Saturday, July 11, 2009

AL FATIHAH: AYAT RABBIL'ALAMIN BHG 2



Assalamualaikum wr wb.


Segala puji bagi Tuhan yang mentadbir sekelian alam. Di sini ada sifat rubbubiyah. Tidak dikaitkan dengan sifat uluhiyah. Tuhan bukan sahaja menjadikan alam, bahkan mentadbirnya. Dia lah yang menentukan samada hendak menyelamatkan atau menghancurkan.


Perlu diingat, bila Tuhan menjadikan suatu makhluk, kemudian Tuhan akan mentadbirnya pula. Bukan sahaja makhluk yang Tuhan hendak jadikan itu, sudah Tuhan tentukan sejak dari azali lagi, tetapi, bagaimana Tuhan hendak mentadbirnya itu pun, sudah ditentukan sejak dari azali lagi. Ertinya sejak belum terjadi lagi makhluk itu, Tuhan telah tentukan.

Itupun tidak ada permulaan.

Yang ada permulaan itu, adalah bila sesuatu itu sudah wujudtetapi rancangan tuhan itu, tidak ada permulaan.


Apa maksud dari azali?


Ertinya bukan Tuhan merancang. Kalau Tuhan merancang, ada tempoh bermulanya.Apa sahaja yang Tuhan hendak jadikan, hendak tadbirkan, itu adalah sejak azali lagi.

Bila Tuhan hendak menjadikan sesuatu, bila sudah terjadi, kejadian itulah yang ada permulaan. Tetapi rancangan untuk menjadikan sesuatu itu, tidak ada permulaan. Kalau ada permulaan, sudah tentulah sama kerja itu dengan kerja-kerja makhluk.

Maha Suci Tuhan dari ada permulaan

Begitu juga setiap makhluk yang Tuhan jadikan, samada manusia, malaikat, langit, bumi, planet, bukan sahaja Tuhan merancang itu tidak ada permulaan, bahkan dalam menentukan besar atau kecilnya itu pun tidak ada permulaan.

Bila satu perkara itu Tuhan jadikan, Tuhan lah yang bersifat Rabb tadi, Dia lah 'rabbil'alamin'.


Bila dikatakan alam.Bermakna, yang selain dari Tuhan itu adalah alam. Samada alam akhirat atau alam dunia. Kalau hendak dipecahkan lagi, ada alam jin, alam malaikat, alam manusia, alam jamadat, alam kayu kayan dan lain-lain. 'Alamin itu perkataan jamak, global. Bila sebut 'alamin, semua sudah terangkum didalamnya samada yang berkait dengan dunia dan akhirat.


Apa yang hendak dimaksudkan ialah, bila Tuhan menjadikan makhluk Nya, alam dunia atau alam akhirat, malaikat atau manusia, Tuhanlah yang bersifat Rabb itu.

Dia akan mentadbir berdasarkan ketentuan Nya sejak azali lagi.


Apakah ketentuan Nya?

Iaitu sunnah yang akan berlaku pada makhluk-makhluk itu, atau sistem yang hendak dilakukan,Tuhanlah yang menciptakan.

Setiap makhluk, Tuhan telah tentukan sejak azali lagi dengan tiada permulaan. Bila Tuhan sudah wujudkan sesuatu, Tuhan lah yang akan mentadbir makhluk itu, sebab Tuhan adalah Rabb.

Tuhan akan didik, (kerana Dia adalah Rabb) berdasarkan sistem yang Tuhan tentukan sejak azali lagi, berdasarkan kepada sunnatullah makhluk yang hendak ditadbir itu.

Contohnya

  • manusia ada sistemnya yang tersendiri.Ianya sunnah, yang mana kalau manusia hendak hidup, Tuhan telah tentukan.Iaitu diberiNya nafas, makan, minum, ada darah. Ini sunnatullah, sistem yang Tuhan jadikan pada diri manusia. Itupun Tuhan sudah tentukan sejak azali.

Bila manusia dijadikan atas dasar ketentuan Tuhan itu, Tuhan tidak akan ubah. Padahal bila kita bahas tentang kuasa Tuhan, boleh tak manusia hidup dengan air, bukan dengan darah? Tentu saja boleh, tetapi Tuhan tidak berbuat begitu. Tuhan menyebut dalam Al Quran,

"Sekali-kali Tuhan tidak akan mengubah sunnah Nya."


Jadi kalau manusia itu hidup dengan nafas, makan, minum dan dengan darah maka Tuhan akan mentadbir secara yang begitu. Kalau Tuhan hendak matikan pun, Dia akan rosakkan sistem tersebut tetapi Dia tidak mengubah. Padahal dengan kuasa Tuhan, Tuhan boleh masukkan air digantikan dengan darah.Atau menukar oksigen dengan benda-benda lain.


Atas dasar kuasa, Tuhan boleh buat, tetapi atas dasar Tuhan sudah berjanji, Tuhan tidak akan ubah sistem Nya atau sunnah Nya. Tuhan tidak akan mungkir janji walaupun Dia berkuasa. Walaupun sebesar habuk.

Kalau habuk itu Tuhan janjikan ia akan jatuh ke laut, ia tidak akan jatuh di sungai.

Maha Besar Tuhan.

Kerana Tuhan sudah berjanji maka Tuhan akan tunaikan janji Nya seolah-olah Tuhan mewajibkan diri Nya,"Aku tidak akan mungkir janji" itu terhadap makhluk (yang hanya sebesar habuk itu ).


Fokus di sini ialah, 'rabbil 'alamin' itu,


Tuhan mentadbir bukan sesuka hati. Dia sudah menentukan sistem Nya dan mentadbir berdasarkan sistem itu. Kalau Tuhan rosakkan pun, atas dasar sistem itu juga. Tuhan tidak akan berbuat dengan cara lain. Walaupun Tuhan ada kuasa dan boleh mengubah apa-apa sahaja diatas kuasaNya, tetapi Tuhan sudah berjanji, setiap makhluk ada sistemnya, ada sunnahnya, maka Tuhan mentadbir setakat itu. Tidak akan terkeluar dari sistem itu. Disini nampaklah kekuasaan Tuhan itu.

Itulah yang dimaksudkan 'rabbil'alamin'. Di sinilah tauhid. Allah tidak mentadbir sesuka-suka Nya. Bagaimana Dia akan mentadbir ?

Tuhan telah tentukan yang Dia akan mentadbir diatas sistem sejak azali lagi. Tuhan sudah berjanji dan tidak akan mungkir janji. Walaupun sebesar habuk itu jatuh ke laut, ia tidak akan jatuh ke sungai.


Hebatnya Tuhan.


Dia hendak menjadikan suatu perkara itu sejak azali lagi, tanpa dirancang Dia sudah tahu. Apabila diwujudkan dengan sistemnya sekali, walaupun sebesar habuk, ia tidak perlu diubah lagi. Tanpa silap dan tidak perlu di 'repair'. Kalau hendak diubah ertinya ada yang tidak kena. Sebab itu Tuhan beritahu,"Apa yang Aku buat, Aku tidak akan ubah lagi," kerana begitu kemasnya sistem Tuhan itu.

Tidakkah kita nampak akan kebesaran Tuhan? Kita hendak buat sebuah kereta pun, beberapa kali sistemnya ditukar. Sedangkan sistem Tuhan itu Maha Sempurna.


Itulah antara kebesaran Tuhan. Kita lihat langit itu sangat besar tetapi melihat langit yang besar itu tidak terasa kebesaran Tuhan. Kenapa?

Kita membiarkan mata kita sahaja yang melihat. Tidak dikaji dengan rohani. Kalau kita mendapat apa hikmahnya pada rohani, barulah kita terasa betapa besarnya langit itu, kerana itu adalah kebesaran Tuhan.


Tuhan berkata, "Tidakkah engkau melihat kebesaran Ku pada penciptaan langit dan bumi ini."


Melihat itu bukan dengan mata tetapi mesti dengan roh, iaitu dengan hati.


"Didalam penciptaan langit dan bumi dan perubahan malam dan siang, itulah tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mempunyai hati."


Itulah yang dimaksudkan 'rabbil'alamin', Pentadbir seluruh alam.



Wallahu'lam.




Friday, July 10, 2009

REJAB


Rejab,

  • Bulan ketujuh mengikut susunan kalendar Islam, telah mencatatkan satu sejarah yang amat penting apabila Allah telah memerintahkan umat Islam mengerjakan solat lima kali sehari semalam.
  • Berbanding dengan ibadat lain seperti zakat, puasa dan menunaikan haji - perintah bersolat telah diterima secara langsung oleh Rasulullah SAW dan ia berlaku ketika baginda menjadi tetamu Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj pada 27 Rejab (tahun ke 11 baginda dilantik sebagai Rasul).
  • Rasulullah menerima perintah itu ketika berada di Sidratul Muntaha iaitu perhentian terakhir baginda ketika naik ke langit bertemu dengan Allah.Perintah yang diterima sejak 1,430 tahun lalu itu kemudian terus diamalkan sehingga hari ini.
  • Bagi umat Islam pula Rejab merupakan bulan suci kerana di dalamnya berlaku peristiwa Israk Mikraj iaitu peristiwa perjalanan malam Rasulullah dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa (Israk) dan kemudian baginda naik ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha (Mikraj).
  • Selain peristiwa Israk Mikraj, bulan Rejab turut mencatatkan beberapa peristiwa hijrah pertama para sahabat ke Habsyah (Ethiopia). Antara sahabat yang terlibat dengan hijrah itu ialah Saidina Uthman ibn Affan r.a dan isterinya Ruqayyah iaitu anak Rasulullah. Penghijrahan itu bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri ekoran tekanan dan ancaman hebat oleh puak musyrikin Mekah ketika itu.
  • Peperangan Tabuk juga berlaku pada bulan Rejab iaitu pada tahun kesembilan hijrah. Peperangan ini menguji umat Islam kerana ia berlaku pada musim panas. Dengan pertolongan Allah SWT, tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun dengan kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai kesukaran.
  • Bulan Rejab juga mencatat sejarah kelahiran Imam As-Syafie atau nama penuhnya Muhammad Idris. Tokoh ini lahir pada 150H pada bulan tersebut. Beliau adalah salah seorang daripada empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Malaysia mengamalkan mazhab As-Syafie.
  • Dalam bulan Rejab juga iaitu pada 27 Rejab 583H, panglima Islam terkenal Solahuddin Al-Ayubi berjaya membebaskan kota suci Baitulmuqaddis daripada tentera salib selepas dijajah kira-kira 60 tahun.
Dalam memperkatakan bulan Rejab, kita juga tidak akan terlepas daripada membicarakan fadhilatnya hingga ada yang beranggapan ibadat pada bulan ini diberikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Bagaimanapun, terdapat ulama menyatakan bahawa tanggapan seperti itu tidak benar kerana hakikat pahala dan ganjaran yang disediakan kepada orang yang beramal soleh hanya Allah sahaja maha mengetahui. Sungguhpun begitu, Allah telah berjanji kepada mereka-mereka yang berusaha meningkatkan keimanan kepada-Nya akan mendapat ganjaran sewajarnya.


Seperti mana bulan-bulan yang lain, umat Islam digalakkan juga untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat.
  • Berpuasa sunat adalah antara ibadah-ibadah terbaik untuk dilakukan.
  • Selain itu,umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amalan-amalan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.
  • Kita juga digalakkan memperbanyakkan zikirullah dengan cara membaca al-Quran, berwirid, bertahmid dan bertasbih.
Justeru, kedatangan bulan Rejab ini harus dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan cara itu, diharap kita dapat menjadi seorang insan yang bertaqwa di sisi Allah.

Wallhua'lam.

AL FATIHAH: AYAT RABBIL'ALAMIN BHG 1



KAWAN-KAWAN YANG DIKASIHI,


Kita sedang memperkatakan tentang surah Al Fatihah. Kita baru sahaja di permukaannya.Ia itu setelah kita membahaskan ayat Bismillahirrahmanrrahim, maka diperlihatkan kepada kita rahmat dan nikmat Tuhan itu adalah terlalu banyak. Terasa yang kita tidak boleh terlepas daripada Tuhan. Kita merasakan yang kita benar-benar hambaNya yang senantiasa mengharapkan bantuan dari Nya. Setiap perkara yang berlaku,maka terhubunglah kita dengan Tuhan. Kalau kita lakukan dengan penuh kesedaran maka munasabahlah, selepas Bismillah, Alhamdulillahi rabbil 'alamin. Sekarang kita hendak sambung , 'rabbil 'alamin'.

Segala puji hanya untuk Allah...

Setelah kita membahaskan dari Bismillah lagi,maka layaklah puji-pujian itu hanyalah untuk Tuhan sahaja. Orang lain tidak boleh mengambilnya. Kalau kita sandarkan juga pujian pada manusia,maka itu hanyalah pemberian Tuhan kepada orang itu, sebagai saluran Tuhan melalui nikmatNya. Walaupun sebagai saluran, bukan miliknya tetapi Tuhan suruh juga kita memuji, berdasarkan hadis yang mengatakan,

Siapa yang tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat, dia tidak bersyukur kepada Ku.

Jadi walaupun mulut memuji orang itu,tetapi hati kita tetap memuji Tuhan. Kita memuji manusia itu dengan mulut kerana manusia itu ada hak. Pemberian Tuhan itu hak dia yang berbentuk sementara. Sebab itu mulut kita puji tetapi hati kita tetap memuji Tuhan. Jadi kita puji orang itu hakikatnya, secara indirect kita memuji Tuhan yang sebenarnya. Sebagaimana Rasul-rasul yang kadang-kadang memuji dirinya tetapi hakikatnya, hatinya sedang memuji Allah kerana dia hanya memuji nikmat yang Tuhan berikan kepadanya. Ini adalah ulangan supaya ada hubungan dengan apa yang hendak kita ceritakan pada hari ini.

Rupa-rupanya puji-pujian itu hanyalah untuk Tuhan yang orang lain tidak boleh mengambilnya. Kalau pun ada hanya pada nisbi, bukan hakiki.

Jadi kalau nikmat dan rahmat itu adalah segala-galanya dari Tuhan, tidak ada sumber yang lain, maka layaklah Dia itu rabbil 'alamin (mentadbir alam). Jadi layaklah Tuhan itu mentadbir alam atau mendidik alam. Mengapa di sini Tuhan menggunakan 'rabb'?

Orang Arab, kadang-kadang dia panggil tuan rumah itu dengan panggilan rabbul bait.Mengapa Tuhan tidak kata, " Alhamdulillah khaliqul 'alamin? atau 'Alhamdulillahi jaa ilin 'alamin ( Pujian bagi Tuhan yang menjadikan alam).

Sebab, kalau dikatakan 'Khaliqul ataupun jaa 'ilin, Tuhan hanya bertanggungjawab menjadikan alam sahaja, selepas itu dibiarkan. Tidak perlu bertanggungjawab lagi. Tetapi Tuhan menamakan diri Nya Rabbil 'alamin'. Maknanya lebih daripada tanggungjawab,sedangkan 'Kahliqul ataupun 'jaa'ilin, itu maknanya hanya lah satu iaitu hanya bertanggungjawab menjadikan.

Apabila dikatakan pentadbir atau pendidik alam,

  • Dialah yang menjadikan,
  • Dialah yang mentadbir,
  • yang menjaga,
  • yang mengurus,
  • menjaga keselamatan,
  • yang menentukan,
  • yang buat ukuran bagaimana untuk mentadbir alam dan seterusnya.
Barulah kita faham kalimah 'rabb' itu maknanya sangat global. Tuhan dikatakan 'rabbul kaabah'. Dia bukan hanya menjadikan Kaabah bahkan lebih dari itu.


Perkataan 'rabb' di sini ada hubungkaitnya dengan tauhid. Tauhid ada 2 bahagian,

  • tauhid rubbubiyah (pentadbiran dan pendidikan)
  • tauhid uluhiyah (ketuhanan).

Rubbubiyah itu dari perkataan 'rabb',


Daripada sifat 20 atau lebih luas lagi, dari asmaulhusna itu, ia jadi 2 bahagian. Ada yang bersifat rubbubiyah dan ada yang bersifat uluhiyah. Bagaimana kita hendak membezakan mana yang bersifat ketuhanan dan mana yang bersifat pentadbiran itu?

Jawapannya ada 2 iaitu:

  • Uluhiyah itu bersifat Zat
Sebagai contoh :
  • Tuhan itu qadim, Kalau Tuhan tidak ada sifat itu, maka Allah tidak layak untuk menjadi Tuhan. (Maha Suci Tuhan).
Ada tak makhluk yang tidak ada permulaan? Tidak ada, maka tidak ada makhluk yang layak untuk menjadi Tuhan.

Ada tak makhluk yang esa, yang tidak boleh dipecah-pecahkan? Tidak ada, maka tidak ada makhluk yang layak untuk menjadi Tuhan.

Sifat uluhiyah itu hanya ada pada Allah maka Allah sahaja yang layak jadi Tuhan.

Rubbubiyah pula:

  • ia memerlukan pada sesuatu yang bertambah. Kalau kita katakan Tuhan itu esa, perlukan esa itu bertambah? Tidak.

Tetapi kalau Tuhan itu dikatakan berkuasa, maka ada benda yang kena kuasa. Ada benda yang ditambah atau kena.

Contohnya

  • Tuhan itu 'alim, maka ada benda yang Tuhan tahu. Jadi ia bertambah. "alim itu bukan hanya Zat.
Contoh lain,
  • Tuhan berkehendak. Ada yang kena. Maka bila ada benda yang berlaku, maka itu kehendak Tuhan.
Rubbubiyah itu perkara-perkara yang berhubung dengan hamba.
Sifat uluhiyah Tuhan ada 6 iaitu:

  • wujud, qidam, baqa', mukholafatuhu, qiamuhubinafsih, wahdaniah.
  • Bakinya, yang 14 sifat lagi adalah sifat rubbubiyah..
bersambung.....

MANUSIA YANG ADA KEMANUSIAAN

aku adalah kesedaran untuk mereka
yang tidak sedarkan diri..
aku adalah kaki untuk mereka yang mengalami paralysis
aku adalah mata untuk mereka yang tidak boleh melihat..
aku adalah nyawa untuk mereka yang ingin membunuh diri
aku adalah pergerakkan untuk bayi yang baru lahir..
aku adalah pengetahuan dan keyakinan diri untuk ibu-ibu muda..
aku adalah suara untuk mereka yang terlalu lemah untuk berkata-kata..

dan setiap anggotaku juga adalah untuk beribadah...
mata ku begitu alert untuk melihat dan mengesan sesuatu yang berlaku
telinga ku bagaikan telinga lintah yang mampu mendengar bunyi-bunyi yang di keluarkan oleh clientku..
telinga ku juga tidak loket untuk mendengar setiap luahan yang diluahkan oleh mereka..
hatiku mudah berasa simpati dengan keadaan yang menimpa client ku..
hatiku penuh dengan kasih sayang terhadap mereka...
seolah-olah aku berada pada situasi itu.

Tanganku adalah kudratku..anugerah tuhan yang paling besar buatku..
Dengan tangan ini aku membersihkan mereka.
Tiada istilah kotor, jijik, loya dan mual dalam kamus hidup ku..
Najis, nanah, darah sudah sebati dengan diriku..
Dengan tangan ini aku menyuapkan makanan ke mulut mereka yang tidak mampu..
Dengan tangan ini lah aku memberi segala perawatan kepada mereka...
Betapa aku simpati melihat keadaan mereka...
Betapa tuhan itu maha berkuasa ke atas sesuatu...
Aku memberi penjagaan seolah-olah aku menjaga ahli keluarga ku sendiri...
Kakiku pula pantas bergerak ke sana sini menjaga kebaikan mereka..
semoga aku diberkati...

inilah aku..

http://zieawana.blogspot.com

Thursday, July 9, 2009

AL FATIHAH: AYAT ALHAMDULILLAH BHG 2



Apabila seseorang itu sudah diperlihatkan pada dirinya,rahmat dan nikmat Tuhan,yang seolah-olah di depan matanya, nikmat dan rahmat Tuhan itu seperti salji yang turun,maka indahlah bila dia menyebut
alhamdulillah.

Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak pula terasa oleh hatinya, lebih-lebih lagi pada nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, kalau dia membaca alhamdulillah, ia sekadar untuk mencari fadhilat sahaja.

Ia tidak dapat membangunkan syahsiah dan akhlak pada diri orang itu. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya. Tidak terasa apa-apa. Maka patut sekali Tuhan meletakkan Alhamdulillah itu selepas Bismillahirrahmanirrahim.Jadi kalau kita faham Bismillah itu seperti yang pernah kita ceritakan sebelum ini, maka kita pun akan berkata alhamdulillah...

Ia akan menjadi sangat indah, sangat memberi kesan dan sangat memberi erti.Jika tidak, kita tidak akan terasa apa-apa pun daripada bacaan alhamdulillah itu..

Maha Besar Tuhan.

Mari pula kita terokai pula isi atau intipati alhamdulillah. sama ada yang boleh dilihat oleh mata, akal atau yang rohani.

Segala puji bagi Tuhan.

Apakah 'puji' itu?


Erti Puji:
  • Ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan pada seseorang (sekiranya pada orang), atau pada Zat (kalau kepada Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau yang layak bagi Zat itu.
Kalau itulah takrif pujian atau itulah isi pujian, kalau kita berkata Alhamdulillah, maka bagaimanakah segala puji bagi Tuhan itu berdasarkan takrif tadi?

Bagaimanakah untuk memuji Tuhan mengikut takrif itu?
  • baiknya Tuhan,
  • hebatnya Tuhan,
  • maha kuasanya Tuhan,
  • pemurahnya Tuhan
  • maha agungnya Tuhan.
Semua itu layak bagi Tuhan. Kalau kita hendak memuji Tuhan atas dasar kelayakannya, ia bukan sekadar itu.Sekiranya Tuhan mengizinkan, katalah kita boleh hidup sampai sejuta tahun sekalipun, sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak memuji Tuhan, ianya tidak akan habis. Mengapa?
Ini adalah kerana sifat kesempurnaan bagi Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batasnya.

Sekiranya Tuhan mengizinkan kita untuk hidup sejuta tahun, yang mana kita sentiasa memuji-muji Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu pun tidak cukup lagi, kerana kehebatan Tuhan itu tidak ada kesudahannya.

Maha Besar nya Tuhan.

Maka selayaknyalah selepas ayat Bismillah, ialah ayat Alhamdulillah, sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak berkesudahan. Jadi sekiranya kita hendak memuji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan.

Oleh kerana umur kita sangat-sangat terhad maka tidak mungkin kita boleh berbuat sesuatu yang sempurna.Dan sekiranya dipanjangkan umur kita, sehingga berjuta-juta tahun sekali pun, dan Tuhan memperlihatkan pada kita kesempurnaan Nya, masih lagi kita tidak akan mampu untuk menyempurnakan maksud alhamdulillah itu pada yang selayaknya bagi Tuhan.

Jadi kalau inilah yang kita faham, maka barulah 'sedap' kita hendak menyebut alhamdulillah, sebab kita nampak, mengapa sepatutnya kita memuji-muji Tuhan itu.Ini adalah kerana sifat-sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha Bijaksana Tuhan yang meletakkan perkataan Bismillah, kemudiannya Alhamdulillah.

Memuji Tuhan ini ada 3 peringkat:
  • Memuji-muji perkara yang ada hubungan dengan zatNya.
  • Memuji-muji perkara yang ada hubungan dengan sifat-sifat Nya.
  • Memuji-muji keatas rahmat dan nikmat Nya
Jadi memuji-muji Tuhan itu, adakalanya berhubung dengan zat Nya, adakalanya berhubung dengan sifat-sifat Nya dan adakalanya diatas rahmat dan nikmat Nya.

Rahmat dan nikmat itu sudah kita perkatakan,iaitu ada yang bersifat boleh dilihat dengan mata, yang bersifat akal dan bersifat rohaniah.


Contoh kita memuji Tuhan di atas Zat Nya:


"Wahai Tuhan, Engkaulah yang maha kekal. Wahai Tuhan, Engkau maha esa, Engkau tidak memerlukan ruang, Zat Engkau tidak menyerupai segala yang baharu. Wahai Tuhan maha suci Engkau dari mengambil tempat, sama ada berada didalam masa dunia atau masa akhirat".

Contoh pujian kita ke atas Tuhan berkait dengan sifat-sifat Nya:

"Engkau Maha pengasih, Maha penyayang. Engkau maha pengampun. Engkau maha lembut. Engkau maha qahhar (keras) dan jabbar. Engkau maha bersyukur, Engkau maha lemah lembut. Engkau maha agung, Engkau maha tinggi, Engkau maha pemarah (Tuhan memang layak)". Itulah pujian yang memang layak ke atas Tuhan.

Contoh memuji-muji Tuhan di atas rahmat dan nikmat Nya:

"Pemurahnya Engkau, wahai Tuhan, Engkau memberi aku makan, memberi aku ilmu (ada hubungan dengan nikmat aqli). Terima kasih Tuhan kerana memperkenalkan Diri Mu kepada ku. Terima kasih Tuhan kerana Engkau jadikan Engkau Tuhan ku. Terima kasih kerana memberi aku kesenangan, anak-anak, pakaian, kesihatan, memberi pemandangan yang indah dan macam-macam lagi."

Jadi memuji Tuhan itu, adakalanya pada Zat Nya, adakala pada sifat-sifatNya, adakala pada nikmat dan rahmat Nya.


PEMBAHAGIAN PUJIAN ITU PULA ADA 5 PERKARA:


1 -
  • Puji Tuhan pada diri Nya.
Tuhan memuji diriNya. Ini banyak terdapat dalam Al Quran dan Hadis. Contohnya: "Aku Tuhan, sembahlah Aku. Tidak ada Tuhan selain Aku. Aku adalah qahhar. Aku jabbar. Aku pengasih dan penyayang." Tuhan memuji diri Nya. Ada Hadis mengatakan, "Aku kasih pada hamba Ku, lebih dari seorang ibu mengasihi anaknya."

Apakah hujah untuk membenarkan Tuhan memuji diri Nya? Sebab Tuhan memang layak. Lagipun mana ada yang lebih atas dari Tuhan. Kalau dia hendak puji diri Nya, siapa yang hendak menghukum Tuhan. Kalau kita hendak puji diri kita sendiri,tentu ada yang lebih atas, yang akan menegur kita, sebab ada lagi orang yang lebih layak dari kita.

Kalau Tuhan memuji diri Nya. Dia pun memang tiada tandingan.Ada amalan-amalan khusus, kerana kita sememangnya tidak mampu untuk memuji Tuhan dengan sebanyak-banyaknya, maka kita berkata:

"Aku memuji Engkau wahai Tuhan sebanyak mana Engkau memuji diri Engkau sendiri. dan anggaplah ini juga pujianku untuk Mu, wahai Tuhan".

Ini adalah termasuk didalam rahmat Tuhan. Kerana ini adalah cara mudah yang ringkas, kerana kita tidak mampu hendak memuji Tuhan dengan sebanyak-banyaknya.


2 -

  • .Pujian Tuhan pada hamba Nya:
Contohnya:
  • "Aku suka pada orang yang bertaubat."
  • "Aku suka pada orang yang bertaqwa"
  • "Aku suka pada orang yang pemurah"
  • "Aku suka pada orang yang telah berdosa dan kemudian bertaubat diatas dosa-dosanya"
  • "Aku lebih suka pada orang yang merintih atas dosa-dosanya daripada tasbih para aulia"
3 -
  • Pujian seorang hamba pada Tuhannya. Itu mudah untuk kita faham. Selemah-lemah kita, kita mesti pernah ada memuji-muji Tuhan.

4 -
  • Puji hamba kepada hamba.
Contohnya:
  • Si A mengatakan Si B ini pandai dan sabar. (tetapi seeloknya puji lah dibelakangnya, kerana takut-takut orang itu tak mampu hendak menanggung pujian tersebut. Sebab memuji di depan orang itu ibarat meletakan kayu balak di atas bahunya.Tidak mungkin ada orang yang mampu memikul kayu balak atas bahunya?
Pujian dibolehkan kerana hakikatnya kita memuji Tuhan. (Barangsiapa yang tidak bersyukur pada manusia, hakikatnya dia tidak bersyukur kepada Tuhan). Kalau kita memuji manusia, hakikatnya kita memuji Tuhan. Sebab orang yang mendapat nikmat dari Tuhan. Nikmat itu bukan lah yang hakiki.


5 -

  • Pujian seseorang atas dirinya sendiri. ( Ini tidak dibolehkan kecuali diatas dasar hendak menyebut nikmat-nikmat Tuhan yang ada pada dirinya. Perlu berhati-hati.)
Contohnya:
  • Para nabi dan para rasul terpaksa memuji dirinya.Seperti Rasulullah SAW berkata," Saya adalah seorang yang paling takut dengan Tuhan."
Sekiranya Rasulullah tidak menyebut demikian,dikhuatiri umatnya akan terkeliru. Kerana kemungkinan ada orang yang menganggap, ada orang lain lagi yang lebih takut kepada Tuhan selain Rasulullah.Rasulullah ceritakan nikmat Tuhan pada dirinya itu bukan kerana megah tetapi kerana takut dengan sikap umatnya dimasa akan datang.

Rasulullah juga pernah mengatakan,"Saya adalah orang yang paling fasih menyebut (huruf) dhad." Ini adalah kerana menyebut huruf dhad itu susah.

Memuji diri itu tidak digalakkan kecuali atas dasar hendak menyebut nikmat-nikmat Tuhan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah itu.



Wallahua'lam.

Tuesday, July 7, 2009

AL FATIHAH: AYAT ALHAMDULILLAH BHG 1



Setelah kita menghuraikan Bismillah, membahas dan menilai-nilai, barulah kita terasa munasabah yang selepas itu kita kena pulak memuji-muji Tuhan. Yakni selepas bismillah, alhamdulillah...

  • setelah kita terasa begitu banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan,
  • setelah kita sudah terasa kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan,
  • setelah kita terasa kita ini hamba yang patutnya merendahkan diri pada Nya, sebab pada Tuhan ada segala-segalanya, yang mana pada Dia lah keselamatan kita,
  • setelah kita rasa patut yang kita perlu cinta dan takut denganNya.

Maka barulah kita terasa 'sedap' hendak menyebut alhamdulillah itu. Bila menyebut alhamdulillah , kita sudah terbayang begitu banyaknya rahmat dan nikmat Tuhan yang sangat melimpah ruah. Kalau tidak, bila kita menyebut alhamdulillah, kita tidak terasa apa-apa.


Kadang-kadang alhamdulillah menjadi wirid pula. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... hanya sekadar tidak prejudis, berbaik sangka, merasakan ia perkataan yang baik yang patut disebut selalu tetapi kita tidak terasa apa-apa.

Kalau tidak terasa apa-apa, yang berlaku ialah, ia tidak membangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Lain sekali dengan orang yang memuji-muji dan dapat merasakan kehebatan Tuhan. Akal serta perasaannya terus dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan.


Sama ada yang mata boleh lihat, yang tangan boleh sentuh, yang boleh difikirkan dan yang ada dalam perasaan. Bila dia memuji Tuhan,
  • dia sangat terasa,
  • sangat terhibur,
  • sangat bahagia,
  • sangat terbangun perasaannya.
Orang yang begitu bila dia memuji Tuhan, terutama bila alhamdulillah dijadikan zikir, sangat indah, sangat lazat, sangat terhibur dan sangat bahagia rasanya sebab ada satu rasa yang tidak boleh dan tidak mampu hendak digambarkan.


Bersambung.....