Thursday, June 25, 2009

AL FATIHAH : BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM BGN 2

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,

AL FATIHAH...


Hari ini kita melangkah lagi kaki, memijak di bumi Tuhan.Kalaulah Tuhan jerluskan kita, bukankah ianya sangat dahsyat. Hari ini kita masih boleh berpijak lagi dengan baik di bumi Tuhan. Masih boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah,

Rupanya mata aku tidak buta. Masih boleh lagi aku melihat".

Ini adalah Rahman dan Rahim nya Tuhan.”

Dengan Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan ini, kita seperti di lambak-lambakkan dengan nikmat Tuhan. Kalau dihayati lah lambakan-lambakan nikmat-nikmat Tuhan ini,seseorang itu boleh `mabuk ' (sakr) dengan Tuhan. Itulah istilah-istilah yang biasa digunapakai didalam kitab-kitab dan buku-buku agama.Kita akan seperti orang gila kerana tidak tahan dengan rahmat dan nikmat yang bukan sahaja mata dapat melihat bahkan hati juga boleh melihat. Kalau Rasulullah SAW itu bukan pemimpin, mungkin Rasulullah pun sudah `mabuk' dan fana. Kalau sudah `mabuk ', sudah tidak boleh memimpin lagi.

Itu lah hikmahnya,pemimpin-pemimpin itu di kawal oleh Tuhan perasaannya, supaya mereka tidak sampai ke peringkat `mabuk'. Setakat hatinya sahaja yang mabuk.

Sebab itu kalau kita lihat ahli-ahli sufi yang bukan pemimpin, mereka ramai yang aneh-aneh.Ramai yang pelik-pelik wataknya. Kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka sebab takut perhubungannya dengan Tuhan terganggu kerana kita.

  • Sebab itu Sayidina Ali RA dan Sayidina Umar RA , ketika bertemu Uwais Al Qarni, Uwais Al Qarni tidak mahu bercakap panjang dengan mereka. Tentulah Sayidina Umar dan Sayidina Ali lebih tinggi pangkat dan darjatnya dari Uwais Al Qarni yang hanya afdhol tabiin iaitu tabiin yang paling utama.
  • Akan tetapi orang yang telah menghubungkan hati nya dengan Tuhan ini, dia tidak lagi `seronok' untuk berhubung dengan manusia sekiranya dia bukan seorang pemimpin. Uwais hanya menjaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama yang berwatak nabi,yang hanya jaga dirinya sahaja dan beliau bukan dari kalangan orang -orang di beri tugas untuk memimpin atau mentadbir.
  • Sebab itu dia `mabuk' dengan Allah. Biasanya orang kalau berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, orang hendak berlama-lama kerana mereka rasa itulah ibadah mereka. Iaitu apabila melihat wajah atau muka para-para wali atau orang-orang yang soleh ini,boleh membuat hati pun terasa terhubung dengan Tuhan.Tetapi orang macam Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan, dia menjadi seperti `mabuk bersendirian'.


Jadi itu lah hikmah yang pertama mengapa Allah menonjolkan diriNya dengan dua sifat ini. Kalau orang yang prihatin dalam kehidupannya, mata, akal dan rohnya juga turut prihatin. Memang sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan itu sangat menonjol.

Sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang yang berada di sebuah padang pasir dan tiba-tiba didatangkan salji yang tidak berhenti-henti.

Jadi munasabahlah kalau dua sifat ini tertonjol. Tetapi pelik, walau begitu sekali pun tertonjolnya Ar Rahman dan Ar Rahim itu didalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan pun selalu mengingatkan kita dengan disebut Ar Rahman dan Ar Rahim itu melalui Bismillahi rahmanir rahim.

Namun kita buat tidak faham dan kita tidak mampu untuk merasai kebesaran Ar Rahman dab Ar Rahim itu.

Sedangkan daripada bangun tidur, di bilik air, didepan rumah walaupun belum jauh lagi kita melangkah, telah begitu banyak nikmat-nikmat Tuhan yang boleh kita lihat dan kecapi. Jadi munasabahlah Tuhan suruh kita menyebut namaNya ini pada setiap perbuatan yang baik.

Tetapi sifat yang tertonjol ini jarang diperhatikan oleh manusia. Menunjukkan hati sudah terlalu lalai. Kalau kita bukan orang Islam,tidak lah menjadi satu yang menghairankan. Tapi kita yang masih bersolat, berpuasa dan sudah berkali-kali naik haji ini pun susah dan sering tidak mampu untuk merasai kehebatan ArRahman dan ArRahim.

Seolah-olahnya Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan itu sekadar kebetulan-kebetulan sahaja.

Ini samalah dengan satu cerita yang dapat kita kongsi bersama:

  • Kita ada kawan, orangnya kaya dan pemurah. Dia pun mengajak kita bersiar-siar sekali sekala. Dia memberi kita pakaian, memberi kita hadiah untuk dibawa balik kepada anak-anak. Dua bulan kemudian , kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita berjalan-jalan,ronda-ronda dengan keretanya.Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itupun kita sudah mula bercakap, “ Baiknya orang itu, pemurah dan berkasih sayang.

Tapi aneh anak kita atau kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan ibu dan ayah, diberi buku sekolah, diberi pakaian, sekali sekala dibawa keluar, jarang kita hendak merasakan yang ibu dan ayah sangat-sangat sayangkan kita.

Malah ada yang berfikir dan bersangka buruk ,” Sayang ke ibu aku ni dekat aku? Jangan-jangan dia benci.Jangan-jangan dia tak suka dekat aku.”

Kita mudah terikat hati dengan orang luar yang padahal dia sekali sekala sahaja berbuat baik pada kita. Itupun kita sudah sayang dengan orang itu. Padahal ibu dan ayah yang hari-hari berbuat baik pada kita, menanggung makan dan minum, susah kita hendak merasakan yang ibu dan ayah sayang pada kita.

Ini samalah dengan apa yang kita buat pada Tuhan.

Tuhan yang sangat-sangat pemurah, sehingga pada setiap detik dan setiap saat mencurahkan rahmat dan nikmat Nya pun jarang kita hendak menyebut-nyebut dan jarang kita hendak bercerita tentang kasih sayang Tuhan.Setiap detik Tuhan memberi kasih sayang tetapi jarang kita terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan.

Kalau mengikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan logik atau tidak logiknya, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita, bukan dengan orang yang belanja sebulan sekali.

Tetapi yang tidak logik ini lah yang sedang berlaku. Begitulah apa yang sedang berlaku dan apa yang kita sedang buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak mampu untuk melihat nikmat-nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan.

Waktu sihat ini manusia sering lupa. Termasuklah kita yang berjuang, bersolat, puasa dan naik haji, sukar untuk kita mengenang-ngenang rahmat dan nikmat Tuhan.

Ini menunjukkan, hendak meng`hidup'kan hati itu sangat susah padahal kita sudah pun dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari.

Jadi Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah itu, kerana Tuhan hendak isytiharkan 2 sifat yang sangat-sangat menonjol ini. Sifat-sifat yang lain berlaku juga sekali sekala untuk kesedaran dan untuk menginsafkan manusia.


HIKMAH KEDUA:


Supaya berkat setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang
bersifat maddi atau maknawi atau yang rohani, jangan lupa membaca Bismillah. Supaya lahir cinta kepada Tuhan.

Apa rahsianya?

Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap. Ia tidak berubah sama ada kita cinta atau membenci Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita apabila kita membaca Bismillah, kita tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin betapa banyaknya nikmat-nikmat Tuhan. Supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan.

Faedahnya bukan untuk Tuhan.

Kalau orang cintakan Tuhan automatik dia akan berkasihsayang sesama manusia.Bila kasihsayang sudah terjalin sesama manusia, tiada lagi pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada lagi peperangan.

Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Didalam ArRahman dan ArRahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, didalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam ArRahman ada Rahman. Dalam Ar Rahim ada Rahim.

Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan.

Didalam menghayati perkara-perkara yang berbentuk lahiriah ini pun susah kita hendak sedar, yang mata boleh nampak dan lihat pun kita tidak perasan, betapalah yang tersirat. Kerana manusia ini, walaupun kita sembahyang tetapi hatinya sudah buta. Kalau Tuhan tidak ingatkan dengan Bismillah, teruslah buta hati kita.

Walau sudah diingat-ingatkan pun, susah kita hendak sedar.

  • Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik memberi kita rahmat, jarang kita puji atau `mempromosikan' Nya.
  • Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak terfikir macam mana hendak membalas nikmat Tuhan.
  • Khusyuk atau tidak kusyuk kita didalam solat ,jauh sekali hendak kita fikirkan, sebagai tanda syukurnya kita pada Tuhan.

Jadi patut lah Tuhan menyuruh kita membaca Bismillah.Kerana besar peranannya, yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu maha berkasih sayang. Agar dengan itu manusia cinta Tuhan.Hasil cinta Tuhan, maka akan berkasihsayanglah pula sesama manusia.Maka akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan didunia.

Selama ini kita belajar Bismillah, ” Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah, ya.Ikut sunnah ya, dapat pahala.” Setakat itu sahaja.

Tidak perasannya kita:

  • betapa besarnya Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan itu.
  • tidak terasa besarnya Tuhan,
  • tidak terasa begitu besar peranan Ar Rahman dan Ar Rahim itu.
  • Tidak nampak hikmahnya tersangat-sangat besar.
  • Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan.
  • Tidak nampak yang sepatutnya kita cinta Tuhan supaya dapat pula selepas itu kita berkasihsayang sesama manusia.

Bersambung.....


AL FATIHAH : AYAT PERTAMA – BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM bgh 1

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Kawan-kawan yang dikasihi ,

Kita sudah bercerita tentang muqaddimah Ummul Kitab. Belum lagi sampai kepada isinya tetapi sudah terasa kehebatan,kebesaran dan betapa pentingnya Al Fatihah itu dalam kehidupan manusia.Kalau diibaratkan sebuah istana, kita belum tahu apa yang ada di dalamnya dan secantik mana ianya. Kita baru meninjau-ninjau dan melihat dari luarnya sahaja. Melihat dinding luarnya saja sudah terasa indah. Kalau diizinkan kita untuk masuk kedalam istana itu, tentu puluhan kali lagi keindahan yang akan dapat kita lihat.

Jadi marilah kita meneruskan pengembaraan untuk kita melihat lagi kebesaran yang ada didalam Ummul Kitab, yang merupakan seluruh intipati isi Al Quran dan Sunnah, demi untuk keselamatan manusia didunia dan diakhirat.


Al Fatihah dimulai dengan Bismillah
...iaitu dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Di sini Tuhan menyebut namaNya, yang mana Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dua sifat ini adalah sifat Tuhan yang termasuk didalam Asmaul Husna yang 99. Ertinya sifat-sifat Tuhan yang disebut didalam Asmaul Husna, yang ada didalam Quran dan Hadis itu, semuanya merupakan satu pakej yang memperlihatkan kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah.


Nama-nama yang Tuhan tidak sebut sebenarnya lebih banyak tidak terhingga.


Dengan maksud, kebesaran Tuhan dan keagungan Tuhan tidak ada berkesudahan tetapi Tuhan hanya sebutkan 99.

Anehnya daripada 99 sifat Tuhan itu, Tuhan sangat menonjolkan sifat Ar Rahman dan Ar Rahim Nya.

Sebab itu Hadis ada menyebut, “ Setiap perkara-perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillah maka terputuslah berkatnya..

Tuhan tidak pilih sifat-sifatnya yang lain. Contohnya:

Bismillahi Jabbar, Bismillahi Sobur atau Bismillahi Syakur.

Mengapa ArRahman dan Ar Rahim yang dipilih?


Bismi
itu bukan sifat. Ar Rahman dan Ar Rahim itu, ialah sifat Allah. Allah itu dikatakan Ismu jalalah atau nama yang Maha Agung. Mengapa Tuhan tonjolkan dua sifat ini dan tidak yang lainnya? Ada beberapa maksud atau faedahnya iaitu:

  • Kalau kita prihatin, memang dua sifat inilah yang tertonjol.
  • Katalah As Syakur, ia tidak berapa nampak.
  • Al Jabbar dan Al Qahhar boleh dilihat sekali sekala seperti gunung berapi meletus, dilanggar kereta,mungkin ada pemimpin yang dijatuhkan (!).
  • Sekali sekala nampak Al Kabir dan Al Kudrah.
Tetapi sifat Ar Rahman dan Ar Rahim sangat tertonjol.

Setiap detik nama atau sifatNya tertonjol tetapi anehnya kita tidak begitu prihatin tentang hal tersebut !.

Kalau kita baca didalam sejarah, orang yang lurus dan bersih hatinya, yang sangat sensitif dengan hal-hal sebegini,mereka boleh melihat rahmat Tuhan, seolah-olah seperti salji yang turun
.
  • Kita sangat terkesan dengan sifat Tuhan yang berlakunya sekali sekala, umpama berlakunya gempa bumi di Iran,dalam masa tempoh sebulan kita perbualkan tentang hal itu padahal ia berlaku beberapa tahun sekali. Ajaib sekali.
  • Bila ada orang mati dilanggar kereta, ia menjadi bahan bualan, padahal bukan setiap detik ia berlaku.
Sepatutnya yang kita perhatikan ialah Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan, sebab ia bukan sahaja berlaku pada setiap detik bahkan ia berlaku pada setiap suku detik.

Buktinya, ia berlaku bermula dari kita bangun dari tidur sejak pagi-pagi lagi.Masuk sahaja kedalam bilik air ada rahmat Tuhan.Bermacam-macam Rahmat Tuhan yang ada didalam sebuah bilik air.Keluar daripada bilik air bertemu lagi dengan rahmat Tuhan.Pendek kata kemana sahaja kita pergi,ada sahaja rahmat Tuhan yang sedang berlaku samaada berlaku itu pada diri kita atau pada orang lain.

“Hidup lagi aku. Sayangnya Tuhan pada aku. Dengan nafas inilah aku boleh hidup.”
Jadi kita hidup itu adalah dari kurnia Ar Rahman dan Ar Rahim Tuhan.


Bersambung......

JEPUN BERKUASA

Ketika Jepun menyerang Malaya tahun 1941, tentera Jepun di sertai seorang anak muda berusia 20 tahun bernama Sato. Dia menyertai pasukan propaganda. Peranan Sato ialah mencanangkan, ‘Asia untuk Asia, bebas daripada cengkaman Barat dan Nippon perintah Malaya.’

Tahun 1945 apabila Jepun menyerah kalah, Sato menghilangkan diri di hutan Malaya dan hidup bersama orang Asli. Sato tidak pernah keluar kerana takut dibunuh. Ketika hidup di hutan, Sato tersisih dari sebarang maklumat.

Tahun 1991, ketika Sato berusia 70 tahun, dia mengikuti Asong, anak orang Asli ke Kuala Lumpur. Sebaik sampai di Kuala Lumpur, Sato sangat gembira dan berkata,

Sato – Aku betul, aku betul, aku betul.

Asong – Apa yang betul?

Sato – Nippon perintah Malaya, Nippon perintah Malaya. Tengok tu, Toyota, Datsun, Yamaha, Suzuki, Honda, Mitsubishi. Daihatsu. Itu tengok atas bangunan pula, Sharp, Sanyo, National, NEC, Sony. Panasonic.


IMAM TERLAMBAT

Suatu subuh, seorang imam masjid terlewat sedikit. Selesai membersihkan gigi dan badan, imam tersebut bergegas ke masjid yang hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya. Sebaik saja tiba di pintu masjid, Tok Bilal sudah selesai qamat. Lantas imam terus berdiri di sejadah imam dan terus takbir.

Ketika mengangkat jari telunjuk dalam tahiyat, bertepatan dengan syahadat, imam terhenti agak lama tanpa menyambung bacaannya. Ini kerana dia baru menyedari yang dia bersolat memakai kain batik isterinya.


Wallahua'lam.

Wednesday, June 24, 2009

AL FATIHAH : MUQADDIMAH 2 ( TUJUH AYAT )

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,

Kawan-kawan yang dikasihi,

Alhamdulillah,hari ini dapat lagi kita meneruskan pengembaraan kita bersama surah Al Fatihah. Moga-moga Allah memberi kita ilmu sebagai dijadikan panduan, bagi menyelesaikan berbagai-bagai masalah yang kita sering hadapi didalam kehidupan kita.Moga-moga hati kita telah pun kita jadikan sebuah wadah yang boleh menerima ilmu-ilmu Tuhan.

Benarkah Bismillah sebagai ayat pertama Fatihah itu ikhtilaf ?

Ia bukan ikhtilaf.

Bismillah itu sangat besar maksudnya, tidak boleh dikatakan ikhtilaf. Sekiranya kita mempelajari ilmu tafsir, tujuh ayat dalam Al Fatihah itu dirangkapkan 2-2. Bentuknya seperti bentuk sajak. Hujungnya disamakan,mim dengan nun, akhirnya dipasang-pasangkan.

Tujuh ayat Fatihah itu jangan kita anggap sebagai kebetulan.Agar hidup ini tidak disia-siakan, janganlah dianggap semua ini kebetulan.

  • Tawaf
  • Perjalanan antara Safa dan Marwah juga 7 kali.
  • Kebanyakan hal-hal yang berhubungkait dengan manusia, Tuhan ciptakan dengan bilangan tujuh.

Maha Suci Tuhan mentakdirkan Al Quran yang mempunyai 6,666 ayat itu, diringkaskan kepada 7 ayat yang menjadi satu matan. Yang mana Allah menetapkan bahawa 7 ayat itu sama dengan 6,666 ayat-ayat Al Quran.

Maha Hebat Allah. Mengapa Allah berbuat begitu adalah diluar kemampuan kita untuk memahaminya.


Apa istimewanya angka 7 itu ?

Mari kita fokus kepada 7 ciptaan Tuhan yang lain, yang mana ia bukan merupakan huruf atau ayat tetapi bersifat `maddi ‘ dan`maknawi ‘.

  • 7 anggota badan, 7 langit, 7 syurga, 7 neraka, 7 hari dan 7 nafsu.
  • Hari juga diciptakan 7, tidak 8 atau 9.


Mengapa tujuh?


Allah yang Maha Tahu akan rahsianya. Manusia tidak mampu menjawabnya.


Allah juga memilih untuk membuat anggota badan itu tujuh. Banyak ciptaan-ciptaan yang berkait rapat dengan pengendalian hidup manusia, Tuhan samakan dengan Al Fatihah, ummul Kitab ini.


Mari lihat nafsu yang ada 7 peringkat:


Manusia akan bermula dengan paling jahat kepada paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya.Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk `study ‘ dan mempraktikan hal-hal yang berkaitan dengan nafsu, manusia akan mampu membawa dirinya dari tahap ke tahap.

Dia akan pernah menjadi seorang yang bernafsu amarrah, pernah mencapai tahap nafsu lauwamah, mulhamah, mutmainnah,radhiah dan paling tinggi akan sampai ke mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai ke nafsu kamilah yakni nafsu yang paling atas.( iaitu para nabi dan rasul-rasul )

Manusia biasa boleh menjangkau sampai ketahap mardhiah kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Setakat peringkat kita ini, jika kita mampu mencapai tahap mulhamah pun sudah dikira OK, kalau kita boleh pergi sampai ke tahap mutmainnah, itulah yang terbaik untuk kita.


Bagaimana untuk kita mengendalikan nafsu kita supaya sampai menjadi taraf malaikat

Semua itu mesti dirujuk kepada Al Quran. Ianya tidak boleh dirujuk kepada ilmu-ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan dapat merasai bagaimana dia merangkak dari satu tahap ke satu tahap.

Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia itu, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi sangat-sangat berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya. Tetapi untuk itu mesti dirujuk kepada Al Quran. Ayat Al Quran terlalu banyak namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita tumpukan kepada tujuh ayat sahaja.

Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini, untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya, maka dengan cara itu sahajalah kita boleh mengendalikan nafsu kita.

Yang sebenarnya kalau manusia boleh menguasai 7 ayat ini,manusia boleh sampai ke peringkat nafsu ketujuh,yang mana nafsu itu boleh ditadbir dan dikuasai.

Para nabi-nabi dan rasul-rasul boleh berbuat demikian sehingga mereka sampai keperingkat yang ke tujuh itu. Rasulullah SAW tentu sahaja boleh tetapi kalau setakat kita yang hari ini,makna dan maksud Al Fatihah itu pun belum boleh kita faham, rasanya tidak sempat untuk kita sampai ke peringkat itu. Jika dapat peringkat mulhamah pun sudah cukup untuk kita sebagai manusia biasa.

Allah menciptakan nafsu itu tujuh peringkat dan memadankannya dengan 7 ayat dari surah Al Fatihah itu. Allah menetapkan kekuatan 7 ayat Al Fatihah itu boleh mengendalikan 7 peringkat nafsu walaupun sifatnya tidak sama.

Maha Besar Tuhan yang mencipta 7 ayat yang dengan kekuatannya, mampu berhadapan dengan 7 peringkat nafsu.

Para saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah wujudkan nafsu itu sehingga 7 peringkat.

Kita lihatlah keajaiban Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam 7 ayat sahaja, yang mana ia boleh digunapakai untuk mengendalikan 7 peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan.


Seseorang yang dhaif dalam memahami 7 ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan 7 tahap nafsu itu.


Allah menciptakan 7 ayat untuk menghadapi 7 neraka. Kalau kita jahat, kita menolak terus falsafah ini, maka neraka paling bawahlah, yang paling dahsyat yang akan kita hadapi.Wali’yyazubllah.

Sayangnya didalam sistem pendidikan, kita tidak menetapkan ini untuk dikuasai.Hari ini orang banyak belajar bagaimana untuk menguasai lombong-lombong bijih dan telaga-telaga minyak. Kita tidak fikir untuk menggali dan melombong surah Al Fatihah itu untuk kita dapatkan satu kekuatan sehingga kita mendapat syurga Allah dan untuk menghindarkan kita dari neraka Allah yang sangat dahsyat itu.

  • Seorang yang inginkan syurga Allah maka kuasailah Fatihah itu.


Menyentuh tentang hari yang 7 pula, rupanya Allah menjadikan hari-hari itu tidak sama.

  • Seseorang boleh menguasai harinya dengan baik apabila dia menguasai kekuatan Suratul Fatihah.


Wallahua'lam.



Tuesday, June 23, 2009

AL FATIHAH : MUQADIMAH 1 ( SAMBUNGAN )

Alhamdulillah hari sekali lagi kita diberi peluang dan ruang oleh Tuhan Yang Maha Luas IlmuNya untuk kita menikmati lagi khazanah ilmu-ilmu Yang Maha Hebat yang mana ilmu-ilmu Tuhan itu sangatlah luas sehingga tiada penghujungnya.


AL-FATIHAH...


Mengapa Al Fatihah ada 7 ayat?


Ini ada hikmahnya yang sangat besar.Ia ada hubungan dengan manusia dan dengan segala ciptaan Tuhan, secara isyarat.


  • Tujuh Ayat menggambarkan 7 hari dalam seminggu. Dalam 7 hari itulah manusia hendak menjadi jahat atau baik. Hendak mendapat rahmat atau mendapat laknat. Hendak bahagia atau celaka. Hendak menjadi kafir atau mukmin. Hendak kaya atau susah. Hendak sakit atau sihat. Ertinya dalam masa seminggu, kalau Al Quran yang intipatinya ada dalam Al Fatihah itu berperanan, maka dalam seminggu itu manusia boleh selamat. Kalau Fatihah tidak berperanan dalam masa seminggu itu, maka akan kena laknatlah manusia. Huru hara dan celaka.
  • Begitu juga dalam seminggu itu sama ada manusia hendak menjadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu, selain solat itu adalah rukun Islam yang kedua, di dalam solat itulah segala anggota yang 7 itu digunakan.
  • Didalam agama lain, bila menyembah Tuhan, mereka tidak melibatkan semua anggota.Tetapi didalam agama Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh.
  • Kegunaan kepala ada bermacam-macam jenis peranannya.
  • Tangan itu ada berapa banyak peranannya. Boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh membunuh orang, boleh menyelamatkan atau mencelakakan orang.
  • Begitu juga dengan kedua lutut dan dua kaki.Inilah anggota-anggota sujud,yang merupakan 7 anggota penting manusia,yang terlibat didalam solat.
  • Sebab itu didalam doa iftitah kita menyebut, “ hidup matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini sudah berikrar bahawa kita akan menyerah pada Allah. Apa yang disebut oleh bacaan, melibatkan juga anggota dalam perbuatan. Itu, kalau kita sedar dan menghayati.


Al Fatihah ini ada 7 ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu lah yang akan menentukan nasib manusia nanti,sama ada neraka yang 7 atau syurga yang 7. Semuanya ditentukan oleh intipati Al Fatihah. Kalau Al Fatihah berperanan didalam hidup manusia, manusia akan mendapat salah satu dari 7 peringkat syurga. Kalau Al Fatihah tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, manusia akan masuk kedalam salah satu dari 7 peringkat neraka.

  • Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada 7 lapis langit dan 7 lapis bumi. Di langit ada bermacam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungannya dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan 7 lapis bumi yang ada hubungannya dengan kehidupan manusia.

Ramai ahli-ahli Sains yang telah membuat kajian, sudah mengesahkannya tetapi setakat yang lahir-lahir sahaja. Sebenarnya ia bukan berhubungan dengan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja.

Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat. Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia kepada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia.

Tetapi perkara-perkara ini tidak dapat dikesan oleh ahli-ahli sains.Yang ghaib tidak dapat dikesan. Mereka hanya mampu mengesan yang lahir sahaja seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia.

Tentang malaikat, mereka tidak tahu. Padahal malaikat juga turut ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kedurhakaan manusia. Yang ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi Saintis tidak boleh.

Jadi 7 langit dan 7 bumi ada hubungannya dengan manusia sama ada bersifat dunia atau akhirat.

Jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli Sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani.

Apa maksud jin-jin juga terlibat?

  • Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia.
  • Sebab itu, bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalau di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, ertinya jin itu dari Indonesia. Jin di Arab berbahasa Arab.
  • Jadi jin menumpang bahasa manusia supaya nampaklah manusia itu lebih mulia dari jin.
  • Jin belajar menumpang dengan manusia. Sekarang pun mereka menumpang belajar dengan kita.
Eloklah jika kita tidak nampak mereka. Jika nampak, kita pun tak larat nak tengok mereka.
  • Begitu juga soal makan. Kalau jin kafir, mereka makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang kafir.
  • Begitu juga jin Islam, mereka menumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam.
  • Sebab itu hati-hati bila membuang tulang. Biarlah pada tempatnya.
  • Kalau bersepah-sepah , jin makan, jin terlanggar anak-anak kita, jadi masalah pulak.

Jadi Al Fatihah yang ada 7 ayat ini sangat berhubungan dengan kehidupan.

  • Yang terpenting dari itu, 7 ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh mendidik nafsu kita yang 7.
  • Semakin kita hayati, semakin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita.

Isi Al Quran itu terkandung di dalam Al Fatihah. Kalau dihayati, nafsu boleh menjadi baik sebab nafsu itu yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatihah atau isi Al Quran dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat Mulhamah. Itu pun sudah agak OK. Itu ertinya nafsu orang soleh. Kalau mutmainah, itu nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap. Kalau mulhamah masih lagi goyang. Tidak mantap lagi. Nafsu ada 7 dan ayat ini ada 7 itu bukanlah ianya kebetulan.


Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Al Fatihah padahal baru bercakap mengenai kulitnya sahaja. Baru muqaddimah sahaja. Baru di pintu Al Fatihah. Belum lagi masuk ke dalam, tetapi sudah nampak kebesaran dan kehebatan isi kandungan Al Fatihah tersebut.


Sebab itu lebih suka dinyatakan Al Fatihah itu surah untuk mendapat kemenangan daripada dikatakan surah pembukaan Al Quran. Kalau ada ulama mahsyurkan, dikatanya Al Fatihah itu surah pembukaan kerana diletak di depan Al Quran, itu tidak pula menjadi satu kesalahan.Tetapi elok dimahsyurkan peranan yang kedua, yakni surah kemenangan kerana pengertiannya lebih luas. Kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti syurga, neraka, nafsu dan lain-lain.

Bila disebut Surah Fatihah, bagi orang yang ada ilmu, tergambarlah rangka Fatihah secara umum. Kalau dikatakan Al Fatihah hanya pembukaan Al Quran, bukan lah menjadi satu kesalahan tetapi peranan surah Fatihah itu menjadi kecil dan sedikit sangat hikmahnya.

Tetapi bila disebut Al Fatihah itu surah kemenangan, ini adalah intipati atau ibu. Baru muqaddimah sahaja tetapi sudah pun nampak kebesaran surah Fatihah itu.

Maha BesarNya Tuhan.

Cuba lihat, Allah gunakan `ism fiil ', yang telah mendapat kemenangan.

Oleh itu lebih baik makna yang sebegini kita mahsyurkan kerana Surah Fatihah itu yang menentukan seseorang itu akan menang atau tidak.

Wallahua'lam.

( bersambung.....)

AL-FATIHAH :MUQADIMAH 1


Kawan - kawan yang dikasihi


Alhamdulillah dimalam 1 rejab ini, semoga dengan izin dari Allah yang Maha Kaya lagi Maha Bijaksana kita cuba untuk membincangkan kebesaran tentang salah satu surah daripada surah didalam Al Quran iaitu Surah Al Fatihah.


Surah Al Fatihah itu adalah suratul Makiyyah.Ia turun 2 kali iaitu di Mekah dan Madinah.

Maksud ayat Makiyyah,ialah setiap ayat yang turun semasa atau sebelum Rasulullah berpindah ke Madinah.

Yang disebut surah Madaniyah ini pula ialah setiap surah yang turun selepas berhijrahnya Rasulullah ke Madinah,sekalipun ayat itu tidak turun di Madinah.Mungkin turun di Mekah,mungkin turun di Thaif atau mungkin didalam perjalanan.


Ia dikatakan surah Al-Fatihah atau surah pembukaan.Boleh juga dikatakan surah Al-Fatihah itu ‘yang mendapat kemenangan’ kerana didalam bahasa Arab, kemenangan itu datang dari perkataan ` fath ', seperti Futuh Mekah misalnya.Satu contoh lagi, Sultan Muhammad Al Fateh (Muhammad yang dapat kemenangan).

Mengapa disebut surah yang mendapat kemenangan? Kerana ia adalah ibu kitab. Ibu kitab yang tertulis di luh mahfuz ada di dalam Al Fatihah. Jadi kandungan Al Fatihah itu meliputi seluruh isi Al Quran dan sekiranya surah Al Fatihah dapat difahami dan dihayati intipatinya, itu pun sudah cukup untuk kita memahami intipati Al Quran tersebut.Bila ia menjadi ilmu lalu dihayati dan di' apply' kan, pasti akan mendapat kemenangan.

Maksud yang biasa, yang selalu dibahas ulama ialah “Surah Pembukaan” kerana ia diletak di bahagian hadapan iaitu di pintu Al Quran.Ertinya surah nombor 1.Tetapi aneh kerana ia bukanlah ayat yang mula-mula diturunkan.Ayat Al-Quran yang mula-mula turun ialah dari surah Al Alaq sebanyak 5 ayat. Sepatutnya surah pembukaan itu ialah Surah Al Alaq tetapi ia tidak terjadi begitu. Mengapa?


Di sini lah kita akan mendapat rahsia-rahsianya.


Hikmahnya ialah kerana Al Fatihah itu merangkumi semua aspek sama ada disudut:

  • aqidah
  • syariat
  • akhlaq
  • dan terutamanya syariah
Kalau diperluaskan lagi, syariah itu ialah peraturan atau undang-undang sistem hidup.

Hikmahnya diturunkan Surah Al Alaq terlebih dahulu ialah kerana Tuhan hendak menanamkan aqidah dahulu.Kalau aqidah belum ada, belum kenal Tuhan, tidak tahu kemampuan dan kuasa Tuhan, maka apa perlunya syariah.Oleh itu walaupun Surah Al Alaq diturunkan awal, ia tidak disebut sebagai surah pembukaan atau surah kemenangan kerana ianya hanya menyebut satu juzuk sahaja iaitu berkenaan aqidah sahaja. Al Alaq tidak mewakili seluruh Al Quran. Sebab itu surah Al Fatihah dijadikan surah pertama walaupun ia bukan surah yang pertama diturunkan.

Surah Al Fatihah ada 2 maksud:

1. Surah Pembukaan

2. Surah Kemenangan


Al Fatihah mempunyai tujuh ayat.Termasuk ayat Bismillah. Bismillahi rahmaanir rahim itu adalah ayat dari Al Fatihah tetapi fahaman wahabi tidak memasukkan bismillah dalam Al Fatihah (ayatul min ayatilfatihah).

Orang berfahaman Wahabi atau yang tidak bermazhab,mereka tidak membaca Bismillah bersama Al-Fatihah. Mereka terus sahaja membaca alhamdulillahi rabbil alamin.Sekiranya kita bersembahyang dengan orang-orang berfahaman Wahabi kita akan menjadi was-was kerana bagi kita Al Fatihah itu wajib iaitu salah satu rukun didalam solat.

Sepatutnya kalau imam itu seorang yang bijaksana, berhikmah dan menghormati mazhab yang lain dan juga kalau seorang imam itu berfikir mengenai masyarakat umum maka membaca Bismillah itu lebih baik, jika pada keyakinannya Bismillah itu sunat.Lagi pun bukan Bismillah itu sesuatu yang haram hukumnya.

Kalau dia membacanya pun dia akan mendapat pahala sunat. Kalau pada keyakinan makmum Bismillah itu wajib dibaca seperti mazhab Syafie misalnya,maka batallah sembahyang makmum tersebut.

Bagi mereka (imam fahaman Wahabi ) pula,membaca Bismillah ianya hanya sunat. Kalau imam itu bijak dan cerdik, jika dia membaca Bismillah, selain mereka mendapat pahala sunat dan menghormati mazhab lain selain mazhab mereka, ia juga menyelamatkan orang lain dari terbatalnya sembahyang.


Al Fatihah mempunyai tujuh ayat. Mengapa 7 ? Ini ada hikmahnya (akan di ceritakan kemudian ). Intipati Al Quran yang 30 juz itu ada di dalam Al Fatihah.Katalah ada seorang pakar, yang Tuhan berikan dia ilmu dan dia tidak membaca seluruh Al Quran tetapi dia berkata:

Mari kita huraikan Al Fatihah.”

Mungkin dia akan syarahkan Al-Fatihah itu selama satu tahun kerana ibarat orang hendak menggali lombong untuk mengeluarkan emas daripada Al Quran !!

Selepas setahun dia memberi kuliah,bila kita lihat Al Quran,kita akan dapati apa yang disyarahkan dari huraian Al Fatihah itu akan sama dengan seluruh isi Al Quran.Tetapi tidak pernah ada orang yang hendak berbuat demikian kerana tidak ada yang pakar didalam bidang ini.


bersambung..........


Monday, June 22, 2009

PENGERTIAN ZUHUD

Didalam ajaran Islam,kalau kita mengambil dunia sekadar untuk keperluan dan untuk kemudahan atau paling tidak untuk keselesaan,kemudian selepas itu kita tidak mahu lagi mengusahakan dunia, kerana kurang yakin yang kita boleh beramanah dalam menggunakan dunia itu untuk Allah dan untuk masyarakat, maka tidak salah kalau kita tidak mengambil dunia tersebut.

Demikianlah sebaliknya, sekiranya kita yakin yang kita dapat berlaku amanah pada diri kita atau dapat mengendalikan dunia untuk Allah dan masyarakat dengan sebaik-baiknya,yakni kita yakin kita boleh berbuat kebajikan dan kebaikan yang banyak serta boleh bersyukur dengan dunia tadi, maka tidak mengapa sekiranya kita berusaha mencari kekayaan selagi halal.Padanya ada keharusan untuk berbuat demikian.Ini tidak menafikan zuhud.

Sebagai contoh:

  • Katalah dunia itu ialah jawatan yang tinggi.Kemudian kita tidak yakin dengan jawatan itu kita boleh berlaku amanah terhadap Allah dan masyarakat, maka tidak salah kalau kita menolak jawatan tersebut. Sebaliknya,kalau kita yakin dengan jawatan itu,kita dapat beramanah dengan Allah dan masyarakat,maka tidak salah pula sekiranya kita mengambil jawatan itu.

Kalau dengan harta,kita diharuskan untuk mencari sebanyak mana sekalipun.Oleh itu kenalah kita hadapi dunia ini dengan iman dan taqwa agar kita dapat menguruskan dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Perlu ingatkan juga,jika berlaku dalam satu masa atau satu zaman,secara umumnya masyarakat Islam tidak dapat melaksanakan tuntutan-tuntutan fardhu kifayah sebagai contoh:

  • dalam menyediakan keperluan makan minum yang halal,
  • dalam membangunkan tempat-tempat pendidikan,
  • untuk membeli alat-alat senjata bagi melawan musuh-musuh,
  • menyediakan biasiswa pada anggota-anggota masyarakat yang cerdik supaya berilmu di berbagai-bagai bidang yang menjadikan masyarakatnya tidak bergantung lagi kepada orang lain,

maka diwaktu ini,bagi orang yang mampu,menjadi satu kewajipan (wajib aradhi) bagi nya untuk mengusahakan sesuatu hingga terlaksananya fardhu kifayah tadi.Sekiranya fardhu kifayah tadi tidak dapat dilaksanakan,maka menjadi satu kesalahan pula pada mereka yang mampu tadi, sekiranya mereka tidak berusaha sehingga terlaksananya tuntutan fardhu kifayah tersebut.

Juga diingatkan, apabila berzuhud,jangan sampai kita atau agama Islam menjadi terhina.Ini dilarang kecuali kita memang tidak mampu walaupun sudah berusaha untuk mengadakan keperluan-keperluan yang asas.Di waktu itu kenalah kita bersabar dan redho dengan ketentuan tuhan.Jadi, kita kena faham sungguh-sungguh akan pengertian zuhud ini. Kalau tidak, jadilah kita orang yang mewah tidak bertempat atau miskin sampai terhina atau bermewah-mewah di sebarang tempat.

  • Mewah mesti kena pada tempatnya. Umpamanya, kalau makan kenduri atau makan berjemaah, dibenarkan kita bermewah-mewah lauk-pauknya.Tetapi kalau kita makan seorang, eloklah berzuhud.

  • Miskin itu tidaklah dilarang tetapi tidak dibenarkan sampai tidak mencukupi keperluan-keperluan asas.Jadi dibenarkan miskin asal cukup keperluan asas.

  • Bermewah-mewah tidak boleh di sebarang tempat yakni di waktu orang semuanya miskin,tidak dibenarkan kita bermewah-mewah.Agar kekayaan itu dapat disalurkan kepada orang miskin.

Secara ringkasnya, kita boleh mengambil dunia ini,tetapi perlu pertimbangkan mengikut ukuran semasa atau individu atau jemaah atau kumpulan atau peranan atau mengikut tanggungjawab serta tugas-tugas yang dipikul oleh seseorang dan lain-lain lagi.

Contoh-contoh tidak menafikan zuhud mengikut ukuran semasa:

  • Di zaman ini untuk menjimatkan masa,tenaga dan lain-lain.Perlulah menggunakan kapal terbang untuk perjalanan yang jauh, bukan pakai kereta lembu atau kuda atau kereta.

  • Di zaman moden ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh,kenalah kita gunakan senjata-senjata canggih bukan lagi menggunakan keris.

Contoh-contoh tidak menafikan zuhud mengikut ukuran peranan atau tugas:

  • Tidak salah bagi orang yang berjuang dan berdakwah yang sentiasa sibuk,demi menjimatkan masa, tenaga serta selalu didatangi tetamu, maka rumahnya dilengkapkan dengan peti ais,dapur gas,mesin basuh dan lain-lain kemudahan.Tidak salah pula menyediakan permaidani di rumah,di pejabat dan di masjid selagi halal dengan tujuan menghormati tetamu atau kepentingan umum.Bahkan di negeri-negeri sejuk, menyediakan permaidani di rumah dan di masjid sudah menjadi wajib aradhi ( wajib tambahan ) pula.

Bahkan melengkapkan alat-alat kemudahan ini sudah jadi perlu bagi orang yang berjuang dan berdakwah yang masanya terbatas.Kalau terlalu lama masa dihabiskan untuk membasuh misalnya,ini dikira termasuk pembaziran masa,tenaga dan lain-lain lagi.Sedangkan waktu itu sepatutnya boleh digunakan untuk pengurusan hal-hal yang lebih perlu.

  • Ukuran bagi pemimpin yang tidak menafikan zuhud. Bagi seorang pemimpin, penting padanya keperluan alat-alat kemudahan yang canggih seperti kereta, telefon, faks, komputer, perbelanjaan perjalanan dan lain-lain lagi. Kalau tidak ada kemudahan alat-alat tadi, sudah tentu tergendala perjuangannya.

Juga diingatkan, kalau duit kita terbatas, tidak perlu kita habiskan untuk membeli barang-barang untuk kemudahan.Dikhuatiri nanti tidak ada langsung bahagian untuk kita berbelanja pada perkara-perkara yang asas atau terabai kewajipan fardhu kifayah.Ini akan jadi satu kesalahan,kerana perkara yang asas,wajib ditunaikan dan membangunkan masyarakat itu adalah lebih perlu supaya terlaksananya fardhu kifayah.Itu lebih patut kita utamakan.

Biarlah kita susah sedikit asalkan kewajipan dapat ditunaikan.

Wallahua’lam.

Saturday, June 20, 2009

BERILAH KASIH SAYANG YANG TEPAT

Untuk mendidik rakyat,anak-anak dan murid-murid,sememang kita tidak boleh terlepas dari memberi kasih sayang.Ini adalah kerana kasih sayang adalah merupakan keperluan dan fitrah setiap insan.Bagaimanapun kasih sayang yang hendak diberi itu semestinya bukan diatas dasar akal,nafsu atau perasaan.
  • Pendapat akal itu mesti ditapis oleh syariat.
  • Kehendak atas dasar nafsu itu perlu ditapis oleh syariat.
  • Begitu juga perasaan itu mesti disensor oleh syariat.
Setelah disahkan oleh syariat,maka itulah kaedah yang boleh digunapakai.Itulah cara atau pendidikan yang perlu digunakan untuk murid-murid dan rakyat didalam sesebuah negara.

Syariat sahaja tidak cukup kalau tidak ditunjangi oleh iman.Walau pun atas dasar ilmunya ia berdasarkan syariat tetapi kalau Tuhan tidak wujud di situ,maka secara automatik syariat itu sudah jadi ideologi atau jadi isme.Mana mungkin ideologi dapat membaiki kehidupan manusia walaupun secara kebetulan ia sama dengan syariat Tuhan.

Bila mana Tuhan tidak dibawa bersama, yakni kalau syariat itu tidak dididik bersama pendidikan yang membesarkan dan mengagungkan Tuhan,maka manusia tidak akan boleh dididik.

Jikalau begitu,didalam mendidik manusia,samada ibu bapa hendak mendidik anak-anak, guru-guru hendak mendidik murid-muridnya atau pemimpin hendak mendidik rakyatnya,mesti dirujuk pada Tuhan dan syariat Nya.

Cara mendidik berpandukan iman dan syariat ini buah atau hasilnya tidak dapat dirasakan dalam jangka masa yang pendek.Tetapi didalam jangka masapanjang,bila seseorang murid sudah dewasa dan sudah boleh berfikir, dia akan dapat merasakan betapa bijaknya orang-orang yang sudah mendidiknya.Samada ibu bapanya, gurunya atau pemimpinnya.

Mereka akan rasakan kemuncak kasih sayang ibubapa,guru atau pemimpin itu adalah untuk menyelamatkan orang yang dididik itu dari kesusahan akhirat dan siksa api neraka.Hingga dapat masuk syurga yang nikmatnya kekal abadi.Sebab itu pendidikan pada anak-anak perlu bermula seawal usianya kerana masa yang diambil agak panjang.

Inilah pendidik yang baik, yang sangat memberi kasih sayang, yang tidak dapat dirasakan peringkat awalnya.Mendidik manusia dengan nikmat dunia yang tidak kekal ini,hasilnya tidak sampai kemana.Jangka masa pendek akan merosakkan manusia dan jangka masa panjang nanti akan merugikan manusia dan kehidupannya.Pada jangka masa panjang manusia menyesal yang tidak berkesudahan di akhirat yang kekal abadi.

Pemimpin,ibubapa atau guru yang mendidik,yang mengatakan nikmat dunia ini, termasuk makan,minum,kenderaan dan rumah adalah segala-galanya,walaupun niatnya baik dan orang yang dididiknya cepat terasa,tetapi pada hakikatnya inilah para-para pendidik yang paling khianat pada bangsanya kerana boleh di ibaratkan untungnya seguni, ruginya segunung.
Orang yang dididik itu tidak terasa,sebab hasilnya cepat.Dia fikir, “Baiknya mak dan ayah aku.” Tetapi bagi orang yang faham, dia akan berkata ini pengkhianat bangsa.Bagi Allah dan Rasul, pendidik sebegini dianggap pengkhianat kepada amanah-amanah Allah.

Pemberian kasih sayang mengikut usia anak

Kasih sayang yang hendak kita beri itu perlu diberi berperingkat-peringkat :
  • Anak yang baru lahir hingga darjah satu. Anak-anak di usia ini, dia akan rasa disayangi dengan sentuhan-sentuhan pada dirinya.Walaupun kita tidak bercakap,tidak memberi ilmu,dari sentuhan-sentuhan dia akan faham yang kita sayang padanya.Pada golongan ini, kasih sayang dapat ditunjukkan dengan didukung,dicium juga dengan cara bergurau.
  • Anak yang sekolah rendah hingga remaja. Ayah dan ibu tidak perlu menunjukan sayang atau benci. Kecuali guru atau pendidik akan menghukum atau memarahinya bilamana ' dia buat kesalahan yang berat '.Diwaktu ini pendidik boleh bercakap sedikit perkataan yang memberitahu,yang kita kasih kepadanya.Sekadarnya,nanti kalau banyak takut dia riak pulak. Selain itu berilah dia hadiah atau cenderahati.
  • Golongan anak yang sudah dewasa. Pendidik boleh menunjukkan kasih sayang dengan dijadikan kawan.Kadang kita mendengar ilmu dan pengalamannya,bertanya khabar dan mengajak orang-orang yang kita didik itu berbincang dan berbual-bual.

Itulah peringkat-peringkat dalam cara memberi kasih sayang.Cara memberi kasih sayang dengan bertunjangkan Tuhan dan syariat memang agak menyusahkan sedikit bagi para-para pendidik,tapi untungnya untuk jangka masa panjang sangat besar.

Macamlah kita hendak makan durian yang manis,maka kita akan letak baja tahi ayam dan tahi lembu pada pokok durian itu.Nanti insyAllah hasilnya akan dapat buah durian yang manis.Tetapi sekira diberikan gula yang manis pada pokok itu,insyAllah pokok itu akan mati.

Rasulullah adalah orang yang paling menyayangi umatnya.Semoga ibu bapa, guru-guru,pemimpin-pemimpin dapat berusaha bersungguh-sungguh dalam memberikan kasih sayang pada orang-orang yang dibawah tanggung jawabnya,dengan cara yang telah Rasulullah SAW contohkan.


Wallahua'lam.