhan tempat kita menyembah

2) Tuhan tempat kita meminta pertolongan

Mengapa ayat ini merupakan [diletakkan] sebagai ayat yang ke empat? [Dikira sebagai Ayat kelima bila kita mengambil Bismillah sebagai ayat pertama]

Adalah tidak munasabah kalau diletak di awal atau diletak selepas Bismillah, terutamanya kerana roh kita belum dapat melihat lagi siapa Tuhan itu sebenarnya sejauh mana had kuasaNya. Sejauh mana nikmat dan rahmat Nya. Sejauh mana ke”MAMPU”an Nya, apakah Tuhan itu segala-galanya, setakat mana kuasa Nya.

Bagaimana jika tiba-tiba terus bercakap mengenai hendak menyembah Tuhan, sedangkan kita belum kenal Tuhan. Kita selalunya sekadar tahu adanya Tuhan tetapi kita tidak tahu sejauh mana Kebesaran dan Ke’mampu’an Nya. Kita tidak tahu sejauh mana keperluan kita terhadap Tuhan maka tidak munasabahlah kalau ayat itu diletak di depan. Jadi Tuhan susun ayat dengan susunan sebegitu dengan ada maksud di sebaliknya.

Kita telah menceritakan kasih sayang dan nikmat Tuhan yang begitu banyak, yakni apabila kita bahaskan Bismillah. Kemudian kita bahaskan pula bahawa patut Tuhan itu di puji iaitu memuji Zat Nya yang sungguh luar biasa, yang tidak ada tandingan, yang mana kita faham sifat kesempurnaanNya yang tiada kesudahan.

Nikmat-nikmat Allah bersifat lahir, akliah dan rohaniah. Sedar atau tidak, semuanya ada berhubungkait dengan kita. Setelah itu, kita bahas betapa hebatnya pentadbiran Tuhan dengan sistemnya yang begitu rapi yang mana, sekali Tuhan cipta maka tiada perubahan lagi, tidak tersilap lagi.

Setelah itu kita bahas dan fahami, bagaimana Tuhan memberi nikmat atas dasar Rahman atau dasar rahim. Atas dasar pemurah dan kasih sayang. Nikmat yang diberi adalah atas dasar pemurah, istidraj atau dari murka Tuhan (tetapi murka Tuhan tanpa emosi).

Emosi itu perasaan.manusia !! Maha suci Tuhan dari ada perasaan dan hati. Tetapi Tuhan itu ada kasih sayang tersendiri. Kasih sayang kita terasa di hati. Kalau kita marah kita beremosi, itu adalah nafsu. Tuhan tidak begitu!Pemurahnya tersendiri. Kasih sayang Nya pun tersendiri tanpa perasaan dan emosi. Kasih sayangNya bukan seperti makhluk.

''Malikiyau middin'' itu pula menceritakan kuasa Tuhan yang begitu mutlak. Nampak kuasa dan keadilan Nya.

Setelah semua itu kita faham, barulah Tuhan minta kita menyembah Nya dan apabila hendak meminta tolong, Dia suruh kita meminta tolong dengan Nya.Cukup logiklah Hanya Allah satu-satunya Tuhan dan Dialah tempat meminta. Pada Allah ada segala-galanya. Sebab itulah ayat itu diletak ditempat ke-empat di dalam Al Fatihah. Kita pun berpuas hati. Amat patutlah Tuhan itu disembah dan munasabahlah Dia tempat kita meminta pertolongan. Logik sangat untuk akal dan hati kita menerima. Marilah sama-sama kita buat pengakuan untuk penyerahan. Kita hendaklah membuat pengakuan bahawa kita adalah hamba Allah dan Allah itu Tuhan kita.

Kita perlu kepada Tuhan.

Kita perlu meminta kepada Tuhan

Wallahua'lam.



Saturday, October 3, 2009

AYAT MAALIKIYAUMIDDIN BHG 2



sambungan.....


Kawan-kawan yang dikasihi,


2. Tuhan hendak memperkecilkan dunia.

Apabila Tuhan menyebut akhirat sahaja, tidak menyebut pun dunia, ertinya dunia itu tiada berharga. Seolah-olah Tuhan berkata begini:

Dunia ini tiada berharga pada Aku, tiada nilai walaupun sebelah sayap nyamuk. Kamu merebutnya sehingga bergaduh dan berperang kerana cintakannya.
Aku kiamatkan, Aku hancurkan sehingga tiada apa yang tinggal melainkan Akhirat dan Aku.'


Begitulah hinanya dunia yang manusia pandang mulia ini.Akhirnya dunia yang direbutkan itu Tuhan hancur dan musnahkan begitu sahaja.

Tuhan tidak akan menghancurkan dunia ini jika dunia ini ada nilainya,Kerana itulah Akhirat itu dikekalkan, menunjukkan bahawa Akhirat itu sangat -sangat berharga dan sangat-sangat bernilai.

Inilah sebahagian hikmah-hikmah terbesar selain daripada hikmah lain yang banyak. Bila disebut Maalikiyaumiddin, terasa kuasa Tuhan yang mutlak. Tidak ada campurtangan oleh mana-mana pihak.

Selain dari itu, kerana manusia memandang mulia akan dunia itu sehingga manusia bergaduh kerananya,maka Tuhan akan hancurkan begitu sahaja agar manusia terasa dunia ini tidak ada sedikit pun nilainya.

Oleh itu mengapa manusia bergaduh merebutkan sesuatu yang tidak bernilai?

Selain itu,Tuhan tidak memilih perkataan Rabb tetapi Maliki, menunjukkan Tuhan tidak menggunakan perkataan mentadbir atau mendidik. Padahal semasa di dunia Tuhan sudahpun mendidik, maka perlukah di akhirat pun Tuhan mendidik?.

Mengapa Tuhan sebut begitu, iaitu Yang menguasai hari akhirat?

Ini adalah supaya kita dapat melihat golongan mukmin di akhirat kelak, mereka bebas sebebasnya. Seolah-olah Tuhan ada tidak campur tangan. Indahnya hidup di sana, bebas merdeka.
Tetapi Maha Suci Tuhan dari tidak campur tangan. Seolah-olahnya begitu, kerana Tuhan hendak menghiburkan manusia.

Sekiranya digunakan kalimah Rabb ( mentadbir), disitu masih lagi kita nampak seolah-olah Tuhan masih lagi mahu campurtangan dengan keadaan kita di Akhirat.Itu cara Tuhan menghiburkan orang di syurga.Seolah-olah Tuhan tidak peduli tentang hal apa yang sedang didalam syurga itu tetapi Maha Suci Tuhan dari tidak mentadbir hal-hal yang berlaku didalam syurga.Tetapi seolah-olahnya begitulah.

Begitu juga kalau orang masuk keneraka, Tuhan 'biar' begitu sahaja seolah-olah Tuhan tidak campur tangan. Mustahil Tuhan tidak campur tangan tetapi sengaja Tuhan hendak beritahu, seolah-olah Tuhan tidak peduli langsung. Seolah-olahnya begitu.

Kalau di dunia dikenakan hukuman penjara, boleh juga makan. Tidaklah terasa takut sangat tetapi di neraka, Allah tidak peduli langsung!!!

Yang di syurga pula bebas sebebasnya. Tidak ada peraturan dan undang-undang. Apa yang dikehendaki, boleh dapat. Hendak jadi raja, boleh. Hendak terbang pun boleh. Syurga itu besar. Kalau ada yang hendak minta jelajah dalam satu saat, boleh, dengan kuasa Tuhan. Bebas sebebasnya. Sebab itu Tuhan memilih kalimah 'Maalikiyau middin'.

3.
Di antara hikmah yang lain ialah 'Maalikiyau middin' membawa satu pengertian bahawa dengan ayat itu kita dibawa 'melihat' ke akhirat di mana Tuhan menjadikan Hari Pembalasan itu penuh dengan segala macam kesusahan. Di padang Mahsyar, di mana manusia akan berada di bawah panas matahari yang terik tanpa berpakaian selama beratus-ratus tahun akhirat. Tetapi orang mukmin Nya diberi kebebasan.

Setakat itu sahaja sedikit penjelaskan tentang 'Maalikiyau middin'. Semuga kita dapat menghayatinya.Mudah-mudahan kita akan menjadi orang-orang yang sangat-sangat mementingkan akhirat.

Manusia menganggap dunia ini mereka yang punya. Walhal kita tidak patut menjadi tuan punya dunia

Yang paling rugi, kita berebut dunia yang kita nampak emas, intan berliannya, sedangkan di sisi Tuhan, ia tiada nilai walaupun senilai sebelah sayap nyamuk.Maka rugilah kita bergaduh berebutkan dunia yang tiada nilai, tetapi bila mati, kita terjun masuk keneraka yang sangat pedih dan azab.

Marilah kita bersama-sama bertaubat.

Wallahu'alam.

Friday, October 2, 2009

AYAT MAALIKIYAUMIDDIN BHG 1


Bismillahi rahmanir rahim

Kawan-kawan yang dikasihi.

Ayat Maalikiyau middin itu ertinya Raja (Tuhan) yang memiliki hari akhirat. Mengapa Tuhan tidak menyebut Dia mentadbir hari akhirat (Rabbul yaumiddin). Mengapa disebut akhirat sahaja, tidak disebut dunia-akhirat?

Inilah tajuk perbincangan kita.InsyAllah.

Tuhan memiilih perkataan Malik , ( Yang memiliki ), itu boleh dimaksudkan Yang Menguasai atau Yang Mempunyai hari Akhirat.

Disini terdapat dua hikmah:

1 -
Dapat melihat kuasa Allah itu secara mutlak.

Bila dikatakan Tuhan yang menguasai akhirat,tidak akan ada pihak yang menguasai akhirat selain tuhan?

Kalau disebut Tuhan menguasai dunia dan akhirat, orang yang bersih hatinya akan terasa kuasa mutlak Allah itu.Manakala orang biasa yang hanya menggunakan akal dan mata atau yang jahil,mereka seolah-olah akan merasakan yang ada pihak lain lagi yang berkuasa didunia ini seperti Amerika atau Eropah contohnya.

Dan lagi apabila disebut Tuhan itu Menguasai Akhirat,akan dapat dirasakan hebatnya Tuhan itu kerana Tuhan adalah Tuan punya Akhirat yang Mutlak. Dengan kata lain,tidak ada siapa yang boleh share kekuasaan di akhirat itu selain tuhan.

bersambung.......